Pemimpin BN tidak ada ketentuan buat keputusan - Kamaruddin

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Hrkh) - Pemimpin negara dituduh tidak mempunyai ketentuan dalam menentukan dasar dan keputusan bagi memacu negara termasuk dalam bidang pendidikan.


Dato' Kamaruddin Jaffar(PAS-Tumpat) menempelak sikap pemimpin BN dalam banyak hal yang mengakibatkan kecelaruan berlaku.

Secara tidak sedar kata beliau, Perdana Menteri mempunyai satu dasar yang lain manakala Timbalannya mempunyai dasar yang berlainan.

"Kerajaan perlu berwaspada dengan keadaan ini dan jangan biarkan ianya boleh memporak-perandakan keadaan," tegas beliau ketika menyambung ucapan penghargaan titah Ke Bawah Duli Yang di-Pertuan Agong pagi tadi.

Kamaruddin menegaskan sikap kerajaan itu ketika merujuk tindak-tanduk kerajaan dalam isu pengswastaan Institut Jantung Negara (IJN) dan Terminal Tambang Murah (LCCT) Labu.

Cubaan untuk menswastakan IJN tegas beliau merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak dipersetujui oleh doktor-doktor yang berkhidmat di institusi perubatan tersebut.

"Kenapa kerajaan mahu swastakan IJN? Kenapa Sime Darby nak ambil alih IJN? Kenapa Sime Darby tak bina hospital sendiri?" soal Kamaruddin.

Menyentuh soal LCCT Labu, Kamaruddin yang juga Setiausaha Agung PAS menyoal keperluan untuk membina satu lagi lapangan terbang yang tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Selain itu kata beliau, Air Asia dan Sime Darby tidak perlu membina sebuah lagi lapangan terbang kerana KLIA masih lagi mampu untuk menampung jumlah penumpang yang besar.

Semalam ketika menyampaikan ucapan tersebut, Kamaruddin menyentuh mengenai Perlembagaan dan Undang-undang yang sudah tidak lagi dihormati terutama dalam kes yang melibatkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

Perlucutan jawatan Perdana Menteri, Ketua Menteri atau Menteri Besar tegas beliau hanya boleh dilakukan dengan tiga cara iaitu individu tersebut sendiri meletak jawatan atau undi tidak percaya diadakan di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.

"Ketiganya, dalam konteks suatu pilihan raya umum, beliau atau parti beliau tidak memenangi majoriti, maka yang majoritilah yang menjadi kerajaan selepas sesuatu pilihanraya," tegas Kamaruddin.

Menyentuh mengenai isu Palestin, Kamaruddin mengesa agar kerajaan malaysia secara terbuka mengiktiraf Hamas sebagai sebuah kerajaan Palestin yang sah.

Hamas kata beliau dipilih oleh rakyat Palestin dengan cara demokrasi melalui pilihanraya yang turut diakui oleh badan pemantau antarabangsa seperti Carter Center sebagai pilihan raya yang bersih dan adil.

Dalam isu ini beliau sekali lagi menempelak sikap kerajaan Malaysia yang membenarkan wakil tidak sah Palestin dari Fatah, Farouq Qadumi berucap ketika Persidangan Negara-negara Islam (OIC) pada tahun 2006 dan tidak menjemput wakil sah itu wakil Hamas, Dr. Mahmoud Zahar.

Ketika menyambung ucapannya pagi tadi, Kamaruddin turut menyatakan penghargaan dan sokongan beliau terhadap Perdana Menteri Turki, Toyyip Erdogan yang berani bertindak keluar dari sebuah forum antarabangsa yang turut disertai Perdana Menteri Israel.

"Seharusnya kerajaan Malaysia juga perlu berani sepertimana yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Turki," tegas beliau.

Kerajaan Malaysia kata beliau perlu tegas dalam isu Palestin dan semua kutipan derma hendaklah disampaikan kepada Hamas jika mahu bantuan tersebut benar-benar sampai kepada rakyat Palestin.

Menyentuh mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Kamaruddin berkata hampir semua wakil rakyat bersetuju agar dasar PPSMI itu segera dimansuhkan. - wann/mks._

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.