Khairy sedar Umno tiada masa depan lagi

Mohd Rashidi Hassan





'TIADA angin tiada ribut'. Tiba-tiba sahaja Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membuat pengumuman bahawa beliau sedang menimbangkan untuk tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya.



Ketika ditanya lanjut oleh agendadaily, laman portal pro-Umno, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, "Pada waktu ini saya lebih cenderung kepada mengosongkan jawatan selepas satu penggal. Walaupun belum muktamad lagi, tapi I am seriously considering."



Khairy menafikan beliau merajuk, tetapi beliau mahu memberi peluang kepada orang-orang baru. Katanya, walaupun usia baru mencecah 36 tahun, namun tiga penggal dalam pemuda sudah terlalu lama. Beliau menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan dalam tempoh dua tahun.



Namun, Khairy mengakui bahawa 'politic is a big boy’s game. Its not child’s play'. Juga beliau akui tiada perlunya bersikap terlalu idealistik atau terlalu berharap.



Mengapa agaknya Khairy bersikap sebegini? Apakah baru sekarang beliau sedar, beliau tidak diperlukan dalam Umno dan tidak berpeluang dilantik menganggotai Kabinet?



Tindakan Khairy ini mencetuskan andaian. Mungkin juga ia satu usaha beliau menarik simpati, sambil memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, melantik duduk dalam kerajaan, dalam suatu rombakan yang dijangka akan dilakukan dalam waktu yang terdekat ini.



Walaupun pelantikan jawatan dalam Kabinet merupakan perogatif PM, namun Khairy ada hak kerana beliau dalam Ketua Pemuda Umno. Tambahan pula Naib Ketuanya sudah dilantik sebagai Timbalan Menteri.



Malah pesaing yang tewas dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda Umno juga sudah dilantik jadi Timbalan Menteri. Beliau 'habuk pun tak ada'.



Selepas setahun lebih Najib mengambil alih jawatan PM dari bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Khairy masih tidak diberi peluang dalam kerajaan.



Tanpa jawatan dalam kerajaan, Khairy sukar untuk bergerak. Beliau tidak ada platform untuk meraih sokongan juak-juak dan kroni. Beliau tiada bajet untuk 'membela' kroni.



"Dulu masa dia Naib Ketua dia ada bajet besar, maklumlah masa tu bapa mertua dia PM. Orang kata masa tu kalau Hisham (Dato' Seri Hishammuddin Hussein) lawat bahagian, bawa 30K (RM30 ribu), dia akan cover balik dengan 70K (RM70 ribu).



"Sebab tu dia dapat pencalonan besar sebagai Ketua," kata seorang bekas Ketua Pemuda Umno bahagian kepada penulis.



Penulis pun tidak dapat memastikan sama ada dakwaan pemuda Umno ini benar atau tidak, wallahua'lam. Tetapi yang pasti Khairy disabitkan dengan kesalahan mengamalkan politik wang.



Beliau didapati bersalah, tetapi dilepaskan dengan amaran. Nak tahu banyak mana, kena tanya Jawatankuasa Disiplin Umno.



Apa pun, amalan 'membela' kroni dalam Umno adalah perkara biasa dalam sebuah parti yang mengamalkan politik wang. Setiap kali pembesar turun ke bahagian, maka 'bergayut-gayutlah' juak dan kroni menanti habuan.



Untuk seseorang pemimpin menaburkan habuan kepada juak dan kroni, mereka harus mempunyai jawatan tinggi dalam kerajaan ataupun menjadi pengarah kepada berpuluh-puluh buah syarikat milik kerajaan.



Maka dalam keadaan Khairy tidak berjawatan, dalam keadaan sekarang beliau dijangka tidak mampu untuk 'maintain' juak dan kroni. Jika adapun yang boleh dihulur, barangkali tidaklah selebat dahulu.



Isunya di sini, bukan soal memberi peluang kepada orang baru, hakikat sebenarnya yang Khairy tidak harus sembunyikan ialah sebaik sahaja Abdullah melepaskan jawatan PM, masa depannya dalam Umno sudah terlalu gelap.



Khairy tidak harus lupa bagaimana beliau dan bapa mertuanya 'disumpah-seranah' dengan teruknya oleh ahli-ahli Umno akibat kekalahan besar Umno-BN pada PRU ke-12, 8 Mac 2008.



Memang tidak patut diletakkan kesalahan kepada Abdullah dan Khairy, yang ditolak rakyat bukannya mereka berdua sahaja, tetapi Umno dan Barisan Nasional keseluruhannya.



Tetapi Umno tidak mahu mengakui hakikat ini. Mereka mahu mencari 'kambing hitam'. Abdullah sudah menjadi mangsa. Kali ini giliran Khairy pula. Orang-orang Umno tidak akan 'duduk diam' selagi Khairy tidak 'dihapuskan'.



