Elak amal politik garisan kaum, Kit Siang ingatkan Pakatan

February 20, 2011
KUALA LUMPUR, 20 Feb — Dengan dua dari tiga komponen Pakatan Rakyat (PR) memperlihatkan ciri parti pelbagai kaum, 
Lim Kit Siang mengakui perikatan berusia tiga tahun itu perlu bergerak menjangkaui politik mengikut garisan kaum.
Dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insider, pemimpin veteran ini mengakui bukan Barisan Nasional (BN) sahaja yang bersalah kerana meletakkan garisan-garisan perkauman, PR perlu mengelak kesilapan sedemikian untuk terus kekal sebagai perikatan kuat di negara ini.
Lim mengakui amalan meletakkan tanggungjawab agar DAP memastikan sokongan orang Cina manakala PAS pula memberi tumpuan ke atas pengundi Melayu ketika kempen politik sudah ketinggalan zaman.
Malah katanya, amalan sedemikian juga bukan sesuatu yang sihat.
“Ia tidak sihat. Kita kena keluar dari keadaan itu,” kata Ahli Parlimen Ipoh Timur yang genap 70 tahun hari ini.
Pemimpin-pemimpin kanan, rakan dan anggota keluarganya berhimpun di Hotel Equatorial, Bukit Jambul, Pulau Pinang, malam tadi untuk memberi penghormatan dan menyambut hari jadi beliau.
Antara yang hadir ialah Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli jawatankuasa PAS pusat Mohamed Sabu.
Tetamu-tetamu yang hadir pada majlis sambutan itu menyaksikan video 43 minit yang menggambarkan perjalanan politik Penasihat DAP itu dan diedarkan buku berjudul “The Right To Differ”, karya Dr Ooi Kee Beng.
Lim berkata, selaku parti yang hanya bergerak di kawasan-kawasan bandar, sokongan kepada mereka kebanyakannya datang daripada masyarakat bukan Melayu dan ia juga tidak dibantu dengan “propaganda yang disumbat Umno.”
“Kita lihat perkara ini sehingga sekarang, malah ia lebih teruk di peringkat awal (masa lalu), Umno akan memberitahu orang Melayu bahawa jika mereka menyertai DAP mereka akan menjadi pengkhianat, malah sehingga sekarang mereka meneruskan dengan racun ini,” katanya.
Meskipun begitu kata Lim, partinya mempunyai tanggungjawab untuk mendekati rakyat dan memperlihatkan bahawa “kita ini bukan parti Cina atau parti berteraskan kaum, tetapi bekerja demi kepentingan nasional semua kaum.”
Katanya, memandangkan parti itu menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang, maka ia satu peluang untuk mengubah persepsi orang Melayu terhadap DAP dan “memberi ruang bagi lebih ramai orang Melayu menyertai DAP.”
Bagaimanapun Lim tidak mengatakan sama ada DAP akan meletakkan calon di kawasan-kawasan yang majoritinya orang Melayu memandangkan “kami berada dalam pakatan di mana bukan mudah untuk meletakkan calon Melayu kami sendiri untuk bertanding di kawasan-kawasan Melayu.”
Kebanyakan wakil rakyat DAP adalah daripada kalangan masyarakat Cina manakala PAS pula dilihat sebagai parti Islam dengan majoriti daripada mereka merupakan orang Melayu.
PAS sedang berusaha untuk mendapatkan balik sokongan orang Melayu dengan bekerja keras ke arah itu, khususnya semalam, mereka mengadakan dua majlis besar-besaran masing-masing di Kedah dan Selangor.
Dalam pada itu, PKR pula, parti pelbagai kaum dengan majoritinya orang Melayu, lazimnya menyerahkan tugas dan tanggungjawab menangani isu kepada wakil kaum masing-masing.
Lim berkata, meskipun cabaran politik utamanya daripada MCA dan Gerakan, adalah tidak adil untuk melabel DAP sebagai sebuah parti Cina memandangkan ia pernah mempunyai seorang Adun Melayu ketika pertama kali bertanding pada pilihan raya umum 1969, yang turut menyaksikan parti itu mempunyai empat Ahli Parlimen dari kaum India, lebih daripada MIC yang merupakan komponen BN.
Katanya, serangan ke atas DAP adalah “gambaran wujudnya fobia dalam Umno bahawa mereka kemungkinan akan kehilangan sokongan orang Melayu dan jika PR boleh melepasi (cabaran itu), hari-hari Umno sudah dihitung.”
“Ia satu bentuk politik terdesak,” katanya lagi.
Bagaimanapun kata beliau, aset paling besar PR ialah ia cuba membawa bersama pelbagai kaum dan agama.
“Sebenarnya, jika anda bercakap mengenai 1 Malaysia, PR yang cuba untuk menunjukkan pengertiannya meskipun itu adalah slogan mereka (BN),” kata Lim merujuk kepada gagasan yang dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sejak dua tahun lalu.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.