DATO' Seri Najib Razak seperti mahu menekankan beliau sememangnya serius untuk melakukan perubahan dalam Umno, sambil menyampaikan mesej jelas bahawa beliau turut berusaha keras bagi menawan semula empat negeri yang kini dikuasai Pakatan Rakyat, melalui rombakan besar barisan pengerusi perhubungan dan jawatankuasa pengurusan parti itu, Jumaat lalu.
Meskipun gimik perubahan yang cuba dicetuskannya pada hari pertama mengangkat sumpah sebagai perdana menteri telah ditolak oleh pengundi Bukit Gantang dan Bukit Selambau, Najib masih menyandarkan harapan agar team barunya ini dapat mengembalikan sokongan rakyat kepada BN. Namun formula pembaharuannya tidak menjadi; imiginasi rakyat gagal menjangkau apa yang diangan-angankannya.
Tarik sokongan pengikut Anwar
Pemerhati politik melihat Najib seakan mahu menarik sokongan pengikut Dato' Seri Anwar Ibrahim apabila melantik beberapa tokoh muda yang dilihat pernah cenderung dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu dalam Kabinet dan juga memberi jawatan strategik dalam parti kepada mereka. Malah, kalau mahu disenaraikan, rasanya agak ramai juga menteri dan timbalan menteri di bawah Najib yang dikatakan pro-Anwar satu ketika dahulu.
Walaupun dilihat ada elemen perubahan semasa melantik Menteri Kewangan II, Dato' Ahmad Husni Hanadzlah sebagai Bendahari dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan sebagai Ketua Penerangan, namun apabila mengekalkan ahli politik kontroversi, Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai Setiausaha Agung, keputusan Najib itu tidak jauh bezanya dengan kelaziman perdana menteri sebelum ini yang meletakkan orang yang berkeupayaan melakukan misi "yang dikehendaki" meskipun ianya mempunyai imej negatif.
Najib juga melantik pengerusi perhubungan Umno yang baru untuk negeri-negeri Pakatan Rakyat, iaitu Dato' Mustapa Mohamad (Kelantan), Dato' Seri Mohd Shafie Apdal (Kedah), Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Pulau Pinang) dan beliau sendiri di Selangor, selain Tan Sri Muhyiddin Yassin di Wilayah Persekutuan, yang menyaksikan hanya satu kerusi Parlimen, Setiawangsa, dipertahankan BN.
Erti mengekalkan Ali Rustam
Bagaimanapun, tindakan Najib mengekalkan Dato' Seri Mohd Ali Rustam, tokoh yang digugurkan kelayakan untuk bertanding Timbalan Presiden Umno walaupun mempunyai harapan cerah untuk menang, kerana disabit dengan politik wang, bagi mengetuai Umno Melaka, maka janji perubahannya memang ternyata retorik kosong.
Kita teringin juga mendengar komentar pengerusi badan disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithauddin mengenai pengekalan jawatan Ali di Melaka itu. Mungkin veteran Umno itu perlu meletakkan jawatan atau sekali lagi membuat cadangan menggemparkan sepertimana beliau pernah mengesyorkan agar sayap Puteri, Wanita dan Pemuda dimansuhkan bagi membanteras amalan rasuah politik.
Jika Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin tidak dilantik apa-apa jawatan dalam Kabinet kerana dikaitkan dengan dakwaan bahawa beliau membeli undi dan mengamal rasuah politik dalam pemilihan lalu, apa pula alasan Najib untuk tidak menyingkirkan Ali? Begitu juga dengan perlantikan Tan Sri Rafidah Aziz sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT), yang selama ini terpalit teruk dengan tuduhan "menjual" AP oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, dan sebelum itu dikaitkan dengan amalan rasuah di Miti, seperti didedahkan Anwar kepada BPR.
Tentunya tidak mudah untuk meneka apakah kayu ukur yang dipakai Najib bagi melantik anggota jemaah menteri atau barisan pimpinan Umno. Pastinya ia tidak disandarkan kepada sejauh mana seseorang itu bersih daripada rasuah atau salahguna kuasa. Seperti presiden Umno terdahulu, kriteria terpenting tidak lain adalah kesetiaan dan keupayaan melakukan "misi yang dikehendaki".
Najib-Muhyiddin pasangan sementara
Misalnya, dalam kes Muhyiddin, yang dipilih Najib sebagai regunya, walaupun ramai menjangkakan mereka hanya "pasangan sementara". Najib terhutang budi kepada Muhyiddin disebabkan kelantangannya mendesak Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur segera daripada jawatan no 1 dalam kerajaan dan Umno, malah lebih cepat daripada perancangan awal.