Umno mengamalkan pemusatan kuasa. Ketika Abdullah berkuasa, semua orang mahu jadi orang Abdullah. Cantas mencantas berlaku. Pelantikan anggota Kabinet, malah Menteri Besar pun harus 'orang Pak Lah'.



Pendek kata, sesiapa yang menjadi PM dan Presiden Umno ketika itu, ianya adalah era dia 'beraja dan bertakhta' dalam Umno dan kerajaan.



Pemusatan kuasa dalam Umno ini, dilakukan sejak zaman Mahathir memerintah.



Kali ini zaman Najib berkuasa, orang-orang Abdullah, anak beranak, penyokong dan kroni yang melakukan onar dalam tempoh Abdullah berkuasa, harus dibersihkan. Kecuali mereka-mereka yang menjadi 'talam dua muka' dan golongan yang 'mencari makan' dalam Umno.



Oleh itu, dalam keadaan sekarang sukar untuk Najib melantik Khairy dalam Kabinet selagi 'musuh sebenar' beliau, Tun Mahathir Mohamad masih hidup.



Mungkin juga Najib hendak beri peluang kepada Khairy, tetap beliau mungkin tidak akan tahan apabila 'orang tua' itu mula membebel.



Maka dengan sebab itu Khairy tiada pilihan lain. Sama suka atau tidak beliau terpaksa melepaskan jawatan sama ada sampai dua tahun atau tidak, bergantung kepada keadaan.



Antara sebab yang mendorong beliau mengundurkan diri, pertama, sebab beliau tidak dilantik dalam Kabinet. Pengaruh Mahathir begitu besar dalam hidup Najib sehingga menyukarkan beliau membuat keputusan.



Kedua, jika ada pemilihan Ketua Pemuda, barangkali beliau tidak mendapat pencalonan yang mencukupi. Waktu pemilihan merupakan kesempatan terbaik bagi musuh untuk 'menghapuskan hayat politik' beliau dan gesaan untuk beliau meletakkan jawatan sudah kedengaran dalam Pemuda Umno sekarang.



Ketiga, oleh kerana akan tiada jawatan, tiada pengaruh lagi, mungkin juga menjelang PRU ke-13, beliau tidak dicalonkan semula untuk kerusi Parlimen Rembau.



Dan keempat, barangkali Khairy sedar bahawa Umno sudah tiada masa depan. Umno-BN ibarat 'tongkang pecah' menanti hendak karam. Oleh itu sebelum beliau tenggelam bersama Umno-BN, baik dia berundur dahulu.



Apa pun Khairy sebenarnya bernasib baik kerana, beliau dapat bertahan lebih lama daripada Abdullah. Kalau diikutkan kehendak Mahathir dan musuh-musuhnya, mereka mahu kedua mertua menantu itu merudum sama-sama.



Dalam keadaan Abdullah sudah kehilangan kuasa, Khairy ibarat 'anak ayam kehilangan ibu'. Beliau tiada tempat bergantung, tidak dikehendaki dalam Umno. Berada dalam situasi sebegini amat menyukarkan beliau untuk melaksanakan tugas Ketua Pemuda Umno.



Masalah yang menimpa Abdullah dan Khairy, tidak harus dilihat dalam aspek yang terpencil. Pemerintahan Abdullah mencetuskan banyak persepsi negatif terhadap beliau, keluarga dan kroni. Ia harus dijadikan iktibar buat semua yang pernah berkuasa.



Semua pemimpin politik harus mengambil iktibar. Sesiapa pun yang berada di tampuk kuasa, atau pernah digelandangi dengan kekuasaan, tidak harus dilihat tamak, bongkak dan mementingkan diri, keluarga serta kroni.



Hakikatnya, kita harus sedar bahawa kekuasaan, kekayaan dan pengaruh, bukan milik kita selamanya.



Ambillah pengajaran dari firman Allah (mafhumnya):



"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."(Surah Ali Imraan, ayat 26)



Semua pihak yang berseteru dalam Umno, sama ada Mahathir atau Khairy, atau sesiapa sahaja harus sedar bahawa, Umno-BN sudah tiada masa depan dalam negara.



Trend pada waktu ini, masa depan rakyat Malaysia adalah bersama Pakatan Rakyat.



Untuk Umno, mereka boleh berebut jawatan, mereka boleh tumbangkan semua orang-orang Abdullah, mereka boleh melakukan pembersihan sesuka hati dalam Umno kerana Najib berkuasa.



Buatlah apa pun, sebelum Umno-BN 'dibersihkan' oleh rakyat pada PRU ke-13 nanti.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.