Bakar Quran: Malaysia tetap berkecuali (seperti biasa)?


Faisal Mustaffa dan Lingswaran Sigh | Sep 13, 2010 01:11:12 pm

 
"We feel that God is telling us to stop" - Pastor Terry Jones.  Begitulah ujar Pastor dari Gereja Dove World Outreach Center di Gainesville, Florida, Amerika Syarikat berhubung niatnya untuk membakar Al-Quran sempena memperingati tragedi 9/11 di New York pada 2001.  Rancangan awalnya telah mendapat reaksi negatif dari seluruh dunia.  Rancangan tersebut turut dikritik Presiden Barack Obama, dan Ketua Jeneral di Afghanistan, United Nation dan beberapa pemimpin Kristian seluruh dunia.  "This could increase the recruitment of individuals who'd be willing to blow themselves up in American cities, or European cities," kata Obama.

Di Malaysia pula reaksi orang ramai amat menghairankan.  Kumpulan yang paling awal memberi reaksi negatif terhadap rancangan tersebut bukanlah UMNO atau PERKASA mahupun PAS, tetapi Majlis Gereja Malaysia (CCM) dan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) yang terkenal suatu ketika dahulu sebagai penganjur Forum Artikel 11, yang mendapat kritikan hebat daripada masyarakat Melayu Islam Malaysia.
PAS pula sekadar menyatakan bahawa sayap Pemudanya akan menganjurkan protes di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur jika rancangan membakar al-Quran itu diteruskan.  Di Indonesia pula, satu protes di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Jakarta telah dihadiri ribuan orang.
US gagal buat apa-apa

Pastor Jones telah membuat keputusan untuk membatalkan rancangannya kerana kononnya ketua Surau Islam yang dirancang di Lower Manhattan, New York telah bersetuju untuk memindahkan surau tersebut ke lokasi lain.  Walau bagaimanapun, pihak pemaju pusat itu pula menyatakan bahawa mereka tidak pernah bersetuju untuk memindahkan projek tersebut.
Beberapa minggu sebelum ini, isu ini juga telah mengundang kontroversi hebat kerana mengusik sensitiviti rakyat Amerika Syarikat dengan cadangan untuk membina pusat kegiatan Islam yang dinamakan Park 51 di tapak bekas lokasi New York World Trade Center.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat tidak mampu berbuat apa-apa selain daripada menasihatkan sahaja Pastor tersebut supaya jangan berbuat sedemikian.  Ini selaras dengan konsep kebebasan bersuara yang terkandung dalam Perlembagaan Amerika Syarikat.  Ia juga dikenali sebagai the First Amendment.  Perkara tersebut tunjang kepada kebebasan rakyat Amerika.  Kebebasan ini terjamin sehinggakan jika pihak Neo Nazi berhasrat untuk berarak dan membakar bendera Amerika Syarikat.  Mereka boleh berbuat sedemikian tanpa sebarang tindakan undang-undang atau ketenteraan.
Malah, kita menyaksikan sendiri melalui buletin di televisyen bagaimana perarakan dijalankan serentak pada 11 September, oleh kedua-dua pihak yang menyokong dan membantah pembinaan pusat Islam di tempat kejadian 911.  Tiada huru-hara mahupun pertembungan fizikal berlaku antara dua pihak, kecuali pandangan yang berbeza.  Malah, tiada keganasan daripada pihak polis mahupun FRU untuk menyuraikan kedua-dua demonstrasi tersebut.
Konsep yang janggal untuk Malaysia
Ini satu konsep yang amat janggal kepada rakyat Malaysia, sesuatu yang barangkali sukar untuk diterima oleh masyarakat kita.  Mengapa rakyat Amerika yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan yang jauh lebih majmuk daripada Malaysia mampu untuk memberikan rakyatnya kebebasan yang sebegitu luas sedangkan kita menghukum orang awam yang berarak dengan kepala lembu?
Dari segi sejarah, Amerika mempunyai sejarah sensitivi perkauman yang jauh lebih dahsyat daripada kita sebenarnya.  Jika kita sering diingatkan tentang tragedi 13 Mei 1969, Amerika masih dihantui sejarah Klu Klux Klan, Chicago Race Riots 1919, Baltimore Race Riot 1968 , Miami Race Riots 1980 dan banyak lagi.
Perkembangan di Amerika Syarikat ini amat relevan kepada kita sebagai rakyat berbilang bangsa dan agama.  Selain daripada menjadi suatu persoalan yang memaksa kita meneliti erti kebebasan kita sendiri.  Isu ini juga timbul pada waktu kita menghadapi isu-isu popular seperti lagu rap kesat Namewee dan kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan oleh Pengetua Siti Nur Aishah, ketika Teo Nie Ching dikritik hebat kerana memasuki surau, ketika Indonesia menodai dan membakar Jalur Gemilang, dan ketika orang ramai sedang berang dengan Iklan Beca Terbang TV3.
Semua perkembangan yang menguji kesabaran dan hubungan di antara kaum rakyat kita.  Melihat reaksi rakyat, kami yakin rakyat Malaysia lebih matang daripada Pastor Jones, lebih matang daripada rakyat Indonesia, lebih matang daripada Namewee (gambar kiri) dan Siti Nur Aishah, mungkin sematang Teo Nie Ching yang masih terus melawat surau-surau di sekitar lembah Klang.
Tatkala dunia salah faham dan cuba untuk memahami Islam di peringkat global, pertubuhan bukan Islam Malaysia seperti (CCM) dan (MCCBCHST) bangkit mempertahankan agama rasmi Negara sepertimana di dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan.  Jika kita masih ingat tidak berapa lama dahulu The Bible Society of Malaysia telah merayu Kerajaan Persekutuan untuk menghalang pemusnahan 5000 salinan "Al-Kitab: Berita Baik" namun usaha mereka hanya menemui kebuntuan.
Barangkali kita wajar menyemak semula hubungan di antara agama di Negara kita sendiri sebelum kita terlepas pandang akan nilai-nilai permuafakatan dan saling hormat-menghormati yang telah lama terjalin.  Semoga Syawal ini kita lebih menghargai perkara-perkara kecil yang tidak ketara tetapi menjadi tulang belakang perpaduan kita.
*Faisal Mustaffa dan Lingswaran Singh ialah penulis bebas.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.