Apabila Zahid mengumumkan untuk bertanding merebut jawatan timbalan presiden Umno, Najib khabarnya segera menitahkan bekas Ketua Pemuda Umno itu mengadapnya. Najib dikatakan memarahi Zahid, yang tidak memaklumkan hasrat untuk bertanding jawatan no. 2 itu kepadanya. Disebut orang bahawa tokoh yang meminta Zahid bertembung dengan Muhyiddin adalah Abdullah sendiri. Zahid pernah menjadi setiausaha politik Najib dalam jangka waktu yang agak lama. Meskipun berpotensi dapat mengatasi Muhyiddin, Zahid akhirnya terpaksa menarik diri.
Perlantikan Rafidah juga dikira mempunyai elemen sama, yakni difaktorkan oleh, antara lain, rasa terima kasih Najib atas kelantangan bekas Ketua Wanita itu untuk menggesa Abdullah bersara lebih cepat. Tengku Adnan yang dikaitkan dengan klip video VK Lingam juga dilihat mampu menjadi panglima paling setia kepada Najib dan sanggup melakukan "taktik kotor" untuk menjayakan misi presiden parti.
II. Apa nak dirayakan pada Hari Kebebasan Akhbar Sedunia
Pada 3 Mei depan, seluruh dunia akan menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, yang diiktiraf secara rasmi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mulai 1993. Menurut PBB, 3 Mei adalah hari untuk: (1) menggalakkan dan membina usaha bagi menyokong kebebasan akhbar; (2) menilai kebebasan akhbar di seluruh dunia; (3) mengingatkan kerajaan masing-masing agar menunjukkan iltizam untuk menghormati kebebasan akhbar; (4) menyedarkan orang ramai betapa pentingnya akhbar itu bebas; (5) mengingatkan petugas-petugas media dan menggalakkan debat di kalangan mereka betapa pentingnya kebebasan akhbar dan etika kewartawanan; (6) mengenang jasa wartawan yang terkorban di seluruh dunia; dan (7) menyatakan sokongan kepada media dan petugas media yang menjadi mangsa tindakan-tindakan menghalang, atau usaha menghapuskan, kebebasan akhbar.
Semasa saya mengetuai Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) pada 2001, beberapa program khusus dianjurkan, antara lain mengadakan siri pertemuan dengan Suhakam, khususnya bersama Naib Pengerusinya, Almarhum Tan Sri Harun Hashim. Suhakam digesa memainkan peranan aktif untuk campur tangan setiap kali wujud kes-kes penutupan akhbar dan majalah di negara ini. Ketika itu kecoh soal pengharaman majalah Detik dan Wasilah yang saya sendiri kendalikan (permit disewa daripada rakan-rakan pemegang permit). Akhbar mingguan politik, Eksklusif turut dibatalkan permit penerbitan, manakala Harakah dicantas kekerapan penerbitannya, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan.
Apa kuasa Suhakam
Tidak banyak yang boleh dilakukan Suhakam bagi mempromosikan kebebasan akhbar di negara ini, apatah lagi mengembalikan permit penerbitan yang diharamkan KDN. Justeru, dalam satu pertemuan dengan Harun Hashim, secara spontan saya memberikan gred merah D kepada prestasi Suhakam. Saya kira usaha paling berkesan untuk memperjuangkan hak media adalah dengan penggemblengan suara rakyat dan masyarakat sivil yang lebih teratur dan sistematik.
Ramai masih tidak jelas apa yang mahu dituntut oleh pejuang kebebasan akhbar. Malah, rakyat mungkin kurang menyedari kepentingan atau peri mustahaknya media diberikan ruang secukupnya untuk melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan. Media independen dapat memastikan gejala rasuah dan salahguna kuasa dapat dibanteras, selain menyuburkan amalan demokrasi yang matang.
Menurut Jeremy Pope dalam bukunya Strategi Membanteras Korupsi, yang diusahakan bersama dengan Transparency International, media yang bebas sama pentingnya dengan kehakiman yang independen. Tingkat kebebasan media adalah tingkat yang dapat dicapainya untuk melaksanakan fungsi pengawasan masyarakat yang efektif atas perilaku kakitangan awam. Dikutip pandangan seorang editor Time Inc, Henry Grunwald bahawa "pemerintah yang terpilih secara demokratis dan patuh sekalipun dapat dengan mudah menjadi pemerintah yang korup bila kekuasaannya tidak diawasi oleh akhbar yang bebas".
Setelah sekian lama menyepi, tiba masanya KAMI kembali berperanan, sekurang-kurangnya untuk merayakan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia tahun ini, walaupun saya sendiri kurang arif, ya ... apa yang mahu dirayakan sebenarnya? _
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan