PM tentu kedudukan BN di Penanti

Keputusan sama ada BN akan bertanding dalam pilihanraya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti akan ditentukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno.


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Najib akan mengadakan perbincangan dengan Biro Politik parti yang dipengerusikannya dalam tempoh terdekat ini sebelum mengambil keputusan tentang perkara itu.

"Sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno, Perdana Menteri akan berbincang dengan biro politik dalam tempoh terdekat ini dan akan membuat keputusan yang sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Minggu Saham Amanah Malaysia 2009 di Plaza Angsana di Johor Bahru hari ini, lapor Bernama.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihanraya kecil DUN Penanti pada 23 Mei ini, dan hari mengundi pada 31 Mei.

Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno turut ditanya tentang pandangan daripada pelbagai pihak termasuk daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Umno Bahagian Permatang Pauh yang mahukan BN bertanding pada pilihanraya kecil DUN Penanti itu.

"Kita akan mengambil kira semua pandangan," jawabnya.

Selain pandangan mahukan BN bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti itu, terdapat juga pihak yang berpendapat parti tidak perlu bertanding untuk mengelak daripada terlibat dalam permainan politik pembangkang.

Mesyuarat biro politik

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita di Putrajaya hari ini, Najib berkata biro politik Umno akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan sama ada wakil parti itu akan bertanding di Penanti.

najib razak acccim 170409 pc"Nantilah, kita akan bermesyuarat dalam sedikit masa lagi," kata Najib yang juga pengerusi biro tersebut ketika sidang akhbar mengenai langkah kerajaan meliberalisasi sektor kewangan, di sini.

Mengenai cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak membenarkan lagi "pondok panas" ditempatkan berhampiran pusat mengundi, Najib berkata ia merupakan langkah baik kerana ia boleh menimbulkan suasana tenteram dan mengelakkan kekacauan.

"Dengan bilangan penyokong yang ramai di pondok panas boleh menimbulkan kekacauan dan mengganggu para pengundi," katanya.

Kerusi DUN Penanti itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin, 33 daripada PKR pada 16 April lalu.

Fairus sebelum ini turut meletakkan jawatannya sebagai timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang berikutan dengan tuduhan terlibat dengan rasuah.

Khamis lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimanapun menjelaskan ia tidak ada asas untuk mendakwa beliau.

Dalam pilihanraya umum tahun lalu, Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.