PAS dan skandal seks pemimpin parti lawan

BUKANlah sesuatu yang wajar jika kehidupan peribadi seseorang didedahkan kepada umum, apatah lagi jika ianya menyentuh tentang aib seseorang. Apatah lagi jika 'kejahatan' yang dilakukan itu dibuat di tempat tertutup dan pelakunya sendiri tidak berbangga dengan maksiat yang dilakukannya dan berasa malu jika kejahatannya diketahui orang.

Itulah sebenarnya hikmah mengapa tuduhan zina perlu ditampilkan dengan empat orang saksi. Dan saksi-saksi itu mestilah lelaki yang adil dan tidak fasik. Semuanya bertujuan untuk menjaga aib orang yang dituduh dan untuk memastikan tidak ada insan yang teraniaya dengan tuduhan itu.

Apa yang menimpa Adun Bukit Lanjan yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong adalah sesuatu yang malang. Selepas gambar separuh bogel yang dirakamkan ketika beliau tidur disebarkan kepada media massa, MMS dan internet, Elizabeth mengambil keputusan meletakkan jawatan Exco dan Adun walaupun beliau sebenarnya teraniaya.

Atas dasar prinsip, Elizabeth sanggup melepaskan jawatan kerana bimbang masalah peribadinya itu akan dieksploitasi oleh musuh-musuh politiknya untuk memburuk-burukkan organisasi politik dan kerajaan negeri yang diwakilinya.

Setakat ini, ramai yang menyatakan simpati terhadap apa yang dialami olehnya termasuk Pergerakan Wanita MCA. Bagaimanapun, ada juga pemimpin Umno yang mendesak beliau meletakkan jawatan.

Antara yang terawal memberi komen ialah bekas Menteri Besar Selangor yang juga calon Ketua Pemuda Umno, Dato' Seri Mohd Khir Toyo. Turut sama mengalu-alukan keputusan Elizabeth untuk meletakkan jawatan ialah Ketua Menteri Melaka yang juga calon Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Ali Rustam.

Begitulah gelagat pemimpin Umno. Mereka sibuk dengan soal moral dan akhlak pemimpin-pemimpin bukan Islam (seperti yang menimpa Elizabeth dan Adun Bukit Selambau, V Arumugam di Kedah), tetapi tidak pula prihatin dengan akhlak dan moral para pemimpin parti mereka sendiri, yang rata-ratanya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Ketika Mohd Khir Toyo menjawat Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, tiga skandal peribadi membabitkan dua ahli Dewan Rakyat dan seorang ahli Dewan Negara Umno Selangor cuba dipendamkan beliau dari pengetahuan umum.

Khir tidak pula sibuk mendesak ketiga-tiga pemimpin Umno negeri itu supaya meletakkan jawatan, malah tempoh 'senatorship' salah seorang daripada mereka dilanjutkan!

Dan sebenarnya, jika skandal seks dan moral para pemimpin Umno didedahkan satu persatu kepada umum, pastinya kita akan loya dan muntah apabila mendengarnya!

Bagi mereka yang agak ragu-ragu, percayalah... Ini bukannya 'cubaan', tetapi benar-benar kejadian!

Penulis tidak berhasrat untuk mengaibkan mereka, tetapi cukuplah untuk memberi amaran kepada para pemimpin parti tertentu supaya tidak bertindak di luar batasan.

Mungkin ramai yang mengenali Tan Sri Abdullah Ahmad atau Abdullah Kok Lanas. Abdullah lewat kolumnya di sebuah akhbar berbahasa Melayu (ketika menerajui akhbar terbabit) pernah membangkitkan dilema yang dihadapi oleh para pemimpin parti sebuah negeri di Semenanjung untuk mencari seorang calon Menteri Besar. Calonnya sudah dikenal pasti, tetapi ada yang tidak bersetuju kerana bakal pemimpin itu dikenali sebagai seorang yang suka berpoya-poya ketika belajar di luar negara.

Tidak payahlah bagi penulis mendedahkan siapakah pemimpin itu. Bagi mereka yang ingin tahu, buatlah carian sendiri di perpustakaan ataupun arkib untuk membaca tulisan Abdullah Kok Lanas.

Ketika menjelang pilihan raya umum 1995, isu khalwat membabitkan seorang pemimpin muda PAS hangat diperkatakan. Para pemimpin Umno menggunakan isu ini semaksimum mungkin untuk menjatuhkan maruah PAS. Bagaimanapun dengan kebijaksanaan para pemimpin PAS, isu khalwat itu dapat ditangani dengan baik. Pemimpin muda PAS itu didapati tidak bersalah oleh mahkamah dan menang di kawasan parlimen yang ditandinginya dengan majoriti lebih besar.

Di waktu yang sama, para pemimpin PAS dan Harakah menerima maklumat daripada sumber yang tidak diketahui tentang skandal seks membabitkan seorang pemimpin parti lawan PAS yang juga diwar-warkan sebagai calon Menteri Besar di sebuah negeri Pantai Timur Semenanjung.

Lebih memeranjatkan, pemimpin terbabit pernah menerajui sebuah institusi agama dan kerap kali menyerang PAS dalam pelbagai isu agama dan politik. Malah beliau jugalah yang sering 'tumpang semangkuk' memberi komen dan mengulas tuduhan khalwat pemimpin muda PAS itu.

Penulis sempat bertemu dengan seorang pemimpin kanan PAS untuk mengesahkan maklumat yang diterima. Malah pemimpin PAS itu tidak menafikan maklumat yang diperolehi. Beliau bukan sahaja menjadi teman rapat pemimpin terbabit ketika kejadian itu berlaku, malah diminta menjadi wakil untuk meminang wanita tersebut bagi pihak pemimpin politik itu!

Bagaimanapun, skandal seks itu tidak dijadikan modal oleh PAS untuk memburuk-burukkan lawan politiknya. Meskipun begitu, para pemimpin parti tersebut diberitakan terpaksa mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan isu itu; khuatir jika ia dijadikan modal kempen oleh PAS negeri.

Dan ketika Setiausaha Perhubungan PAS negeri terbabit ditanya sama ada mahu menggunakan isu skandal seks itu dalam kempen pilihan raya, beliau penuh yakin berkata: "Itu bukan cara kita berpolitik."

Isu skandal seks pemimpin bukanlah suatu yang asing dalam politik negara. Seperti kata Menteri Besar Kedah ketika menjawab soalan wartawan berhubung dakwaan salah laku moral yang melanda bekas Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Bukit Selambau, V Arumugam: "Ada yang lebih teruk daripada itu, buat hubungan dengan suami dan isteri orang..."

Dan pastinya yang berperangai seperti itu ialah pemimpin Melayu yang beragama Islam.

Kita yakin kisah-kisah penarafan-X (x-rated) itu ada dalam 'kocek' Ustaz Azizan. Cuma sebagai pemimpin sebuah parti Islam, beliau tidak tergamak meluahkannya di khalayak umum.

Bukan akhlak dan moral PAS untuk bertindak seperti Umno. Tetapi jika keadaan sudah menjadi tidak terkawal dan BN secara berterusan menggunakan tektik kotor ini... Adakah pilihan lain bagi PAS?_

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.