Gimik kedua Najib sekali lagi gagal ...

Oleh Ahmad Lutfi Othman
http://jiwapejuangkini.blogspot.com/

GIMIK perubahan yang hendak ditunjukkan oleh Najib Razak di hari pertama menjadi perdana menteri - dengan mengumumkan pembebasan 13 tahanan ISA dan menarik balik penggantungan 3 bulan akhbar Harakah dan Suara Keadilan - tidak menjadi, dan petang semalam, 9 April, pembentukan kabinet barunya juga tidak memberi impak besar kepada imej pembaharuan yang digembar-gemburkannya. Sekali lagi gimiknya tidak menjadi.

Ya, apa yang rakyat harapkan daripada kabinet barunya ini? Penolakan pengundi Bukit Gantang dan Bukit Selambau jelas merakamkan angin perubahan yang dicetuskan pada tsunami politik 8 Mac 2008 masih berterusan.

Rakyat sudah kuat azam mereka untuk menolak budaya politik lama, yang masih diwarisi oleh Najib daripada Abdullah Badawi, dan sebelumnya Dr Mahathi Mohamadr. Apabila Najib nampak rapat dan sememangnya akrab dengan Mahathir, sehingga bekas perdana menteri itu tidak sabar-sabar lagi untuk menyertai semula Umno sebaik sahaja Abdullah bersara, maka gimik perubahan yang dicanangkan selama ini hanya dilihat tidak lebih daripada usaha kosmetik Najib untuk mendapatkan kembali undi daripada rakyat. Tak lebih dari itu.

Antara petunjuk Mahathir kembali berpengaruh dalam pemerintahan Najib adalah perlantikan Mukhriz Mahathir sebagai timbalan menteri MITI. Lebih ketara apabila Ketua Pemuda Umno yang baru, Khairy Jamaluddin langsung tidak diberikan apa-apa jawatan dalam kabinet sedangkan rakan sejawatnya dalam Wanita Umno, Shahrizat Jalil, yang tidak pun menjadi Ahli Parlimen diberikan posisi menteri. Ketua Puteri pun dianugerahkan jawatan timbalan menteri.

Apa kesalahan Khairy sehingga disisihkan begitu rupa kalau bukan kerana Najib mahu mengambil hati Mahathir? Bukankah Mahathir tetap berpandangan cukup negatif dan penuh prasangka dengan Khairy dan bapa mentuanya, Abdullah? Mahathir masih terus menghentam dan mengherdik Abdullah dan juga menantunya itu. Perletakan jawatan Abdullah langsung tidak meredakan kecaman Mahathir kepadanya. Khairy pula seolah-olah menerima nasib yang sama dengan Zahid Hamidi ketika menang Ketua Pemuda Umno dahulu, di zaman Mahathir, ketika Zahid dilihat orang kuat Anwar. Zahid langsung tidak diberi pos dalam kabinet walaupun naibnya, Hishamuddin Hussein diberi peranan penting.

Ya, siapa muka baru dalam kabinet Najib yang dilihat mampu menjalankan amanah rakyat dengan jujur, bersih, telus dan berkesan? Apakah muka lama yang dikekalkan itu merupakan menteri yang berkeupayaan menjalankan tugas dengan baik, bebas daripada rasuah, mengutamakan kepentingan rakyat daripada memperkayakan diri dan kroni? Dan sejauh mana kecilnya keanggotaan kabinet kali ini berbanding saiz XXL kabinet Abdullah dahulu, sekurang-kurangnya untuk menjimatkan wang rakyat?

Kabinet lama ada 32 menteri. Kabinet Najib ada 28 menteri. Dulu timbalan menteri ada 38, sekarang bertambah 40. Apa sangat yang mahu dibanggakan dengan jumlah itu? Berapa sangat yang dapat dijimatkan dengan pengecilan itu. Cuba pula kita teliti siapa menteri yang nampaknya naik pangkat, mungkin kerana kemenangan dalam pemilihan Umno; bersihkah mereka? (Tetapi ada juga ahli Majlis Tertinggi Umno yang menang besar tetapi digugurkan juga daripada Kabinet). Apakah selama memegang kuasa, ia tidak digunakan untuk kepentingan diri dan kelompok? Bukankah mereka juga merupakan sebahagian besar dari anggota kabinet yang pernah ditolak oleh pengundi setahun lalu?

Memang tidak adil untuk kita membuat kesimpulan tanpa memberi kesempatan kepada Najib dan Muhyiddin untuk membuktikan kemampuan team baru ini, namun jika penerajunya itu Najib, maka apakah anda sekalian bersedia membazirkan lebih banyak masa untuk orang seperti Najib membuktikan segala jaminannya akan cuba diusahakan dengan jaya? Soalnya, siapa yang boleh diyakinkan bahawa orang seperti Najib yang mempunyai bebanan sejarah yang cukup berat dapat dipercayai untuk membawa perubahan kepada negara?

Bukan pula kita mahu mengungkit kes pembunuhan Altantuya yang baru saja diputuskan hukumannya pagi semalam? Biarpun hari ini orang sibuk bercakap soal kabinet baru, namun misteri Altantuya tidak mudah dikambus begitu sahaja. Siapa boleh menerima hakikat bahawa dua pembunuhnya melakukan perbuatan terkutuk itu tanpa sebarang motif yang munasabah? Di sebalik pembunuhan itu, oranag ramai masih tidak berpuas hati dengan pembabitan kenalan rapat Najib berkaitan rasuah pembelian senjata Kementerian Pertahanan yang diterajui Najib ketika itu.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.