Tembam Tapi Pragmatik ?


Saiz kabinet Datuk Seri Najib Razak kini tidak lagi boroi sepe rti barisan kepimpinan negara zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi. Tetapi kabinet ini, yang baru sahaja selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong hari ini, tetap tembam, dan berkemungkinan besar terus lembab gerak langkahnya.

Ramai pemerhati politik kecewa dengan senarai menteri yang kebanyakannya masih muka lama; nama-nama yang sinonim dengan kebekuan dan kebuntuan politik Abdullah sejak awal 2004 dahulu.



Cemuhan juga hebat dihamburkan kepada Najib dan barisan kabinetnya, terutama kritikan dari para pemimpin Pakatan Rakyat.

Dari satu segi, kalangan Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat melihatnya sebagai satu kelebihan kerana perubahan tidak drastik dari Najib akan memudahkan barisan pembangkang pusat untuk meneruskan agenda menumbangkan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini tidak menyukarkan Pakatan untuk meyakinkan rakyat bahawa ia adalah alternatif yang lebih baik dari BN, khususnya apabila muka-muka lama yang dianggap membosankan, masih berpaut pada kuasa kerajaan pusat. Dan mereka juga dikatakan punca BN gagal menghasilkan the wow factor.

Malah propaganda Pakatan yang berjaya mengalih pandangan rakyat untuk menolak Umno, BN dan Abdullah dalam pilihan raya umum 2008 tidak perlu banyak dirobah; hanya diubah suai untuk memenuhi keperluan semasa. Ini adalah kerana musuh politik Pakatan adalah muka-muka yang hampir sama juga.

Dari segi yang lain pula, barisan kabinet Najib mungkin menggugat peluang Pakatan untuk membuat kejutan sejarah dalam pilihan raya umum akan datang. Benar, masih banyak muka lama di dalamnya; tetapi ia juga mencerminkan pragmatisme Najib dalam menyelami hati para pengundi Malaysia yang masih berisfat konservatif.

Sejak Mac 8 tahun lalu sehingga hari ini, BN kalah dalam semua pilihan raya kecil (kecuali Dewan Undangan Negeri Batang Ai di Sarawak). Memang ia prestasi buruk BN dan kejayaan besar Pakatan, khususnya dalam mengekalkan sokongan pengundi keturunan Cina dan India.

Yang masih liat adalah pengundi Melayu yang tetap dilihat bersama Umno dan BN. Walau pun jumlah mereka bukan lagi di antara 70 dan 80 peratus seperti pada dekad-dekad sebelumnya, secara amnya majoriti pengundi Melayu yang bersama Umno dan BN masih pada kadar 45 hingga 55 peratus.

Melihat kepada barisan kabinet Najib, pengekalan ramai menteri Melayu yang sama boleh dilihat sebagai usaha untuk memastikan peratusan majoriti pengundi Melayu tetap bersama Umno dan BN.

Jika usaha ini berjaya, Najib mungkin mempunyai lebih banyak masa untuk mencari jalan menarik semula sokongan kaum bukan Melayu yang kini semakin tegar bersama Pakatan.

Apa yang benar-benar merisaukan BN adalah perubahan sikap kaum bukan Melayu terhadap PAS yang selama bertahun lamanya dimomokkan sebagai musuh kepada kaum Cina dan India. Sekarang fenomena pengundi Cina memilih PAS bukan lagi sesuatu yang menakjubkan.

Setakat ini belum ada mana-mana pemimpin Umno atau BN yang dapat mengatasi perubahan sikap yang positif untuk Pakatan ini.

Begitu juga langkah Najib melantik empat menteri dari Sabah yang dilihat sebagai usaha menghapuskan sama sekali krisis keyakinan terhadap Umno dan BN — setidak-tidaknya menghampakan harapan Pakatan yang cuba bertapak di negeri itu.

Kabinet baru dengan muka lama ini boleh disifatkan sebagai barisan yang berhati-hati dalam memulakan langkah untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap Umno, BN dan Najib sendiri. Walau pun geraknya mungkin dilihat perlahan kerana masih tembam, ia mungkin lebih terperinci susun langkahnya.

Sebagaimana kata Najib sendiri, “Sebagai satu parti dan kerajaan, kita mesti berani bawa perubahan. Mesti berani buat perubahan pada diri kita dan metodologi politik yang diamalkan.” Beliau turut mengakui kekalahan BN di Bukit Gantang dan Bukit Selambau berpunca dari kelemahan Umno dan BN yang masih menggunakan metodologi politik lama.

Namun, perubahan kepimpinan juga memerlukan pengorbanan kerana pucuk pimpinan baru perlu mengisi jawatan dengan orang kepercayaannya dan membuang sesiapa sahaja yang tidak diperlukannya lagi.

Dalam hal ini, pemimpin-pemimpin era Abdullah seperti Khairy Jamaluddin telah pun diketepikan walau pun memenangi pemilihan Ketua Pemuda Umno. Lebih perit baginya ialah apabila calon yang tewas di tangannya Datuk Mukhriz Mahathir dan naib ketua pemudanya Datuk Razali Ibrahim pula diberi jawatan timbalan menteri.

Sedangkan Datuk Shahrizat Jalil yang sudah pun terkeluar dari senarai arena politik negara — tetapi kembali sebagai Ketua Wanita Umno — dipulangkan semua jawatannya sebagai menteri penuh. Kedua-dua jawatan ketua wanita dan pemuda adalah secara automatik bertaraf naib presiden dalam barisan kepimpinan Umno.

Begitu juga lawan-lawan dalaman seperti Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang dianggap ramai kalangan Umno sebagai calon yang sepatutnya memenangi jawatan Timbalana Presiden Umno telah dihalang bertanding.

Suasana seperti ini mungkin membawa ledakan dalaman terhadap Umno. Jika Najib gagal menanganinya dengan baik — termasuk dalam soal perlantikan menteri besar dan ketua menteri baru tidak lama lagi — bibit perpecahan dalam parti yang sedia ada akan semakin memburuk.

Keadaan ini juga memberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk kembali mencari jalan untuk merapatkan barisan mereka yang belum cukup kukuh. Pakatan perlu mencari formula dan gerak kerja yang dipersetujui bersama untuk menangani BN baru di bawah kepimpinan Najib.

Strategi dan taktik menentang Abdullah tidak semestinya berkesan menenang Najib yang lebih pragmatik dan berhati-hati dalam tindakannya. Pakatan juga tidak harus memandang mudah sokongan rakyat kerana pendedahan maklumat, sama ada melalui teknologi baru atau lama, membuatkan orang Malaysia semakin kritis dalam menyatakan suara hati dan keperluan mereka.

Jika pimpinan Pakatan melihat Najib sebagai cabaran yang lebih besar dan serius daripada kepimpinan sebelumnya, ia mungkin dapat mengelakkan diri daripada terperangkap dengan keangkuhan kononnya perdana menteri yang sarat dengan pelbagai tuduhan skandal lebih mudah untuk ditewaskan.

Yang penting, Pakatan tidak harus mengambil mudah dengan kabinet dan kepimpinan Najib; sebaliknya perlu lebih bijak dan bertungkus lumus dalam usaha memenangi hati rakyat.

Apatah lagi, yang baru itu cuma perdana menteri dan kabinetnya. Yang masih di takok lama dan mengekang hak adalah penggunaan undang-undang zalim, penyalahgunaan fungsi dan jentera agensi kerajaan, dan penguasaan media untuk menyokong Umno dan BN. Ruang kebebasan

juga masih terhad dan peluang saksama hanya mainan lidah.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.