PAS: Khir patut lupakan hasrat kembali jadi MB Selangor


September 17, 2010
KUALA LUMPUR, 17 Sept — PAS Selangor mendakwa isu sama ada bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berminat atau tidak untuk kembali mengetuai kerajaan negeri tidak berbangkit sama sekali kerana rakyat telah pun menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) dua tahun lalu.
Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata realitinya hilangnya keyakinan dan kepercayaan rakyat Selangor itu terhadap kerajaan BN Selangor yang lalu banyak tertumpu pada kepincangan kepimpinan Dr Khir sendiri sebagai menteri besari Umno dan BN yang terakhir.
Laporan media memetik Dr Khir menegaskan yang beliau tidak lagi berminat untuk kembali menjadi menteri besar sekiranya Umno kembali menawan Selangor dalam pilihan raya umum akan datang.
Sebaliknya Dr Khir mahu jawatan itu diserahkan kepada pemimpin yang lebih layak.
Beliau membuat keputusan itu kerana tidak mahu mewarisi masalah-masalah yang berlaku selepas Selangor diperintah olej Pakatan Rakyat (PR) sejak Mac 2008.
Dr Khir menggantikan Tan Sri Abu Hassan Omar sebagai menteri besar.
“Beliau mungkin tidak menyedarinya dan masih mengagung-agungkan era kepimpinan beliau, namun hakikatnya semasa beliau menteri besarlah api kemarahan rakyat meluap-luap dan diterjemahkan langsung melalui peti undi pada PRU-12 yang mengakibatkan Umno dan BN hilang kuasa di Selangor,” kata Roslan Shahir dalam satu kenyataan.
Kata beliau, PAS Selangor mahu menegaskan bahawa keputusan pilihan raya umum 2008 di mana rakyat Selangor bangkit merobah kerajaan negeri dari BN ke PR adalah isyarat hilangnya keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap kemampuan Umno dan perikatannya dalam mengurus dan mentadbir negeri itu.
Oleh itu menurut Roslan Shahir, sebenarnya Dr Khir dan Umno serta BN Selangor tidak ada pilihan.
“Isu siapa yang bakal menjadi MB Selangor bukannya terletak pada pilihan Khir atau Umno Selangor tetapi rakyat.
“Sehingga kini rakyat Selangor telah memberikan kepercayaan kepada Pakatan iaitu gabungan PAS, PKR dan DAP yang telah memilih Tan Sri Khalid Ibarhim sebagai MB kerajaan baru ini sejak Mac 2008.
“Ia akan kekal begini sehinggalah mandat dikembalikan kepada rakyat,” kata beliau sambil menambah buat masa sekarang dengan dokongan dan kepercayaan rakyat, harapan Dr Khir atau sesiapa sahaja dari Umno atau BN Selangor untuk kembali memegang teraju pentadbiran negeri ini agak tipis.
“Rakyat telah selesa dan kini yakin bahawa keputusan mereka pada 8 Mac 2008 lalu adalah keputusan yang paling tepat.
“Mustahil mereka mahu kembali menoleh ke belakang mengundang kepincangan yang lampau untuk menggantikan yang baru dan bersih yang telah dibina bersama ini,” katanya.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.