Identiti bangsa: NGO Melayu tolak syor Chandra Muzaffar

March 05, 2011
KUALA LUMPUR, 5 Mac — Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan cadangan supaya penggunaan bangsa dalam borang tertentu digugurkan kerana didakwa menjadi penghalang kejayaan konsep 1Malaysia, sebagai mengarut dan tidak munasabah.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali berkata ia merupakan satu lagi dakyah halus yang didalangi pihak tertentu bagi menghilangkan identiti sesuatu kaum, sekaligus mencabar hak kaum tersebut yang telah termaktub dalam Perlembagaan negara.
“Kejayaan konsep 1Malaysia yang dipelopori oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak ada kena-mengena dengan penggunaan perkataan bangsa dalam borang.
“Jika kerajaan tunduk kepada cadangan mereka, lepas ini, mungkin mereka akan minta yang lain pula sehingga matlamat mereka (mahu menghapuskan identiti kaum) tercapai,” katanya kepada Bernama hari.
Beliau mengulas cadangan Pengerusi Yayasan 1Malaysia Profesor Dr Chandra Muzaffar, yang memberi alasan masyarakat dilihat begitu obses dengan perkataan “bangsa” sehingga ia dianggap sebagai rintangan paling besar menjayakan konsep 1 Malaysia. 
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee, yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, mengkritik sokongan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan berhubung perkara berkenaan.
Beliau berkata alasan MEF, kononnya penghapusan perkataan bangsa dalam setiap borang atau dokumen bertujuan merealisasikan matlamat 1Malaysia, adalah tidak tepat.
Syed Ali berkata gagasan 1Malaysia yang dipelopori Najib tidak bermaksud melenyapkan identiti sesuatu bangsa atau kaum di negara ini, sebaliknya untuk  membawa kejayaan kepada negara dengan pembabitan semua bangsa, tanpa mengira perbezaan latar belakang dan keturunan.
“Jangan peralatkan gagasan 1Malaysia untuk mengemukakan cadangan yang tidak masuk akal sehingga sanggup membunuh identiti bangsa Melayu,” katanya menerusi laman blog umnobahagiancheras.blogspot.com hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu Osman Bakar ketika dihubungi berkata, identiti bangsa wajib dikekalkan dalam sebarang borang sama ada di sektor awam atau swasta.
“Pengenalan sesuatu kaum itu penting, bagi mengetahui siapakah yang memiliki identiti si polan bin si polan itu, apa perakuannya dia sebagai seorang manusia jika bangsanya dihapuskan?” katanya.
Beliau berkata untuk merealisasikan konsep 1Malaysia, ia perlu dilihat dalam konsep yang meluas, bukan menyempitkannya dengan hanya memandang perkataan bangsa atau kaum sebagai rintangan terbesar.
“Kita menerima konsep 1Malaysia sebagai satu medium bagi memajukan dan menjaga kepentingan semua kaum di negara ini, yang mempunyai kekuatan masing-masing, jika ia dilenyapkan, apakah kekuatan yang tinggal pada kaum tersebut?” katanya. — Bernama

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.