Oleh Zolkharnain Abidin
Di beberapa lokasi di Bukit Selambau sepanduk ‘Anwar penipu’ terpampang. Isunya ialah kerajaan 916. Bukan sekadar itu, ada bolgger yang menjadikan 916 sebagai tag blognya. Bukan menyokong tetapi memperli Anwar.
Memang tidak ternafi, 916 turut menjadikan BN pada suatu ketika agak gabra sehingga terpaksa memakan anginkan ahli-ahli parlimennya. Untuk menambah kekalutan, sebahagian ahli parlimen PKR mengekori mereka ke luar negara.
Rencana Anwar gagal. Pengarah Pilihanraya Pas semenjak awal menghidunya tetapi di dimarahi sebahagian pimpinan Pas. Khabar-khabar yang bertiup mengatakan ada ahli-ahli parlimen Pakatan yang sudah memasang angan-angan untuk merasai kelembutan karpet Putrajaya.
Tidak pasti apa akan berlaku kalau rencana itu berjaya, tetapi yang pasti rencana itu gagal. Hari ini kegagalan rencana itu menjadi bahan sendaan pula. Lebih parah kegagalan rencana itu menjadi peluru BN untuk menembak Anwar. Seingat saya, Anwar tidak menjawab peluru itu. Mungkin dia tidak mahu melayannya atau dia memang tiada jawapan.
Di Bukit Selambau, dia menjanjikan kejutan lagi. Saya diingatkan oleh sahabat wartawan supaya jangan ketinggalan menghadiri ceramah Anwar. Dia akan membuat kejutan besar. Tetapi, tiada satu pun ceramah Anwar yang saya hadiri kerana saya ada acara sendiri. Kalau pergi ke Bukit Selambau sekadar untuk dengar ceramah Anwar, baik tak payah.
Saya menunggu sehingga hari mengundi, tiada apa-apa kejutan yang diumumkan Anwar. Kalau ada orang yang nak anggap sebagai kejutan ialah pengumumannya mengenai kemasukan Naib Presiden PPP ke dalam PKR. Bersamanya 6000 orang ahli PPP lagi. Saya dan saya rasa orang lain juga kurang percaya dengan angka itu. Dan, saya tidak terkejut pun dan kalau hanya sekadar pengumuman itu, bagi saya itu bukan kejutan.
Saya menjangkakan kejutan itu ialah mengenai kes salah laku Najib atau isu Altantuya kerana Najib baru jadi PM. Atau, perkara yang umum tidak tahu mengenai Umno yang diketahuinya bersempena perhimpunan Umno, namun hampa. Dia mengejutkan orang ramai dengan suatu kejutan iaitu, ‘tiada apa-apa kejutan’.
Bagi saya inilah masalah Anwar. Dia suka bermain dengan sentimen. Dia pernah menjanjikan kejutan kalau dia jadi ahli parlimen, apa kejutannya? Dia berjanji untuk bongkar lebih banyak skandal pemimpin Umno, mana? Dia kata dia tahu banyak rahsia Umno sebab dia dalam kelambu parti itu, mana? Dia hanya berkata, tunggu…tunggu…tunggu…nanti saya dedahkan…mana?
Hari ini orang sudah mulai menilai Anwar. Golongan muda di dalam PAS dan PKR sudah mulai berani bersikap kritikal terhadapnya. Mereka tidak lagi menelan bulat-bulat apa sahaja katanya. Mereka menapis dan menyaring dan hanya menerima yang terbaik sahaja.
Anwar perlu mengubah sikapnya kalau dia ingin terus berada di hati rakyat. Dia tidak boleh berbekalkan sentimen dan kejutan sahaja. Dia perlu menjiwai aspirasi rakyat. Hari ini rakyat masih menerimanya, dan tidak mustahil kalau dia kekal dengan sikapnya ini, rakyat akan menilainya dan menghampaskan sahaja cakapnya.
Selepas rakyat rasa ‘terkena’ dengan rencana 916, kemudian ‘terkena’ lagi dengan kejutan Bukit Selambau, rakyat ‘terkena’ juga dengan beberapa janji dalam ucapannya, saya bimbang nanti dia pula yang ‘terkena’. Ya, rakyat yang mengenakannya.
Anwar, ingat! Jangan sampai kami pula mengenakan anda. Kami bersama anda bukan kerana anda adalah Anwar, kami bersama anda kerana anda bersama kami
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan