December 14, 2010
KUALA LUMPUR, 14 Dis — Kerajaan Singapura menafikan maklumat pendedahan WikiLeaks bahawa pegawai-pegawai republik itu pernah memberikan pandangan politik yang memperlekehkan kepimpinan Malaysia termasuk Datuk Seri Najib Razak.“Mengenai aduan khusus yang dibangkitkan oleh rakyat Malaysia, dakwaan WikiLeaks (kononnya) diperkatakan oleh pegawai-pegawai Singapura tidak sepadan dengan rekod-rekod pada kami. Pertemuan yang didakwa tidak diadakan,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Singapura hari ini.
Dalam kenyataan itu, jurucakap Kementerian Luar Singapura mengesahkan bahawa Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur T Jasudasen telah dipanggil oleh Menteri Luar Datuk Anifah Aman pagi ini untuk menyerahkan nota protes berhubung laporan media mengenai maklumat kabel-kabel diplomatik Jabatan Negara Amerika Syarikat yang dibocorkan oleh WikiLeaks baru-baru ini.
Menuurut kenyataan itu, Menteri Luar Singapura George Yeo telah menghubungi Anifah lewat hari ini untuk menjelaskan dasar republik tidak mahu mengulas mengenai pendedahan WikiLeaks.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Anifah memberitahu wartawan di bangunan Parlimen bahawa Wisma Putra telah menghantar nota bantahan kepada Singapura berhubung dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pegawai kanan kementerian itu terhadap pemimpin negara ini yang didedahkan menerusi laman web, WikiLeaks.
Anifah berkata beliau telah memanggil Jasudasen ke pejabatnya di Parlimen pagi ini bagi menjelaskan ketidakpuasan hati negara terhadap perdedahan tersebut.
“Ia adalah adat diplomasi dan saya pagi ini telah panggil pesuruhjaya Singapura ke Malaysia untuk hantar nota bantahan dan saya katakan kenyataan ini tidak sepatutnya.
“Oleh itu saya bertanya kerajaan Singapura apakah manfaat ataupun dari segi perhubungan dua hala yang telah terjalin sekian lama ditambah pula dengan peningkatan hasil daripada usaha yang dilakukan oleh kedua-dua Perdana Menteri antara Datuk Seri Najib dan (Lee Hsien Loong),” katanya.
Anifah mengulas mengenai pendedahan yang dibuat oleh WikiLeaks, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat pada November 2008, terhadap beberapa pemimpin negara ini.
Kabel itu, mencatatkan pada 2008 dan 2009, menunjukkan kenyataan yang mengutuk Malaysia, Thailand, Jepun dan India oleh para pegawai kanan Singapura dalam pertemuan dengan para pegawai kanan Amerika Syarikat.
Anifah berkata hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura ketika ini begitu akrab, justeru kenyataan yang dibuat oleh pegawai kanan Kementerian Luar Singapura tidak membantu ke arah usaha mengeratkan lagi hubungan kerjasama sedia ada.
Katanya, penilaian yang dilakukan terhadap pemimpin Malaysia menerusi pendedahan laman web tersebut adalah menghairankan kerana pengurusan proses pembangunan Malaysia dan Singapura adalah berbeza.
Laman web WikiLeaks telah menyiarkan sekitar 250,000 kabel diplomatik dari Amerika Syarikat, pendedahan mengenai pandangan dan ulasan yang amat mengejutkan, melibatkan pelbagai negara dan banyak pemimpin dan ketua kerajaan. Sekitar 1,000 kabel pula berkaitan dengan Malaysia termasuk sebahagiannya mengenai keengganan Putrajaya bekerjasama dengan beberapa pihak utama dunia.
WikiLeaks diasaskan oleh wartawan Australia Julian Assange, yang sekarang ditahan Scotland Yard berhubung dakwaan kes seksual yang dibawa oleh Sweden.
Malah Sabtu lalu, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menyifatkan tindakan WikiLeaks sebagai sesuatu yang “amat dikesali” ketika beliau berbual dengan rakan-rakan sejawatannya menerusi telefon, yang turut bersetuju pendedahan itu tidak harus menjejaskan hubungan dengan Washington.
Laporan Bernama semalam melaporkan, Singapura menyatakan bahawa laporan terkini WikiLeaks yang membabitkan pemimpin dan pegawainya mengenai kenyataan yang memudaratkan hubungan persahabatan dengan negara-negara sahabat, tidak akan menjejaskan hubungan republik ini dengan negara berkenaan.
“Hubungan ini telah dibina atas landasan yang kukuh dengan berkongsi kepentingan dan kerjasama untuk manfaat bersama dalam banyak bidang,” kata seorang jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar semalam.
“Singapura mempunyai hubungan, gigih dan positif sekian lama dengan semua negara di rantau ini,” kata jurucakap itu sambil menambah negara-negara berdasarkan hubungan mengenai kepentingan mereka sendiri dan “bukan cakap-cakap atau mengumpat”.
Menurut salah satu kabel yang didedahkan WikiLeaks, Bilahari Kausikan yang kini merupakan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, didakwa memberitahu Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat David Sedney bahawa “ada kemungkinan besar berlakunya konflik perkauman di Malaysia” yang akan menyebabkan orang Cina meninggalkan Malaysia dan ‘menyusahkan’ Singapura.
Mengenai kepimpinan BN pula, kata beliau, “masalah utama Malaysia adalah tiadanya pemimpin yang berwibawa.”
Ini kerana Najib perlu menang dalam pertarungan politik untuk mengelakkan didakwa, secara jelas mengaitkan Perdana Menteri dengan skandal pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu dan Presiden Umno itu terancam disebabkan kes pembunuhan tersebut.
Seorang lagi pegawai diplomatik bernama Peter Ho pula dikatakan mengutuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana “membaling batu” kepada penggantinya, Tun Abdullah Badawi.
Dia juga mendakwa Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin akan ditikam dalam Umno kerana tiada orang yang menyukainya kerana beliau naik dalam politik akibat pertalian keluarga.
Ho juga didakwa mengulangi tuduhan yang mengaitkan Perdana Menteri dengan pembunuhan Altantuya dan menyifatkan Najib seorang yang suka mengambil kesempatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan