Kitab Injil BM harus dihormati, kata PAS

March 14, 2011
KDN telah menahan lebih 30,000 naskhah kitab Injil di dua pelabuhan. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 14 Mac — Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa menyertai pemimpin-pemimpin bukan Islam dalam Pakatan Rakyat mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri menahan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia sambil menegaskan penerbitan buku suci itu harus dihormati. Ketika ditemui di bangunan Parlimen petang ini, Ahli Parlimen Bachok ini berkata, Islam mengiktiraf masyarakat Kristian di mana kitab Injil seharusnya dihormati dengan sewajarnya.
Menurut beliau, kitab Injil seharusnya dihormati tidak kira bahasa ia diterbitkan.
Katanya, beliau tahu bahawa kitab Injil juga wujud dalam tulisan Jawi, yang ada di negara ini pada masa sekarang.
“Ada banyak buku dalam pasaran, banyak buku Kristian ditulis dalam Bahasa Malaysia.
“Dan, jika ada yang tidak boleh baca dalam Bahasa Malaysia, mereka akan membaca dalam Bahasa Inggeris, jadi saya tidak melihat sebarang sebab mengapa Kitab Injil harus ditahan,” katanya.
Malah, Nasharudin juga menolak kebimbangan bahawa kitab Injil akan mendorong umat Islam menganut Kristian atas alasan bahawa mereka sebenarnya kuat akidah.
Katanya, setiap orang mempunyai hak untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing.
Nasharudin juga berkata, sensitiviti isu itu berkaitan dengan penggunaan kalimah “Allah” oleh bukan Islam yang beliau sifatkan sebagai sesuatu yang “rigid.”
“Kemungkinan ia adalah disebabkan tafsiran yang terlalu rigid mengenai kalimah Allah yang menyebabkan isu ini. Tetapi, penahanan satu buku hanya kerana ia dalam Bahasa Malaysia, beranggapan bahawa ia mungkin menyebabkan penyebaran agama Kristian,” katanya lagi.
Banyak pihak termasuk rakan-rakan PAS dalam Pakatan Rakyat, menggesa Putrajaya tidak lagi menahan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia daripada dibawa masuk ke negara ini.
Bercakap bagi pihak kepimpinan pusat PKR, Exco Kerajaan Negeri Selangor Elizabeth Wong berkata, tindakan Kementerian Dalam Negeri menahan dan merampas lebih 30,000 naskhah di dua pelabuhan adalah satu “perkembangan tidak menggalakkan sama sekali.”
Katanya, tindakan itu hanya akan memburukkan lagi imej mengenai Malaysia, yang dilihat sebagai negara moderat, di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, perkembangan terbaru ini menunjukkan sifat cetek gagasan 1 Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri  Najib Razak.
Lim merujuk kepada kenyataan Persekutuan Kristian Malaysia yang kelmarin mendakwa pihaknya kecewa dan marah dengan tindakan terus-menerus menahan dan merampas kitab Injil yang dihasilkan dalam Bahasa Malaysia.
Awal semalam,  Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata kebenaran untuk membawa keluar sebanyak 35,000 kitab Injil tertangguh sementara menunggu keputusan Peguam Negara.
Kata beliau perkara itu akan diselesaikan dalam beberapa hari lagi.
Dalam satu kenyataan Rabu lalu, Kementerian Dalam Negeri menafikan dakwaan sebuah persatuan penganut Kristian bahawa kementerian itu telah merampas dan menahan 5,000 kitab Injil berbahasa Melayu yang diimport dari Indonesia.
Katanya, kitab Injil berkenaan sebenarnya dilarang dibawa masuk ke Malaysia kerana gagal memenuhi syarat-syarat kementerian itu.
Satu surat penolakan bertarikh 26 Jun 2010 telah dihantar kepada pengimport tetapi sehingga kini pengimport masih belum menuntut kargo berkenaan.
Oleh itu, dakwaan oleh National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bahawa kementerian telah merampas dan menahan kitab Injil adalah tidak tepat dan mengelirukan.
Setiausaha Agung NECF Sam Ang mendakwa bahawa Kementerian Dalam Negeri telah merampas dan menahan kitab Injil berkenaan di Pelabuhan Klang sejak tahun lepas dan enggan mengeluarkan meskipun Kabinet telah meluluskan pengeluarannya.
Ekoran kenyataan kementerian itu, pertubuhan The Bible Society of Malaysia (BSM) pula berkata sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas Kementerian Dalam Negeri kerana merampas kargo kitab itu.
Kitab-kitab Injil itu menjadi punca kontroversi kerana mempunyai perkataan “Allah” di mana masyarakat majoriti Melayu Islam percayai kalimah itu tidak boleh digunakan oleh bukan Islam untuk merujuk kepada Allah.
BSM telah secara formal memohon untuk dibenarkan membawa keluar kital Injil itu yang dirampas pada Mac 2009.
Dalam pada itu Persekutuan Kristian Malaysia juga menggesa agar kerajaan dengan segera melepaskan kesemua kitab Injil yang ditahan oleh pihak berkuasa.
Pengerusinya Biskop Ng Moon Hing meminta kerajaan bertindak sekarang dan membuktikan keikhlasan dalam berurusan dengan komuniti Kristian di negara ini dalam isu tersebut dan kesemua isu lain yang dibangkitkan sejak persekutuan tersebut ditubuhkan pada 1985.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.