Enam menteri Kabinet dijangka gugur

Sekurang-kurangnya enam menteri mungkin digugurkan dalam Kabinet baru yang dijangka diumumkan Datuk Seri Najib Razak, hari ini. Perdana Menteri jug a dijangka mengecilkan Kabinetnya dengan menggabungkan beberapa kementerian, selain mewujudkan semula jawatan Setiausaha Parlimen yang dimansuhkan selepas pilihan raya umum tahun lalu.

Difahamkan Najib sudah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi semalam berhubung pelantikan barisan Kabinet barunya.


Antara menteri yang dikatakan akan digugurkan ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan, yang tewas jawatan Timbalan Presiden MCA pada pemilihan parti itu, tahun lalu.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, yang turut kalah dalam pemilihan Umno, bulan lalu, juga dijangka digugurkan.

Dua menteri lain dijangka digugurkan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A Aziz dan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad pula meletak jawatan, berkuat kuasa hari ini, selepas tewas pada pemilihan Umno.

Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang kalah dalam perebutan jawatan Naib Presiden, dijangka dikekalkan.

Difahamkan, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon akan dilantik sebagai Senator untuk diserapkan dalam Kabinet baru. Shahrizat dijangka mengetuai kementerian lamanya, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Bekas menteri, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis juga dikatakan akan kembali ke Kabinet, manakala Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah; Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hamzah Zainuddin akan dinaikkan pangkat menjadi menteri.

Tiga Naib Presiden Umno diramal bertukar portfolio dengan Datuk Seri Dr Zahid Hamidi ke Kementerian Dalam Negeri; Datuk Seri Hishammuddin Hussein ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, manakala Datuk Seri Shafie Apdal bertukar ke Kementerian Pertahanan.

Antara kementerian dikatakan akan digabungkan ialah Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang diserapkan ke Kementerian Pelancongan; Kementerian Pengajian Tinggi disatukan dengan Kementerian Pelajaran, manakala Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bergabung dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata pengecilan saiz Kabinet akan menjadi perkara pokok dalam pentadbiran Najib bagi memudahkan pengurusan dan melicinkan pentadbiran.

Beliau menjangka dua pemimpin Umno Sabah, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh dan Datuk Anifah Aman turut dilantik sebagai menteri.

Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan, ketika ditemui selepas bertemu Najib di Putrajaya semalam berkata beliau sudah menyerahkan senarai nama pimpinan parti itu untuk dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.