Bala jawab kesemua 52 soalan, peguam harap SPRM buat pendakwaan

Oleh Asrul Hadi Abdullah dan G. Manimaran
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Detektif persendirian P. Balasubramaniam telah menyerahkan afidavit, menjawab kesemua 52 soalan dan menyediakan maklumat tambahan berkaitan kes pembunuhan wanita Mongolia, menerusi dua peguamnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang ini.

Kedua-dua peguam Balasubramaniam, Americk Sidhu dan Manjeet Singh Dhillon telah menyerahkan afidavit itu bagi pihak anak guamnya kepada SPRM di sini kira-kira 2.30 petang tadi.

“Kita membuat begitu banyak andaian sekarang, mereka (SPRM) kena menentukan sama ada akan ada pendakwaan dan jika ya, siapa yang mereka hendak mendakwa,” kata Americk kepada pemberita selepas menyerahkan afidavit kepada pegawai SPRM.

Dalam pada itu Pengarah Bahagian Komunikasi SPRM Datuk Ahmad Khusairi Yahya ketika dihubungi mengesahkan sudah menerima afidavit sekitar 2.30 petang, tetapi enggan mengulas lanjut.

“Biar kami kaji dokumen yang diserahkan,” kata Khusairi.

Americk berkata, beliau tidak boleh mendedahkan soalan-soalan yang disenaraikan SPRM kerana masih dianggap sebagai rahsia.

“Tanda rahsia ada pada helaian soalan yang dikemukakan. Ada kira-kira 52 soalan kesemuanya.

“Kami telah menjawab kesemua soalan dan menyediakan lebih banyak maklumat dengan harapan mereka akan menutup siasatan,” kata beliau.

“Kami juga dimaklumkan bahawa kesemua saksi lain sudah disiasat dan Bala adalah saksi terakhir dan berharap sesuatu akan muncul selepas ini,” katanya.

Siasatan SPRM ini berkisar pada elemen rasuah berhubung kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Minggu lalu Americk memberitahu The Malaysian Insider bahawa afidavit detektif persendirian itu yang mengandungi respons kepada 52 soalan berhubung maklumat terbaru kes pembunuhan Altantuya akan diserahkan kepada SPRM minggu ini.

The Malaysian Insider difahamkan sebelum ini SPRM memberikan tempoh kira-kira sebulan kepada Balasubramaniam untuk menjawab jawapan secara bertulis.

Difahamkan soalan-soalan itu berkaitan dengan elemen rasuah berhubung kes pembunuhan Altantuya dan akan membolehkan SPRM melengkapkan siasatan mereka berhubung aduan dibuat Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Mohd Akin ekoran pendedahan Balasubramaniam menerusi temu bualnnya di Singapura akhir tahun lalu.

Balasubramaniam awalnya mahu mengadakan pertemuan bersemuka dengan pegawai-pegawai kanan SPRM di London pada 5 Julai lalu tetapi rancangan itu dibatalkan oleh suruhanjaya tersebut kira-kira enam hari sebelum itu.

Tindakan mengambil keterangan secara akuan bersumpah atau afidavit itu diperuntukkan di bawah Seksyen 30(1)(c) Akta SPRM 2010.

SPRM membatalkan rancangannya untuk bertemu Balasubramaniam di London atas alasan implikasi undang-undang terhadap proses merakamkan percakapan saksi di luar negara.

Ketika ditemui Ahad lalu, Pengarah Siasatan SPRM Mustafar Ali berkata pihaknya akan menemui saksi-saksi susulan jika wujud keperluan selepas meneliti afidavit Balasubramaniam berhubung maklumat terbaru kes pembunuhan model wanita Mongolia.

“Kalau ada keperluan lagi, kami akan memanggil mereka yang diperlukan... kalau ada keperluan,” kata beliau.

Sehubungan itu beliau enggan mengatakan sama ada siasatan terbaru ini akan selesai sebaik sahaja SPRM menerima afidavit daripada Balasubramaniam.

Mustafar juga mengakui bahawa Balasubramaniam adalah saksi penting yang diperlukan untuk melengkapkan siasatan ini.

Americk berkata maklumat tambahan berkaitan dengan bayaran yang dibuat kepada Balasubramaniam.

“Saya merasakan maklumat ini yang mereka tidak terima sebelum ini tetapi maklumat-maklumat lain terdapat sejak dulu lagi,” katanya.

Pada 4 Dis lalu, Shamsul Iskandar yang membuat laporan dan menyerahkan rakaman temu ramah Balasubramaniam berhubung pembabitan adik Perdana Menteri dalam isu pertukaran akuan sumpahnya mengenai hubungan Altantuya Shaariibuu dengan Datuk Seri Najib Razak kepada SPRM.

Balasubramaniam membuat pengakuan itu pada satu wawancara dengan tiga peguam terkenal di Singapura.

Selepas portal-portal tempatan menyiarkan temu bual itu, beberapa pemimpin atasan Pemuda Pakatan Rakyat menyerahkan laporan kepada SPRM dengan menamakan Datuk Mohamed Nazim Razak dan seorang peniaga permaidani Deepak Jaikishan sebagai dua individu utama yang perlu disiasat.

Deepak juga didakwa kenalan rapat Datin Seri Rosmah Mansor.

Posted by RAKYAT MARHAEN

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.