Perkasa Perak: Kami tak mahu cabar BN, biar tunggu PRU-13


September 16, 2010
Nazri berkata Perkasa hanya dijadikan popular oleh Utusan Malaysia. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 16 Sept — Perkasa Perak menegaskan pihaknya tidak akan menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13 tetapi mahu melihat sejauh mana perikatan 13 komponen itu mampu menghadapi saingan Pakatan Rakyat (PR) kelak. Merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, Yang Dipertua Perkasa Perak Ahmad Zaini Ismail berkata, BN dan Umno tidak seharusnya bersikap angkuh bahawa mereka mempunyai sokongan kuat untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.
“Nazri berkata Perkasa Perak tidak ada sokongan... kalau begitu apa perlu bising sehingga Umno kena menjauhi Perkasa.
“Apa perlu menyerang pertubuhan NGO yang kerdil macam Perkasa. Memang kami kecil dan Umno hebat, sebab itu Perak jatuh ke tangan PR dalam pilihan raya ke-12,” kata beliau dalam kenyataan dihantar kepada The Malaysian Insider.
Zaini berkata, Perkasa Perak mahu menasihatkan Umno dan BN Perak jangan angkuh dan bercakap besar.
“Tapi orang nazak selalu cakap merapu... kami bukan parti politik tapi NGO, undi dari kumpulan yang dikatakan kecil dan tiada sokongan boleh bantu siapa menang dan siapa kalah.
“Kalau angkuh macam ini, apa-apa pun kita tunggu pilihan raya umum ke-13. kami tidak akan menentang BN, cuma kami nak tengok sejauh mana kekuatan BN lawan Pakatan,” katanya.
Perak merupakan antara negeri yang jatuh ke tangan PR, tetapi ia diambil alih oleh BN awal tahun lalu selepas tiga Adun mereka keluar parti.
Dalam kenyataannya semalam, Nazri yang mempersoalkan tindakan Utusan Malaysia seolah-olah memperlekehkan gagasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan memberikan liputan meluas kepada pertubuhan bukan kerajaan sehingga mengetepikan pendirian Umno berkata, beliau berpendapat bahawa laporan tinjauan akhbar itu hanya berdasarkan temu bual terpilih dengan minoriti Melayu.
Nazri menegaskan, ia tidak semestinya menggambarkan pandangan akar umbi.
“Bagi saya, mereka tidak mewakili perasaan orang Melayu di akar umbi kerana orang Melayu yang menyokong PAS akan terus menyokong PAS tanpa mengira apa yang diperkatakan oleh Utusan dan begitu juga pengikut PKR yang akan menyokong (penasihat PKR Datuk Seri) Anwar (Ibrahim)... mereka tidak kisah apa yang Utusan kata, dan begitu juga yang membabitkan lain,” katanya lagi.
Nazri memberikan contoh persekitaran di bahagian Parlimen Padang Rengas, Perak dengan berkata, Perkasa tidak dapat mengocak pengundi-pengundi Melayu di kawasannya.
“Saya ketua Umno Padang Rengas... di akar umbi, tiada cakap-cakap mengenai Perkasa dan di bahagian saya, tiada mereka yang menyertai Perkasa.
“Begitu di bahagian jiran Kuala Kangsar, Sungai Siput, Lenggong, Bukit Gantang... Perkasa tiada impak langsung,” kata Ahli Parlimen Padang Rengas ini.
Nazri menambah, Perkasa hanya dijadikan popular oleh Utusan Malaysia.
“Mereka tiada impak di kawasan luar bandar dan anda mahu tahu mengapa? Ini kerana pemimpin-pemimpin Perkasa adalah ahli Umno yang telah ditolak sebelum ini.
“Ahli Umno yang memegang jawatan dalam bahagian tidak akan menyokong Perkasa,” katanya.
“Lihat pada (Presiden Datuk) Ibrahim Ali, yang beliau sendiri adalah pemimpin ditolak oleh Umno. Timbalan beliau juga tewas dalam pemilihan bahagian dan begitu juga ketua pemudanya,” kata beliau lagi.
Ibrahim yang menubuhkan Perkasa dua tahun lalu telah dipecat Umno pada 2004.
Pada 2008, Ibrahim bertanding di Pasir Mas sebagai wakil Bebas atas tiket PAS tetapi memutuskan hubungan dengan komponen Pakatan Rakyat selepas memenangi kerusi Parlimen itu.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.