Terserlah Kewibawaan Dato Seri Ir Hj Nizar.

Oleh Ahmad Lutfi Othman
http://jiwapejuangkini.blogspot.com/

:: Mesej Bukit Gantang ::

Ia bukan sekadar kemenangan berganda (sebenarnya di Semenanjung sudah 4-0, bermula Permatang Pauh, Kuala Terengganu, seterusnya Bukit Gantang dan Bukit Selambau), tetapi kejayaan Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin dalam pilihan raya kecil ini lebih terasa manis dan lazatnya.

Memang cukup mendebarkan. Ya, persaingan yang sengit dan sukar diramal. Malah lebih ramai menjangkakan Nizar bakal kecundang ekoran tidak mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu.


Isu-isu seperti tohmahan menjadi "boneka DAP" dan "sembah derhaka" dibimbangi berjaya mempengaruhi pengundi untuk kembali menyokong BN. Tidak sedikit teman-teman yang turun berkempen di Bukit Gantang meluahkan rasa curiga terhadap kemampuan Nizar untuk memenangi hati pengundi Melayu.

"Ada kawasan Melayu yang kita langsung tak dapat masuk untuk berkempen. Malah, banyak rumah yang menaikkan bendera Umno dan BN. Jentera BN juga agak agresif berkempen," lapor wartawan Harakah Perak. "Tak ramai orang yang hadir dalam program ceramah kita," tambahnya lagi.

Di samping itu, kehadiran Dr Mahathir Mohamad di hari akhir kempen pula dikatakan boleh menyebabkan pengundi bukan Melayu memikirkan semula sokongan terhadap calon Pakatan Rakyat. Tidak kurang juga yang membayangkan "situasi terburuk" jika ada pengundi yang terpengaruh dengan beberapa langkah awal Dato' Seri Najib Razak, yang baru empat hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Saya pula memang tidak suka meletakkan harapan tinggi kepada sesuatu impian bimbang kecewa akhirnya.

Dibandingkan dengan debar pilihan raya kecil Kuala Terengganu, saya kira Bukit Gantang lebih mencemaskan lagi. Pertama, ia kerusi yang PAS pertahankan. Kedua, sejak awal kita sudah isytiharkan keputusannya nanti melambangkan referendum seluruh rakyat Perak terhadap krisis politik dan perlembagaan yang tercetus awal Februari lalu. Tidak dapat saya bayangkan apa akan terjadi sekiranya Nizar dikalahkan, seolah-olah ini pertandingan hidup atau mati.

Pendek kata, jika berjumpa sepuluh orang yang balik berkempen dari Bukit Gantang, atau sekadar membuat tinjauan rambang di sana, lebih separuh daripadanya tidak meletakkan harapan tinggi PAS dapat mengekalkan kerusi berkenaan. "Saya hanya menyandarkan impian kepada ketokohan Nizar semata-mata, dari sudut lain, terutama kepada pengundi Melayu, saya benar-benar bimbang," kata seorang kawan.

"Bukankah semasa penamaan calon baru-baru ini, jumlah penyokong Pakatan jauh lebih ramai," saya cuba menduganya. "Itulah masalahnya, kita sudah melepasi kemuncak. Selepas hari penamaan calon, 29 Mac, kita terus merosot," reaksi pantas kawan saya itu menambahkan lagi kerisauan.

"Saya pula tak pasti apakah Nizar kini menjadi asset atau liabiliti kepada kita di Bukit Gantang. Tuduhan dia boneka DAP atau jual tanah kepada orang Cina menyebabkan pengundi Melayu meraguinya," kata seorang lagi kawan.

"Kalau setakat dua isu itu, tak payah susah hatilah, kita ada fakta konkrit yang cukup untuk menyanggahnya," saya pula cuba mententeramkan hati mereka dan sekali gus menenangkan gelodak rasa saya sendiri. "Ini bukan soal fakta, ini soal sentimen dan persepsi," balas seorang daripada mereka.

Rupanya kadang-kadang kita sendiri terkeliru untuk membaca realiti sebenar di lapangan. Pengamat politik juga boleh tersilau sehingga membuat rumusan yang agak terpesong, sedangkan para pengundi, khususnya generasi di bawah 50 tahun, sudah melangkah ke dunia politik baru. Emosi mereka tidak mudah lagi dipancing dengan sentimen perkauman atau dakyah politik lama yang dangkal dan hodoh itu.

Apatah lagi sosok tubuh Nizar yang karismatik dan kini menjadi ikon baru itu sudah cukup untuk mematikan segala tohmahan tidak berasas, sebaliknya menyuntik keyakinan baru yang luar biasa kesannya kepada rakyat Perak. Ketokohan Nizar sudah melangkah melampaui sempadan negeri dan bersedia untuk menawan hati audien yang lebih luas di seluruh pelosok negara.

Kemenangan calon PAS dan KeADILan, masing-masing di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, dengan majoriti lebih besar, pastinya membuatkan tidur Najib pada malam Selasa lalu terganggu. Ia satu mesej jelas penolakan akar umbi terhadap kepimpinan beliau yang cuba untuk melakukan kejutan dengan beberapa pembaharuan kosmetik pada hari pertama dinobatkan sebagai Perdana Menteri keenam.

Membebaskan 13 tahanan ISA (dan terus mengurung tahanan yang lebih lama tersiksa di Kamunting) serta menarik balik penggantungan penerbitan Harakah dan Suara Keadilan (serta mengekalkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, juga peraturan karut-marut yang dikenakan ke atas semua lidah rasmi parti) jelas tidak berupaya untuk mengelirukan rakyat yang semakin benci dan muak dengan pendekatan politik lama. Bukankah orang masih ingat, itulah juga yang dilakukan Dr Mahathir ketika mula-mula dilantik menjadi perdana menteri? Tindakan Najib hanya memperkukuhkan tanggapan umum bahawa era Mahathirisme seolah-olah sekali lagi bakal mencengkam tanahair tercinta.

Apa pun telahan yang dibuat, senario politik Malaysia selepas tsunami pertama pada Mac 2008 menjadi semakin menarik. Ia tidak mungkin berpatah balik ke era lama, seperti yang cuba diusahakan Dr Mahathir. Pilihan Najib semakin terbatas. Peluangnya untuk mewariskan takhta di Seri Perdana kepada pemimpin Umno-BN nampak tipis. Terpulang kepada pemimpin utama Pakatan Rakyat untuk mengisi kekosongan ini ...

(Ahmad Lutfi Othman akan mengupas isu terkini di dalam blog beliau,layari blog beliau di http://jiwapejuangkini.blogspot.com/ )

1 ulasan:

fadiga fahmi berkata...

salam perjuangan...
apa yang berlaku kpada tuan sama mcm saya...
risau yang amat sangat...
dengan gaya orang alim tempat saya dato' zahid, lagi merisaukan..
tapi Allah jua yang layak meletakkan keputusan...
amin

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.