Empat terima Anugerah Tokoh Malaysia sempena Hari Malaysia


September 17, 2010
KOTA KINABALU, 17 Sept — Anak kelahiran Sabah yang berasal dari Ranau, Tan Sri Abdul Ghani Gilong yang pernah memegang beberapa jawatan menteri Kabinet, merupakan salah seorang daripada empat penerima Anugerah Tokoh Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini.
Negarawan yang berumur 78 tahun itu diberi penghargaan tersebut kerana sumbangan besar beliau dalam sejarah pembentukan negara, terutama dalam usaha menyuntik semangat rakyat Sabah supaya menyokong pembentukan Malaysia.
Abdul Ghani bersama-sama dengan Tun Fuad Stephens, Ketua Menteri Sabah yang pertama, membantu Suruhanjaya Cobbold menjelajah daerah pedalaman khususnya
Ranau, Kundasang, Tambunan, Keningau, Kudat, Sandakan dan Kinabatangan untuk memberi penerangan mengenai kebaikan dan kelebihan bagi Sabah sekiranya bersama-sama membentuk sebuah negara baru, Malaysia.
Beliau turut terlibat dalam politik Sabah selepas pembentukan Malaysia apabila turut terbabit dalam penubuhan Pertubuhan Bersatu Pasok Momogun Kadazan (Upko) yang bertanding dalam pilihan raya umum negeri Sabah yang  pertama pada April, 1967.
Beliau pernah memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Sabah, Menteri Pertahanan, Menteri Kehakiman, Menteri Kerja Raya, dan Menteri Pengangkutan antara 1968 dan 1978.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyampaikan anugerah itu dalam majlis khas sambutan Hari Malaysia 2010 di Padang Merdeka di sini malam ini, di mana selain sijil penghargaan penerima juga menerima RM50,000 serta Persalinan Khas.
Seorang lagi penerima anugerah itu ialah anak kelahiran Kelantan Tan Sri Zainal Abidin Sulong, 77, yang pernah menjadi duta besar Malaysia di beberapa negara dan setiausaha ketiga Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dua lagi penerima anugerah itu terdiri daripada bekas Ketua Polis Perak Datuk Seri Yuen Yuet Leng, 83, yang tersohor sebagai wira dalam menggerakkan operasi-operasi menentang pengganas komunis, dan bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’’kub, 82, yang berusaha meyakinkan rakyat Sarawak, seterusnya mendapat sokongan padu rakyat Sarawak dalam soal pembentukan Malaysia.
Kecuali Zainal, tiga lagi tokoh hadir untuk menerima anugerah itu daripada Perdana Menteri. — Bernama

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.