Belum pun masuk tempoh berkempen, sudah kelihatan pondok-pondok polis yang biasanya menjadi budaya pada setiap kali pilihan raya kecil dijalankan.
Sewaktu mencari lokasi ceramah program Pakatan Rakyat pada 21 Mac lalu, krew web prk59 mendapati terdapat pondok polis yang sama dengan pondok yang didirikan di serata kawasan Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil di sana pada Januari lalu.
Kini, tidak sampai seminggu menuju ke tarikh penamaan pondok polis telah didirikan bagi mengawasi tindak tanduk pihak yang menjalankan kempen pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April akan datang.
Strategi yang sama dijangka akan digunakan iaitu menggerakkan jentera keselamatan termasuk anggota polis dan anggota simpanan persekutuan atau FRU bagi memastikan segalanya 'berjalan dengan lancar'.
Tidak cukup dengan itu, sejak daripada pengumuman tarikh pilihan raya bagi Bukit Gantang, pihak polis didapati 'aktif' menjalankan intimidasi terhadap program-program yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat termasuklah ceramah-ceramah penjelasan isu-isu semasa.
Walau bagaimanapun, pada majlis pengumuman calon BN diadakan baru-baru ini tidak mengalami apa-apa gangguan sedangkan mereka tidak memiliki permit untuk mengadakan program berkenaan.
Permit menjadi alasan popular bagi pihak polis untuk membatalkan ceramah dan kempen bagi pakatan Rakyat walaupun ia tidak menjadi keperluan dalam tempoh kempen yakni selepas proses penamaan selesai dijalankan.
Sekali lagi, pihak polis akan menjadi tenaga utama yang akan 'sibuk' selain anggota FRU dan pegawai cawangan khas atau SB.
Jalan-jalan raya pula mengalami kesesakan apabila proses pembaikan dijalankan secara tiba-tiba sebaik pihak Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh penamaan dan pengundian di Bukit Gantang.
Selain menimbulkan rasa kurang senang di kalangan pengguna jalan raya, ia turut menjejaskan mutu perkhidmatan banyak kemudahan di samping tidak menitik beratkan masa yang sesuai bagi pengguna jalan raya untuk keluar bekerja. - mns _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan