KUALA LUMPUR, 21 Feb (Hrkh) - SPRM yang dahulunya dikenali sebagai BPR digesa segera membuka kertas siasatan berhubung dakwaan wujudnya usaha memujuk Adun Kulim, Lim So Nei oleh ejen-ejen BN untuk menyertai Umno.
Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata dengan bukti seperti rakaman CCTV yang dimiliki, SPRM seharusnya membuka kertas siasatan dan bukannya bertindak menukarkan pegawai yang mengetuai rakaman pertemuan tersebut ke tempat lain.
Anwar dalam sidang media di Parlimen, berkata SPRM memiliki rakaman pertemuan Lim dengan bekas Menteri Besar Kedah, Dato' Mahadzir Khalid di sebuah hotel di Seberang Jaya yang jelas menunjukkan usaha memujuk dan menyogok dilakukan.
"Malah, pegawai BPR yang mengetuai operasi itu telah menghubungi kita (KeADILan) untuk mengucapkan terima kasih atas kerjasama tersebut dan memaklumkan bahawa rakaman CCTV itu terang dan jelas," tegas Anwar kepada media.
Mengulas lanjut perkara tersebut, Anwar berkata BPR telah memantau pergerakan Lim dan ejen Umno sejak April 2008 setelah menerima aduan daripada Lim, dan terus memantau sehingga ke kemuncaknya iaitu akhir 2008, di sebuah hotel di Seberang Jaya.
Jelas Anwar, BPR bertindak memasang dan merakamkan sendiri segala pertemuan yang berlangsung itu, justeru meminta supaya BPR segera meneruskan siasatan ke atas rakaman CCTV tersebut.
Ketika ditanya sama ada beliau memiliki salinan rakaman CCTV itu, Anwar menegaskan pihaknya tidak memiliki salinan itu kerana ia milik BPR, namun tidak menolak bahawa mempunyai butiran-butiran penting dan saksi-saksi berhubung pertemuan Lim dan Mahadzir.
"Saya tidak ada salinan itu, kerana ia milik BPR. Bukan kami punya. Tapi saya punyai butir lengkap tentang siapa yang turut serta dalam pertemuan itu, jam berapa, tarikh bila, di mana. Dan jangan lupa, dalam kes Lingam saya ada salinannya," kata beliau, ketawa.
Terdahulu, Anwar dalam perbahasan menjunjung titah Yang dipertuan Agong, mendedahkan beliau memiliki bukti berkenaan percubaan rasuah ejen-ejen Umno terhadap Adun-adun Kedah.
Pada 11 April 2008, Lim dihubungi ejen Mahadzir dan ditawarkan RM4 juta, yang kemudiannya dinaikkan ke RM5 juta dengan pertemuan yang diatur untuk menemukan Lim dengan Mahadzir dan Najib dan berterusan diganggu sehingga Julai 2008.
Beliau kemudiannya membuat laporan di BPR dan bersetuju dengan BPR dengan menjadikan dirinya sebagai 'umpan', yang menyaksikan pertemuan demi pertemuan mereka di dalam pemantauan BPR. - mns_
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan