September 17, 2010, Friday
SIBU: Sebuah unit rumah di tingkat tiga bangunan flat blok B, Sibu Jaya musnah dalam kejadian kebakaran malam kelmarin.
Kejadian malang itu dipercayai berlaku sekitar jam 7 petang, ketika ramai penghuni rumah flat berkenaan sedang beristirehat.
Semasa kejadian, rumah tersebuat hanya didiami oleh dua orang adik beradik, masing-masing berusia 11 dan 14 tahun.
Ibu mereka yang berusia lingkungan pertengahan umur menjaga seorang lagi saudara mereka di Hospital Sibu kerana sakit.
Punca sebenar kejadian bagaimanapun masih belum dapat dipastikan.
Api dikatakan berpunca daripada salah satu bilik tidur rumah berkenaan, sebelum merebak ke bahagian lain.
Difahamkan, kedua-dua beradik terbabit cuba memadamkan api berkenaan tetapi gagal sebelum keluar dari rumah dan meminta tolong.
Penghuni rumah flat sama, yang tersentak dengan kejadian itu kemudian bergegas memadamkan api.
Ada di antara mereka mengangkut air menggunakan baldi sementara jiran berdekatan memadamkan api menggunakan hos air.
Sementara itu Jabatan Bomba dan Penyelamat turut dihubungi untuk mendapatkan bantuan.
Namun malangnya, anggota penyelamat berkenaan hanya tiba di tempat kejadian kira-kira 40 minit selepas kejadian.
Api yang marak, sudah berjaya dipadamkan oleh orang ramai ketika pihak bomba tiba di tempat kejadian.
Salah seorang penghuni rumah flat berkenaan yang enggan dikenali menjelaskan beliau sekeluarga terus melarikan diri bersama dokumen penting sebaik sahaja menyedari berlakunya kejadian kebakaran.
“ Suasana berlaku dalam keadaan kelam kabut selepas bekalan elektrik terputus,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.
Tiada sebarang kejadian kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan berlaku insiden berkenaan.
Ini adalah kejadian kedua, insiden kebakaran berlaku di bangunan rumah flat berkenaan di mana kali pertama dilaporkan berlaku pada 2008.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan