Peguam syarie: ‘Jangan anggap mahkamah syariah mahkamah kelas kedua’

Syed Mu’az Syed Putra







KUALA LUMPUR, 22 Julai — Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mahu kerajaan mempertingkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah supaya ia tidak diperlekehkan oleh pihak-pihak tertentu yang menganggapnya sebagai “mahkamah kelas kedua”.

Timbalan Presidennya Musa Awang berkata, kedudukan institusi perundangan Islam sering dilihat sebagai tidak setaraf dengan sistem sivil.

“Keadaan ini menyebabkan kedudukan mahkamah syariah pula sering dilihat sebagai mahkamah kelas dua berbanding mahkamah sivil.

“Ini juga telah mewujudkan kecenderungan yang menjurus kepada kedudukan mahkamah syariah seolah-olah tidak dihormati.

“Malah saya melihat senario sekarang apabila berlaku kes mahkamah syariah banyak sangat komen daripada menteri, pemimpin kerajaan, artis dan masyarakat.

“Kalau komen positif tidak apa, tapi ini komen negatif yang boleh memberikan tanggapan buruk di kalangan masyarakat,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata keadaan itu mewujudkan perspektif dalam masyarakat bahawa Mahkamah Syariah lembab, perlahan dan tidak adil.

“Tapi yang berlaku sebenarnya tidak seperti itu kerana mahkamah menjatuhkan hukuman berdasarkan undang-undang dan tidak melebihi batas-batas yang ditetapkan.

“Selain itu, hakim buat kerja berdasarkan undang-undang kalau tidak adil sebenarnya bukan mahkamah tetapi undang-undang sendiri tidak adil,” katanya.

Baru-baru ini Jabatan Kehakiman Syariah Wilayah Persekutuan melantik dua wanita orang hakim mahkamah syariah.

Musa berkata langkah memperkukuhkan kewibawaan institusi perundangan Islam termasuk sistem kehakiman syariah, khususnya dari aspek kepakaran serta guna tenaga juga perlu dilaksanakan.

“Isu berhubung mutu dan perkhidmatan mahkamah termasuk kedudukan jawatan, jumlah kakitangan dan hakim harus diutamakan bagi meningkatkan lagi imejnya.

“Pada masa yang sama, pemimpin politik juga perlu berperanan secara lebih proaktif dalam mempertahankan kedudukan institusi ini dan mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mencalarkan kredibilitinya,” katanya.

Beliau berkata, jika ini dapat dilakukan secara tidak langsung penghormatan masyarakat terhadap institusi itu akan lahir dengan sendirinya.

“Ia penting bagi memastikan objektif dan perjuangan institusi ini sejajar serta selari dengan ajaran Islam.

“Pihak yang menyalahgunakan imej Islam dengan melanggar undang-undang syariah pula perlu dikenakan tindakan tegas,” kata Musa.

Jelas beliau, matlamat utama semua inisiatif ini ialah untuk mendidik dan memberi kefahaman kepada masyarakat berkaitan semua isu yang menyentuh kepentingan umat Islam keseluruhannya serta menyemarakkan lagi syiar Islam di negara ini.

Posted by RAKYAT MARHAEN

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.