SPRM terima kertas siasatan kes Fairus hari ini


PULAU PINANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan menerima kertas siasatan berhubung kes rasuah melibatkan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin hari ini.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull berkata pihaknya akan meneliti kertas siasatan itu sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan lanjut.

"Saya baru terima hari ini dan akan teliti dulu kertas siasatan itu. Saya perlu lihat sama ada kertas siasatan itu lengkap atau tidak.

"Sekiranya masih tidak lengkap ia akan dikembalikan kepada SPRM Pulau Pinang untuk dilengkapkan, jika sebaliknya ia akan diserahkan terus kepada pendakwaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Shukri berkata pihaknya juga tidak dapat menetapkan tarikh tertentu kertas siasatan itu akan dihantar kepada pihak pendakwaan.

"Saya cuba secepat mungkin untuk menyelesaikan kes ini kerana semua pihak sedang tertumpu pada kes ini," katanya.

Shukri turut menafikan khabar angin bahawa SPRM menyerbu kediaman anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti itu hari ini.

Beliau turut meminta agar semua pihak termasuk media tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu memandangkan ia masih dalam siasatan.

Isnin lepas akhbar tempatan melaporkan SPRM Pulau Pinang membuat serbuan di pejabat Mohammad Fairus yang terletak di tingkat 52 Komtar bagi mendapatkan beberapa dokumen penting untuk melengkapkan siasatan.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng turut mengesahkan memberi keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Lim turut membayangkan kemungkinan terdapat beberapa exco yang akan turut memberi keterangan kepada SPRM bagi membantu siasatan.

Mohammad Fairus meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang berkuat kuasa hari ini. BERNAMA

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.