Najib digesa segera bincang hak pendakwaan SPRM

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 20 Julai: Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub menggesa Perdana Menteri, segera memberi pertimbangan terhadap cadangan Jawatankuasa Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar kuasa pendakwaan kes rasuah diberikan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM.



Beliau yang juga wakil PAS dalam jawatankuasa tersebut menggesa Datuk Seri Najib Razak membentangkan satu rang undang-undang mencadangkan pindaan perlembagaan negara dengan segera bagi membolehkan perkara tersebut dapat dilaksanakan dalam usaha berkesan memerangi rasuah dalam negara.



"Perdana Menteri mesti menjadikan cadangan ini sebagai satu prioriti dalam urus tadbir beliau dan saya mengharapkan ianya dimasukkan ke dalam indeks prestasi utama (KPI) yang baru supaya kita dapat serius dalam memerangi rasuah dalam negara kita," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, semalam.



Menurutnya, dalam beberapa siri pertemuan dengan SPRM, mereka dimaklumkan antara masalah besar bagi pihak mereka adalah tidak dapat membuat pendakwaan dan terpaksa menyerahkan kepada pihak Peguam Negara.



Sehingga kini menurut Salahudin kes-kes rasuah berprofil tinggi banyak tidak dilakukan pendakwaan dan daripada 18 kes katanya, hanya dua kes sahaja yang didakwa.



"Kalau tidak saya rasa semua kes termasuk kes berprofil tinggi hanya diserahkan kepada peguam negara dan terpulanglah kepada peguam negara untuk mendakwa atau tidak dan peguam negara pula bertanggungjawab kepada Perdana Menteri, jadi saya rasa ini tidak ada perubahan besar dalam negara kita," tegasnya.



Beliau juga meminta Najib menjadikan cadangan jawatankuasa khas SPRM itu sebagai perintis dan dimasukkan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).



Selain itu, jaminan juga diberi Salahuddin sebagai mewakili Pakatan Rakyat untuk menyokong usul pindaan perlembagaan itu kerana ianya mesti disokong dua per tiga majoriti.



"Mungkin satu persoalan timbul di sini, untuk meminda perlembagaan negara memerlukan dua per tigamajoriti. Saya yang mewakili PAS, dan wakil DAP seta PKR memberikan jaminan sekiranya Perdana Menteri datang ke Parlimen untuk meminda perlembagaan negara, dan sekarang mereka tidak ada majoriti dua per tiga, kami Pakatan Rakyat memberikan jaminan bahawa kita akan mengundi bagi membolehkan perlembagaan negara dipinda dan membolehkan pesuruhjaya SPRM manjalankan pendakwaan," katanya.



Minggu lepas, jawatankuasa berkenaan mengedarkan laporan tahunan operasi SPRM kepada anggota Parlimen dan Senator, dan mereka boleh membahaskan isu-isu dalam laporan itu di dewan.



Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah Akta SPRM 2008 itu bertujuan menasihati Perdana Menteri mengenai masalah rasuah di negara ini selain menerima laporan tahunan SPRM dan ulasan daripada Lembaga Penasihat SPRM.



Selain Salahudin yang mewakili Pakatan Rakyat, jawatankuasa itu diwakili oleh ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw dari DAP, dan ahli Dewan Negara Senator Zamri Yusuf dari PKR.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.