Projek Pembangunan Bukit Botak, Selayang bakal menjadi penempatan tetap kepada kira-kira 2,300 keluarga yang telah menunggu lebih 20 tahun untuk memiliki rumah tersebut.
Menurut kenyataan akhbar sekreatariat pejabat Menteri Besar Selangor itu, projek tersebut merupakan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi yang diperkenalkan Kerajaan Pakatan Rakyat yang antara lain memberi fokus kepada pembangunan semula projek perumahan terbengkalai seperti Bukit Botak.
Katanya, pada awalnya, kerajaan negeri menghadapi kesukaran untuk membantu membaik pulih projek terbengkalai ini kerana hak milik terhadap lot-lot tanah telah diserahkan kepada syarikat pemaju yang terdahulu.
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, bagaimanapun, mengambil keputusan berani mengarahkan tanah berkenaan diambil alih oleh kerajaan negeri sebagai jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan penduduk Bukit Botak.
Lebih kurang setahun selepas keputusan pengambilan tanah dibuat, penduduk hari ini boleh melihat kerja pembinaan rumah mereka sudah bermula.
Khalid berkata, projek ini bukti hasil kesungguhan dan komitmen Kerajaan Selangor menyelesaikan masalah perumahan terbengkalai sejak 25 tahun lalu yang gagal diselesaikan oleh pihak pentadbiran terdahulu.
“Ini adalah penyelesaian keseluruhan yang terbaik untuk kesemua pihak yang terlibat terutamanya bagi menjaga kepentingan kesemua pemilik tanah yang telah menunggu 25 tahun untuk memiliki rumah selesa dengan kemudahan asas yang lengkap,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penempatan semula penduduk Bukit Botak, baru-baru ini.
Menteri Besar berkata, projek pembangunan Bukit Botak ini adalah sebahagian daripada erancangan luas kerajaan negeri bertujuan meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan penyediaan akses lebih baik kepada kemudahan kesihatan dan semua penduduk Selangor mampu memiliki rumah sendiri dengan kemudahan asas yang lengkap.
Sehubungan itu, anak syarikat kerajaan Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) diminta membuat satu pelan pembangunan menyeluruh bertujuan menyediakan rumah yang selesa dengan harga berpatutan, ujarnya.
Rumah teres setingkat ini dibina dengan keluasan lantai 850 kaki persegi, tiga bilik tidur, dua bilik air dan reka bentuk moden pada. harga RM99,000.
Penduduk juga disediakan kemudahan lain seperti dua tapak surau, satu tapak tadika dan satu kawasan lapang di mana PKNS akan membeli semula unit rumah tersebut pada harga sehingga RM170,000 sekiranya pemilik tanah tidak mahu tinggal di kawasan ini.
Related article
Fadzly Esa wartawan sepenuh masa di portal berita Komunitikini. Gemar bersukan dan melakukan aktiviti riadah di masa lapang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan