Kekayaan terkumpul 40 orang terkaya Malaysia naik AS$11b

March 03, 2011
SINGAPURA, 3 Mac – Kekayaan terkumpul 40 orang paling kaya di Malaysia berjumlah AS$62.1 bilion, meningkat sebanyak AS$11.1 bilion (AS$1=RM3.00) berbanding tahun lepas, demikian menurut senarai kekayaan terbaharu yang disiarkan oleh Forbes Asia.
Forbes Asia dalam satu kenyataan hari ini berkata gabungan kekayaan itu naik hampir 22 peratus daripada senarai pada 2010.
“Sumber kewangan yang lebih baik itu datang daripada sokongan kekukuhan ekonomi negara yang berkembang 7.2 peratus tahun lepas, kadar tertinggi sejak 2000,” kata Forbes.
Dua tempat teratas pertama masih dipegang oleh Robert Kuok Hock Nien dan Ananda Krishnan.
Kuok, 87, menerajui kedudukan pertama sejak 2006 apabila Forbes Asia mula menyenaraikan 40 orang paling kaya di Malaysia.
Kekayaan beliau bernilai AS$12.5 bilion, naik sebanyak setengah billion daripada tahun lepas.
Sumber terbesar kekayaannya ialah pegangan beliau dalam Wilmar International, syarikat minyak sawit tersenarai terbesar di dunia.
Ananda, 72, berada di kedudukan kedua dengan kekayaan bernilai AS$9.5 bilion, naik daripada AS$8.1 bilion tahun lepas.
Maxis Communications Bhd miliknya merupakan penyedia perkhidmatan telefon selular terbesar di Malaysia.
Baru-baru ini beliau telah menjadikan tiga syarikatnya sebagai syarikat persendirian: syarikat penyiaran satelit Astro All Asia Networks plc, syarikat kuasa dan perjudian Tanjong plc, dan pengendali satelit Measat Global Bhd.
Di kedudukan No. 3 ialah tokoh yang meraih untung paling besar tahun ini dari segi dolar, Puan Sri Lee Kim Hua.
Balu jutawan kasino Tan Sri Lim Goh Tong yang berusia 81 tahun itu merupakan salah seorang daripada tiga wanita yang berada dalam senarai tahun ini.
Saham Genting miliknya melonjak apabila operasi syarikat di Singapura yang beroperasi di Pulau Sentosa dibuka, meningkatkan nilai bersih kekayaan keluarga itu sebanyak AS$2.7 bilion kepada AS$6.6 billion dari tahun lepas.
Tan Sri Lee Shin Cheng, yang membangunkan IOI Group menjadi satu daripada pengeluar minyak sawit terbesar dunia, turun satu anak tangga ke tempat keempat dengan nilai bersih AS$5 bilion, meningkat AS$400 juta daripada tahun lepas.
Perintis syarikat penerbangan tambang murah AirAsia Bhd, Datuk Seri Tony Fernandes, yang dipilih sebagai Ahli Perniagaan Terbaik Asia 2010 Forbes, berada di kedudukan ke-20 tahun ini, turun satu tangga daripada tahun lepas meskipun kekayaannya meningkat kepada AS$470 juta daripada AS$330 juta tahun lepas.
Satu-satunya hartawan baharu yang menduduki senarai tahun ini ialah Chia Song Kun di kedudukan ke-24 dengan kekayaan AS$400 juta.
Harga saham QL Resources Bhd, syarikat makanan laut, pengeluaran telur dan minyak sawit miliknya, mencatatkan kenaikan berganda sejak tahun lepas.
Datuk Tony Tiah Thee Kian di kedudukan ke-35 merupakan satu-satunya orang yang kembali semula berada dalam senarai selepas tercicir tahun lepas, apabila sahamnya dalam TA Enterprise Bhd pulih semula. Kekayaan beliau bernilai AS$170 juta.
Tidak semua yang mencatatkan prestasi baik kerana terdapat tiga orang yang menyaksikan kekayaan mereka berkurangan, diterajui oleh Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun yang berada di kedudukan kesembilan.
Beliau yang memiliki Berjaya Group, menyaksikan kekayaannya merosot kepada AS$1.25 bilion daripada AS$1.6 bilion tahun lepas.
Taikun kayu balak Tan Sri Tiong Hiew King merupakan satu-satunya orang yang dalam senarai tidak menyaksikan sebarang perubahan dalam kekayaannya. Harta beliau masih bernilai AS$1.2 bilion dan berada dikedudukan ke-10 dalam senarai.
Tahun ini, minimum bersih bernilai AS$125 juta diperlukan untuk layak memasuki senarai, naik daripada AS$110 juta tahun lepas. Bilangan bilionair dalam senarai itu kekal tidak berubah daripada tahun lepas sebanyak 10 orang.
Senarai 10 orang paling kaya Malaysia ialah:
1) Robert Kuok Hock Nien (AS$12.5 bilion);
2) Ananda Krishnan (AS$9.5 bilion);
3) Puan Sri Lee Kim Hua (AS$6.6 bilion);
4) Tan Sri Lee Shin Cheng (AS$5 bilion);
5) Tan Sri Quek Leng Chan (AS$4.8 bilion);
6) Tan Sri Teh Hong Piow (AS$4.7 bilion);
7) Tan Sri Yeoh Tiong Lay (AS$2.7 bilion);
8) Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary (AS$2.5 bilion);
9) Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun (AS$1.25 billion); dan
10) Tan Sri Tiong Hew King (AS$1.2 bilion). – Bernama

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.