Ruangan Nota Utara kali ini akan mengutarakan isu mengenai sebuah institusi pengajian tinggi awam yang terletak di utara tanahair iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM). UUM pernah mendapat jolokan 'Universiti Umno Malaysia' sewaktu awal penubuhannya.
Pada era 1980-an, hampir semua Persatuan Mahasiswa Universiti tempatan dikuasai oleh kumpulan Islam. UUM telah menggunakan pendekatan melakukan 'pencegahan dari awal' agar kampusnya tidak didominasi oleh pelajar-pelajar dari kumpulan Islam mahupun propembangkang.
Terdapat pelajar yang digantung pengajian kerana didakwa terbabit dengan kegiatan politik pembangkang dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Arau yang dimenangi oleh Ustaz Hashim Jasin.
Kumpulam Islam pernah juga memenangi pilihan raya Majlis Perwakilan Pelajar, namun kemenangan mereka semacam tidak membawa apa-apa makna kerana kebanyakan kegiatan dibekukan. Pihak pentadbir bekerja keras mempastikan elemen 'anti establishment' tidak bertapak di kampus.
Dalam isu yang lain, baru-baru ini heboh laporan menggemparkan apabila sebuah syarikat D-Men Resources (M) Sdn Bhd (DRSB) menfailkan tuntutan saman RM5.85 juta terhadap UUM. Saman difailkan pada 5 April 2009 di Mahkamah Tinggi Alor Star melalui firma guaman Tetuan C.V Devan & Co dari Klang.
Apabila sebuah IPTA diseret ke mahkamah dengan saman yang begitu besar, ia bukan suatu perkara kecil. Menara gading adalah simbol kecemerlangan dan kemuliaan. Ia bukan parti politik atau syarikat perniagaan, sehingga begitu mudah ia diseret ke mahkamah. Mungkinkah ada sesuatu yang tidak kena di pihak pentadbiran universiti, membenarkan imej sebuah IPTA tercemar akibat isu mahkamah tersebut?
Saman yang dibuat terhadap UUM itu adalah atas kemungkiran kontrak berkaitan perjanjian yang ditandatangani bagi usahsama dalam menawarkan program Master of Business Administration (MBA).
Pengarah Urusan syarikat Plaintif tersebut, Azahar Abdul Rahman mendedahkan bahawa hasil persetujuan daripada perjanjian yang ditandatangani bersama UUM pada 7 Julai 2003, pihak DRSB telah mengambil alih operasi Kampus UUM Cawangan Sungai Petani dan menanggung kos perbelanjaan menyediakan prasarana Kampus UUM di Kulim Hi Tech Park, Kedah dan operasi Kampus Sungai Petani secara rasminya dipindahkan ke Bangunan Kulim Hi Tech Park pada November 2003. Kampus tersebut telah dirasmikan Menteri Besar Kedah ketika itu, Dato' Seri Syed Razak Syed Zain.
"Pihak DRSB kemudiannya diminta membayar honorarium kepada pensyarah-pensyarah UUM yang pada asalnya tidak terdapat didalam Perjanjian yang ditandatangani sebelumnya dan pembayaran ini dipersetujui kedua pihak dengan syarat UUM menghantar kursus-kursus baru ke Kampus UUM Kulim bagi menampung kos tambahan pembayaran honorarium tersebut.
"Namun setelah hampir RM350,000.00 honorarium dibayar kepada pensyarah, UUM gagal menunaikan janji mereka malah menolak kursus-kursus yang berpotensi yang dicadangkan oleh pihak DRSB. Keengganan UUM untuk menawarkan kursus baru menyebabkan pihak plaintif terpaksa menanggung kerugian kos operasi Kampus UUM Kulim kerana hanya satu kursus sahaja ditawarkan di kampus tersebut," terang Azahar.
Selain itu, katanya, selepas beberapa bulan operasi Kampus UUM Kulim bermula pada pertengahan tahun 2003, pihak UUM juga telah melantik sebuah lagi syarikat untuk mengendalikan program MBA yang sama di Pulau Pinang yang jaraknya tidak jauh dari Kampus UUM Kulim dan menjadi pesaing kepada Kampus UUM Kulim.
"Keadaan ini juga turut menyumbang kepada kemerosotan bilangan pelajar. Selain itu UUM menawarkan lima program/kursus melalui syarikat baru tersebut. UUM telah gagal memastikan program ditawarkan tersebut diberikan kepada DRSB secara ekslusif di bahagian Utara Malaysia sepertimana terkandung dalam perjanjian tersebut dan juga tindakan UUM samasekali bertentangan dengan kenyataan sidang akhbar yang diberikan oleh Naib Canselor UUM pada ketika itu, Kol Prof Datuk Dr Ahmad Fawzi Mohd Basri di suratkhabar The New Straits Times pada 22 Julai 2003 di mana beliau menyatakan program tersebut adalah diberikan kepada DRSB secara eksklusif di Perak, Pulau Pinang dan Kedah," bongkar Pengarah Urusan DRSB tersebut.
Tambahnya, apabila dikemukakan kepada pihak UUM, pihak pentadbir di Koleh Pengurusan Perniagaan UUM dan Pusat Pembangungn Eksekutif saling menuding jari melepaskan tanggungjawab masing-masing menyebabkan masalah ini berlarutan tanpa sebarang tindakan.
Azahar juga menegaskan bahawa DRSB telah bersetuju untuk membiayai kos untuk menyediakan fasiliti di Kulim secara ekslusif untuk UUM kerana representasi dan keyakinan yang diberikan oleh wakil-wakil UUM bahawa mereka akan memberikan lebih banyak program-program dan kursus-kursus selain daripada MBA sahaja pada masa hadapan.
DRSB telah membelanjakan lebih RM500,000 dalam membiayai segala kos pengubahsuaian bangunan dan oleh kerana UUM enggan memberikan kursus-kursus baru, maka DRSB menuntut pampasan jumlah tersebut.
DRSB juga menuntut ganti rugi sejumlah RM5 juta untuk kos dan perbelanjaan dalam menjalankan kursus MBA sahaja tanpa diberikan kursus-kursus baru dan kegagalan UUM dalam usaha membantu mempromosikan program MBA, serta untuk kehilangan keuntungan kerana UUM memberikan 5 kursus-kursus baru kepada pesaingnya di Pulau Pinang termasuk untuk gantirugi am, teladan dan exemplari serta untuk pecah amanah dan kemungkiran duti berjaga-jaga yang wajib diberikan oleh UUM kepada DRSB di bawah perjanjian tersebut.
Persoalan besar di sini, mengapa pentadbir UUM membiarkan sesuatu masalah besar berlarutan sehingga mereka boleh diseret ke mahkamah. Mengapa lemah sangat pentadbirannya? Tan Sri Muhyiddin Yasin kena jenguk-jenguk UUM dan 'lakukanlah sesuatu' agar reputasinya tidak hancur musnah.
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan