JAKARTA 21 Sept. - Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Muhaimin Iskandar hari ini melarang calon pembantu rumah negara itu untuk pergi bekerja di Malaysia sehingga kerajaan Indonesia mampu memberi perlindungan sewajarnya kepada mereka.
Kenyataan Muhaimin itu adalah sebagai reaksi kepada kejadian terbaru membabitkan penganiayaan terhadap pembantu rumah Indonesia bernama Winfaedah di Malaysia pada 13 September lepas.
Kejadian itu katanya menjadi bukti bahawa mereka menanggung risiko tinggi jika pergi bekerja tanpa dokumen rasmi yang lengkap.
“Jadi jangan berangkat ke Malaysia dulu sampai ada perlindungan yang jelas,” katanya di Denpasar, Bali yang dipetik portal berita Kompas.Com.
Selain Malaysia, dua negara lain yang turut diminta dihindari calon-calon itu sehingga ada kepastian perlindungan terhadap mereka ialah Kuwait dan Jordan.
Bagi melindungi keselamatan dan hak tenaga kerja Indonesia, Muhaimin berkata, kerajaan Indonesia menetapkan bahawa pasport harus dipegang oleh mereka dan mereka juga diberi cuti pada hari minggu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan