PETALING JAYA, 16 Feb (Hrkh) - Penduduk sekitar Kampung Medan tetap akan melakukan demonstrasi kerana kurang puas hati dengan tindakan kerajaan yang hanya menutup Plaza Tol PJS 2 menghala ke Kuala Lumpur sedangkan laluan menghala ke Petaling Jaya tetap dikutip oleh Lebuh Raya Pantai Baru (NPE).
Pada Jumaat, 13 Februari lalu, kerajaan BN telah memutuskan menutup Plaza Tol PJS 2 di NPE berhampiran Kampung Dato' Harun dengan tujuan meringankan pengguna terutama mereka yang tinggal di sekitar kawasan tersebut.
Bagaimanapun, penutupan tol di sebelah jalan sahaja tidak memberi faedah kepada penduduk kerana mereka terpaksa juga membayar tol di Plaza menuju ke Petaling Jaya.
Sehubungan itu, lebih 300 penduduk berdemonstrasi di jalan utama berhampiran Plaza Tol mendesak kerajaan supaya menutup Plaza tol di kedua-dua jalan raya.
Dalam demonstrasi tersebut mereka membawa banner bertulis 'Hapuskan tol, selamatkan duit rakyat'; 'Tol Umno masuk'; 'Tol beban rakyat'; 'Hapuskan Tol BN tipu rakyat', 'Tol membawa padah' dan sebagainya.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kampung Medan, Arifin Mahyuddin menegaskan, penduduk tetap tidak berpuas hati kerana masih lagi membayar tol sebanyak RM1.60 untuk ke Kampung Medan.
"Kita kecewa dengan sikap dan keputusan menteri yang hadir pada hari Jumaat lalu, kerana tol yang dimansuhkan hanya jalan ke Kuala Lumpur," tegasnya.
Menurut beliau, penduduk akan terus berdemonstrasi sehingga tol jalan ke Petaling Jaya dimansuhkan.
Beliau berkata, sepatutnya tol tidak perlu tetapi jalan lama yang sedia ada perlu dilebarkan.
Sebelum tol diwujudkan penduduk Kampung Medan telah membantah tindakan pihak kerajaan yang akan mewujudkan tol, katanya.
Seorang penduduk Kampung Medan, Rosli Baharudin tetap akan meneruskan bantahan kerana tol yang dimansuhkan hanya jalan menghala ke Kuala Lumpur.
"Kami mengharapkan kerajaan lebih prihatin kepada penduduk Taman Medan dan penutupan plaza tol itu sepatutnya di lakukan di kedua-dua hala," tegasnya.
Beliau berkata, jika menteri terbabit mengatakan penutupan tol itu untuk kepentingan penduduk Taman Medan, tol yang ditutup menghala ke Subang bukan menghala ke Kuala Lumpur.
Ini kerana katanya, laluan ke Kuala Lumpur itu tidak digunakan oleh penduduk di Taman Medan.
Sebagai wakil penduduk beliau mendesak supaya kerajaan Pusat lebih prihatin akan nasib penduduk Kampung Medan. - lanh _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan