Kerana kuasa BN bunuh doktrin pengasingan kuasa

Kita masih lagi membincangkan isu di Perak. Kali ini saya akan menyentuh satu isu besar iaitu 'pembunuhan' doktrin pengasingan kuasa (separation of powers) oleh siapa lagi kalau bukan Umno.

Bagi mereka yang terdedah dengan undang-undang Perlembagaan atau sains politik istilah pengasingan kuasa bukanlah suatu yang benda yang baru.


Bagi sarjana undang-undang Barat mereka menganggap istilah pengasingan kuasa dicipta oleh ahli falsafah politik Perancis iaitu Baron de Monstequieu. Doktrin pengasingan kuasa adalah satu model kepada sebuah kerajaan yang demokratik. Ianya juga dikenali di dalam bahasa Perancis sebagai trias politica.

Secara mudahnya doktrin pengasingan kuasa bermaksud pembahagian kuasa politik sebuah negara yang diasingkan kepada tiga cabang iaitu kuasa legislatif (penggubal undang-undang seperti Parlimen atau DUN), kuasa eksekutif (pelaksana dasar) dan kuasa kehakiman (penafsir undang-undang).

Ketiga-tiga cabang ini sengaja diasingkan bagi memastikan kelicinan pentadbiran sesebuah kerajaan. Dengan pengasingan kuasa tersebut maka dapat dielakkan satu pertembungan kuasa di antara ketiga-tiga cabang penting tersebut.

Setakat ini negara kita masih mengiktiraf doktrin pengasingan kuasa ini meskipun berlaku juga kadangkala pertembungan di sana di sini.

Dari segi Islam doktrin pengasingan kuasa ini juga bukanlah suatu yang baru. Sebab itu bagi mereka yang mempelajari Islam khususnya siyasah syar?iyyah mereka akan biasa mendengar istilah seperti sulthotun tasyri?iyyah (kuasa legislative), sulthotun tanfiziyyah (kuasa eksekutif) dan sulthotun qada?iyyah (kuasa kehakiman/judiciary).

Sehingga sebelum berlakunya krisis di Perak nampaknya Umno masih boleh dikatakan sedikit sebanyak menerima doktrin pengasingan kuasa tersebut. Tetapi apabila Umno mula mencetuskan krisis di Perak, demi mempertahankan kuasa yang mereka rampas dari kerajaan pilihan rakyat, Umno mula sanggup bermatian-matian cuba menghapuskan doktrin tersebut.

Pada 18 Februari lalu Speaker Perak, V Sivakumar yang juga bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan (Rights and Privileges Committee) telah menggantung Zambry selama 18 bulan dan enam exco BN yang lain selama 12 bulan.

Mengikut doktrin pengasingan kuasa yang diterima pakai di negara ini, keputusan Speaker tersebut adalah satu keputusan dari satu cabang kuasa politik iaitu badan legislatif. Oleh yang demikian berdasarkan doktrin tersebut keputusan speaker tersebut tidak boleh dicabar oleh satu lagi kuasa politik iaitu badan kehakiman.

Isu sama ada keputusan speaker tersebut betul atau sebaliknya tidak berbangkit kerana mengikut doktrin pengasingan kuasa, pihak Mahkamah tidak dibenarkan campur tangan urusan badan legislatif yang antara anggota pentingnya adalah Speaker Dun.

Apabila Mahkamah tidak boleh campur tangan tidak bermakna sesuatu keputusan speaker tidak boleh dicabar sama sekali. Boleh tapi bukan di Mahkamah. Doktrin pengasingan kuasa membenarkan badan legislatif iaitu dalam konteks kes di Perak, Dun Perak menyelesaikan masalah dalaman tersebut.

Terdapat banyak keputusan Mahkamah sama ada di negara ini atau di negara Komanwel yang secara jelas memutuskan bahawa pihak Mahkamah tidak boleh campur tangan sebarang urusan yang melibatkan urusan dalaman badan legistatif. Keengganan mahkamah untuk campur tangan adalah kerana menghormati doktrin pengasingan kuasa tersebut.

Sekarang ini saya akan mengemukakan tiga dari lima kes yang diputuskan oleh Mahkamah Malaysia yang secara terang dan nyata mempertahankan doktrin pengasingan kuasa tersebut.

Kes pertama adalah kes Lim Cho Hock lwn Speaker Dun Perak (1979) 2 MLJ 85. Di dalam kes ini secara ringkasnya pemohon iaitu Adun Bukit Kepayang mencabar di mahkamah berkaitan isu sama ada kerusi speaker dikira kosong kerana speaker didakwa telah gagal mengangkat sumpah sebagaimana Adun-Adun yang lain. Hakim Abdoolcader memutuskan Dun mempunyai kata pemutus sama ada speaker telah hilang kelayakan atau tidak dan perkara tersebut hendaklah diputuskan di dalam Dun dan tidak di Mahkamah.

Kes kedua adalah kes Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun lwn Dun Sabah & yang lain (1986) 2 MLJ 388. Di dalam kes tersebut pihak pemohon cuba mendapatkan perintah halangan (injunksi) ke atas Dun Sabah agar tidak bersidang kerana menurutnya Yang Di Pertua Negeri ketika memanggil sidang Dun telah mendapat nasihat dari Ketua Menteri yang bagi pemohon bukan orang yang layak menjadi Ketua Menteri.

Mahkamah menolak permohonan injunksi tersebut dan memutuskan bahawa keesahan (validity) sesuatu sidang Dun tidak boleh dicabar di Mahkamah.

Kes ketiga adalah kes Fan Yew Teng lwn Kerajaan Malaysia (1976) 2 MLJ 262. Di dalam kes tersebut pihak Plaintif (Fan Yew Teng) telah memohon agar Jawatankuasa Hak Keistimewaan (Committee of Privileges) di Parlimen tidak membincangkan ketidaklayakan beliau sebagai Ahli Parlimen sehingga proses rayuan beliau di atas keputusan Mahkamah menyabitkan beliau bersalah di atas tuduhan hasutan ditentukan atau dimuktamadkan oleh Mahkamah yang paling tinggi.

Sekali lagi Mahkamah melalui Hakim Chang Min Tat memutuskan bahawa sebarang keputusan sama ada oleh Parlimen sendiri atau Jawatankuasa yang dibentuk oleh Parlimen tidak boleh dicabar di Mahkamah.

Dua kes yang lain adalah kes Tun Datu Mustapha bin Datu Harun lwn Tun Datuk Hj Mohamed Adnan Robert (1986) 2 MLJ 391 dan kes Hj Salleh bin Jafaruddin lwn Datuk Celestine Ujang (1986) 2 MLJ 412.

Meskipun Umno tahu dan sedar kesemua keputusan kes-kes di atas memihak kepada Sivakumar yang sekaligus mengesahkan bahawa Zambry dan enam exconya yang lain tidak boleh mencabar keputusan Sivakumar, Umno nampaknya mempersetankan kes-kes tersebut dan masih mahu meminta Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Sivakumar.

Sekarang ini keputusannya di tangan lima orang hakim Mahkamah Persekutuan yang antara lima orang hakim tersebut adalah Dato' Seri Augustine Paul (saya rasa agak relevan menyebut namanya).

Dalam keadaan sistem kehakiman di Malaysia sering diperhatikan dengan penuh kecurigaan, sebarang keputusan dari Mahkamah bukan sahaja akan dinilai oleh rakyat Perak tetapi juga seluruh dunia.

Bagi lima orang hakim tersebut kata-kata seorang Hakim Yahudi yang agak berani menentang rejim Israel sendiri iaitu Hakim Ehun Barak amat relevan untuk direnung:

"Hakim hendaklah memutuskan sesuatu kes mengikut undang-undang. Ingatlah para hakim jika kamu sedang duduk untuk menghakimi sesuatu kes kamu pada hakikatnya sedang dihakimi."

Menghakimi lima orang hakim Mahkamah Persekutuan adalah apa yang dilakukan oleh rakyat Malaysia pada masa ini.- tajdid_

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.