Jebat Must Die: Mengambil kira situasi di Perak

(terjemahan daripada Bahasa Inggeris) Jumaat depan (6hb Mac 2009) genap sebulan Dr Zambry menyandang jawatan Menteri Besar Perak.

Mungkin orangramai tidak berapa sedar bila titik peralihan kuasa di Perak. Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Bota melompat ke parti PKR pada 25hb Januari 2009 telah mengorak langkah bagi Barisan Nasional. Ironisnya.

Natijah tindakan politik Anwar Ibrahim (berjaya memujuk Adun Bota melompat), Datuk Seri Tajol Rosli meletak jawatan sebagai pengerusi perhubungan Umno Perak beberapa hari kemudiannya. Segala hal-ehwal ekonomi diabaikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak kerana mereka sibuk memancing ‘katak’. Barisan Nasional di Perak terpaku sebab terpaksa menangkis PR.

Namun, belum cukup dua minggu selepas Bota melompat, Datuk Dr Zambry sebaliknya berjaya menjadi Menteri Besar. YB Datuk Seri Nizar pula yang rugi ekoran daripada percaturan politik Anwar Ibrahim. Ini tidaklah menghairankan kerana seorang Menteri Besar yang sepatutnya mentadbir sebuah negeri dialih perhatiannya kepada sandiwara Anwar.

Sebagai Menteri Besar pengganti, moga-moga Datuk Zambry tidak membuat kesilapan sepertimana mantan pemegang jawatan tersebut. Zambry bertanggungjawab atas perjalanan lancar urusan kerajaan. Di sinilah beliau sepatutnya menguji kecerdikan dan kelulusan PhDnya.

Mengimbas kembali, apa yang berlaku semenjak 6hb Februari 2009?

Yang pertama, perilaku Zambry sebagai Menteri Besar baru.

Situasi ini tipis. Semua tumpuan kepadanya. Menjelang hari mengambil sumpah sebagai Menteri Besar, beliau diwawancara RTM1. Zambry berlagak seolah-olah beliau sudahpun sahih Menteri Besar.

Ini menjijikkan. Ianya ibarat pepatah ‘seperti kaduk naik junjung’. Hampir kesemua jawapan yang diberinya kepada juru acara program TV itu membayangkan bagaimana dan cara-cara beliau akan berkhidmat sebagai Menteri Besar.

Hello. Kamu belum lagi dilantik secara rasmi oleh Sultan. Kenapa angkuh sangat? Umpama sebuah lagi pepatah, ‘lebih sudu dari kuah’.

RTM penuh bersemangat patuh dan tunduk (kepada pihak berkuasa) dan stesen itu tidakpun menyedari bahawa perangai Zambry sudah melebih-lebih. Menonton temuramah itu menjadikan saya meluat.

Nampaknya tindak-tanduk melampaui batasan sopan santun (sepertimana terserlah dalam rancangan TV tersebut) memang gelagat Umno pada lazimnya. Pakatan Rakyat pula lagi teruk. Tetapi saya tidak akan mengurai tentang kekurangan yang ada pada PR. Buat masa ini, biar fokus kita atas kelemahan BN.

Satu lagi wawancara melibatkan timbalan ketua bahagian Umno Bukit Gantang – Kamarulail Hj Sulaiman. Saya kurang pasti sama ada beliau tersalahpetik oleh Malaysiakini ataupun tidak. Akan tetapi temubual itu menggambarkan betapa angkuhnya pensyarah dari Kolej Islam Perak ini.

Beliau menggugat pucuk kepimpinan Umno dengan berkata:

“Jangan kecewakan ahli-ahli parti yang memilih saya menjadi Timbalan Ketua Bahagian. Ini bermakna mereka menyokong saya.

“Jadi tidak patut kalau calon BN Bukit Gantang diberi kepada orang lain,” katanya.

“Kalau saya tidak menjadi ahli Parlimen bagaimanakah saya boleh membantu Umno Bahagian sedangkan saya Timbalan Ketua Bahagian.

“Oleh kerana itu saya berharap parti melihat perkara ini dan beri saya peluang bertanding dalam pilihanraya kecil.

“Kalau tidak saya dipilih siapa lagi. Saya sudah lama dalam parti dan memegang pelbagai jawatan. Saya juga tahu kehendak ahli Umno bahagian ini,” katanya lagi.

Kamarulail benar-benar memberikan alasan karut yang beliau wajib menjadi Ahli Parlimen supaya dapat menolong Umno bahagiannya. Seterusnya beliau mendakwa kalau kedudukannya rendah dalam parti, maka keberkesanan beliau akan tergugat. Nyata sekali, tidak macam zaman silam bilamana seorang pemimpin akar-umbi akan menyumbang perkhidmatan secara ikhlas. Demi agama bangsa dan negara? Apa benda tu?

Beliau belum lagi Wakil Rakyat tetapi sudah yakin akan memenangi kerusi sekiranya dicalonkan Umno dalam pilihanraya yang akan datang. Sama seperti Zambry, lebih sudu dari kuah.

Bukan ini sahaja, beliau menganggap bahawa 19,000 ahli Umno di Bukit Gantang menyokongnya. Terdapat 55,000 pengundi di Bukit Gantang. Untuk menang beliau memerlukan lebih daripada 20,000 undi (yakni bukan sekadar sokongan ahli Umno).

Saya berharap beliau sudah membuat persediaan asas bagi memberi jaminan akan mendapat undi cukup. Namun saya khuatir orang seperti Kamarulail akan memulaukan Barisan Nasional serta jentera pilihanraya Umno sekiranya tidak dipilih sebagai calon. Saya berharap apa sya khuatiri tidak menjadi kenyataan. Seperti kita maklum, kuasa itu membuat semua gila. Tetapi seseorang itu akan menjadi lebih gila sekiranya dia hilang kuasa yang dia belumpun rasai.

Dalam temubual lain, Kamarulail kali ini menyatakan beliau menyerah kepada pucuk pimpinan Umno untuk memilih calon yang layak. Adalah diharap beliau akan seterusnya memberi 100 peratus sokongan kepada barang siapa jua dipilih nanti. Sememangnya untuk agama bangsa dan negara.

Sepatutnya BN Bukit Gantang sekarang sudah mula turun padang untuk membuat tinjauan – mengambil tahu hati pengundi. Jumpa semua dan bukan penyokong BN sahaja. Seperti yang dibincangkan dalam karya yang lepas, tinjauan seperti ini boleh memberi petanda apa yang dihayati masyarakat Bukit Gantang. Pilihan calon, aspirasi mereka, sentimen semasa, dll. Dari sini, BN boleh memperbaiki taraf kempen pilihanraya.

Saya telah menyatakan – Sekiranya kita tidak faham apa yang telah kita buat salah, bagaimana kita akan jadikannya sebagai teladan?

Bacalah petikan di bawah:

In life there are no mistakes, only lessons, but if we do not learn from the lessons then it is a mistake – Anonymous

(Dalam kehidupan tiada kesalahan, hanya pelajaran, tetapi sekiranya kita tidak memanfaatkan pelajaran ini, maka bersalahlah kita. – Pengarangnya tidak diketahui

Saya menggaru kepala apabila Datuk Dr Zambry dan Datuk Seri Najib pada awalnya cuba melegakan perasaan kaum bukan-Melayu di Perak selepas BN mengambil alih negeri itu. Mereka menganggap puak bukan-Melayu bertanggapan kerajaan baru BN tidak akan berlaku adil dan saksama terhadap mereka.

Kesangsian dan perasaan takut ini disemai oleh para pemimpin Pakatan Rakyat untuk menyayat hati orang Perak. BN dan terutamanya Umno tidak patut masuk perangkap lawan. PR sering menggunakan taktik sedemikian kerana cara ini sajalah yang mereka tahu.

Datuk Seri Najib pasti sedar. Dan Datuk Zambry dengan sijil doktoratnya dalam bidang sains politik sepatutnya memahami apa modus operandi politik longkang (yang dikelolakan PR).

Yang sebenarnya, BN memang sentiasa adil terhadap semua kaum akan tetapi pengesahan dari Datuk Seri Najib dan Zambry yang BN akan adil kepada mereka telah menguatkan persepsi bahawa BN memang bersikap tak saksama!

Zambry berjanji untuk memberi peruntukan wang bagi kuil India dan sekolah Cina pada hari pertama beliau dilantik MB! Ini semestinya kurang bijak. Di mana nak letak maruah? Janji-janji wang and projek pembangunan tidak pasti akan memenangkan parti kerana zaman sudah beredar. Lebih lagi, ini menunjukkan kamu terdesak hendak menonjolkan yang kamu tidak bersifat tidak adil! Apakah kamu terdesak? Mengapa?

Malang sekali mereka berdua (Najib dan Zambry) terpedaya oleh helah politik Pakatan Rakyat. Pihak pembangkang akan sentiasa mencuba menanam keraguan dalam minda orangramai. Saya tertanya-tanya juga mengapa BN tiba-tiba bersifat defensif.

Biar saya ulang sekali lagi. Barisan Nasional menang satu negeri tetapi mereka berkelakuan seolah-olah mereka yang kalah! Mengapa kamu terdesak?

Apa yang Zambry sepatutnya berkata ialah:

“BN sentiasa adil terhadap semua kaum. Tidak timbul soal kami tidak adil. Lebih penting lagi, kami akan cuba sedaya-upaya untuk meningkatkan prestasi kami supaya lebih baik berbanding kerajaan yang sebelumnya. Ramai yang membuat aduan tentang bagaimana lemahnya pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat waktu dulu. Kami akan berusaha mengatasi kelemahan-kelemahan tersebut demi kepentingan rakyat.”

Barisan Nasional perlu dengan secara halus memupuk pemikiran rakyat bahawa gabungan politik BN merupakan pilihan yang lebih wajar bagi orang Perak. Buat apa hendak bersikap apologetik? Sesungguhnya agenda BN senantiasa adil kepada semua kaum.

Seperti seorang ‘commentator’ berkata: MANUSIA ADA OTAK. Jangan sesekali merendahkan kebolehan manusia berfikir untuk diri sendiri.

Bersifat selalu defensif dan memberi alasan, meminta agar rakyat akur dengan keputusan Sultan, pergi ke England untuk mendapatkan nasihat peguam Inggeris (Queen’s Counsel), dll, kesemuanya adalah ciri-ciri kerajaan LEMAH. Adakah kamu begitu lemah di Perak? Bagi orang yang mampu berfikir, adakah mereka akan menyerahkan undi mereka sewaktu pilihanraya kecil kepada BN yang menonjolkan kamu lemah?

Hari ini pun Zambry berupaya untuk mengetepikan cubaan V. Sivakumar untuk mengadakan mesyuarat tergempar pada 3hb Mac ini. Zambry hanya perlu mengungkit undang-undang yang relevan.

Tetapi apa yang dikatakan beliau pula:

“Sedangkan jika kita baca beberapa perkara dalam Peraturan-peraturan Tetap DUN Perak, ia jelas, menunjukkan bahawa sebarang persidangan DUN yang diadakan hendaklah mendapatkan perkenan Tuanku,” katanya.



Tetapi apakah maksudnya ‘beberapa perkara’? Di mana? V.Sivakumar nyatakan Standing Order 27(3) sebagai asas tuntutannya. Tetapi apa pula dengan BN? Cakap politik, kata kena dapat persetujuan dari Sultan kalau hendak diadakan persidangan tergempar. Mana faktanya? Bercakap tanpa fakta dan bercakap dengan kabur, kamu semacam bermain politik. Bukan seorang pemimpin.

V. Sivakumar menjangka BN akan bodoh-bodoh masuk perangkap. Nyatalah Sivakumar telah mentafsir undang-undang sejajar dengan kehendaknya. Sebagai seorang yang cerewet fakta, semahunya saya Zambry juga memetik undang-undang yang relevan mengukuhkan kesnya.

Mana dia Penasihat Undang-Undang Negeri? Adakah Zambry lupa tanya Penasihat itu apakah undang-undang yang relevan dalam hal ini? Di Melaka, semua mesyuarat DUN mesti diperkenankan Yang Dipertua Negeri terlebih dahulu. Bagi Perak saya kurang pasti. Tetapi janganlah asyik merayu kepada Sultan.

Sultan Perak telah membuat keputusan berdasarkan Perlembagaan untuk dipertimbangkan dengan lanjut oleh ahli politik. Tetapi adakah dengan ini setiap rintik urusan kerajaan harus sekarang diputuskan oleh Sultan? BN harus cekalkan diri dan mengurus hal-ehwal negeri. Sebagai misalan, buat apa mahu merujuk kepada Sultan (Selangor) sama ada ADUN yang berzina dengan suami orang masih layak mewakili rakyat atau tidak.

Jadi, apa perkara yang harus ditangani Barisan Nasional?

Pertama sekali, ahli politik mesti ingat jangan bertindak seperti kaduk naik junjung dan lebih sudu dari kuah. Kita sudah melihat banyak contoh di mana ketakburan para pemimpin Pakatan Rakyat boleh menyebabkan mereka hilang pengaruh. Sila ambil iktibar.

Kedua, tetapi tidak kurang penting, Zambry perlu segera mengemukakan satu penyata misi kerajaan. Penyata misi ini hendaklah menunjukkan mereka lebih berupaya daripada kerajaan Pakatan Rakyat yang tunggang-langgang itu.

Huraian di atas boleh dijadikan dasar induk kaedah pemerintahan BN. Biar penyata misi ini mengikut garisan:

1. Memerintah dengan adil tanpa menyisihkan atau mendiskriminasi mana-mana puak atau kaum supaya tidak wujud ketegangan di kalangan rakyat Perak.

2. Pentadbiran kerajaan harus lebih terurus and mengikut jalan lurus. Berkhidmat untuk rakyat (Nota: Tidak lagi menghulurkan wang di sana sini demi mendapatkan sokongan kerana kita percaya tabiat saling hormat-menghormati datangnya dari sifat merendah diri dan sikap bersungguh-sungguh).

3. Memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat. Kerajaan mesti proaktif menuju kecemerlangan dalam semua bidang ekonomi. Berbalik kita kepada Wawasan 2020.

4. Memulihkan suasana aman tenteram. Negeri yang stabil akan mengurangkan keresahan penduduk Perak. Kualiti hidup akan naik sekiranya urusan negeri teratur.

5. Membaiki kewangan negeri, melanjutkan agenda toleransi dan memantapkan konsep agihan kuasa dalam pemerintahan negeri.

Adalah janji kami kepada rakyat Perak yang kami sentiasa merendah diri dan gigih menghadapi cabaran. Negeri Perak cukup kucar-kacir. Sudah sampai masanya kita membentuk kesefahaman baru dan kerjasama dalam mencari jalan untuk mara ke hadapan dengan penuh kejayaan.

Penyata misi ini bukanlah sempurna atau menyeluruh. Namun ia akan tinggal retorik sekiranya butir-butir yang saya sebutkan tadi tidak ditampung.

Bagaimana hendak merealisasikan hasrat penyata misi negeri Perak ini?

Dapatkan pakar-pakar untuk membantu dalam bidang ekonomi. Sediakan Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators/KPI) bagi setiap badan kerajaan dan ahli exco. Akhir sekali Zambry mesti menyediakan satu KPI khusus untuk dirinya sendiri dan mengumumkan isi kandungan KPI itu kepada khalayak umum. Langkah ini akan meyakinkan orang Perak bahawa beliau serius dalam menerajui negeri itu.

BN mesti kuat dan bersepadu supaya Perak akan dapat meredah krisis politik masakini serta kemelesetan ekonomi.

Versi asal rencana bertajuk ‘Taking stock of the situation in Perak’ diterbitkan pada Mac 1, 2009 dalam blog berjudul ‘Jebat Must Die’. JMD ialah seorang blogger yang sayangkan binatang serta terlibat dengan kerja-kerja amal.

---
http://bm.cpiasia.net/index.php?option=com_content&view=article&id=28:jebat-must-die-mengambil-kira-situasi-di-perak-&catid=1:translated-works&Itemid=2

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.