TPM: Penunjuk perasaan Indonesia tak wajar jejaskan hubungan dua hala


September 23, 2010
KUALA LUMPUR, 23 Sept – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membidas tindakan sekumpulan rakyat Indonesia yang berdemonstrasi di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta semalam yang dianggapnya boleh menjejaskan hubungan baik dua negara yang telah terjalin sekian lama.
Beliau berkata kumpulan penunjuk perasaan itu tidak seharusnya bertindak sedemikian kerana Malaysia juga mempunyai sistem perundangan yang tidak akan membiarkan pihak-pihak yang terbabit dengan jenayah seperti penderaan terlepas daripada hukuman.
“Kalau sesiapa saja yang terjebak dalam hal seperti ini (mangsa penderaan) mereka juga akan ada perlindungan, itu jaminan kerajaan Malaysia, jadi saya harap kalau begitu seharusnya dia (penunjuk perasaan) tidak boleh mencetuskan satu keadaan hingga terputus hubungan baik yang kita sudah jalin antara kedua-dua buah negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Seminar Serantau “Menjenayahkan Rasuah” Inisiatif Pencegahan Rasuah Bagi Asia dan Pasifik, Bank Pembangunan Asia/Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi yang ke-10 di sini hari ini.
Muhyiddin (gambar) diminta mengulas mengenai protes oleh rakyat Indonesia di luar kedutaan dan kediaman Duta Besar Malaysia di Jakarta Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan semalam untuk mengutuk penderaan ke atas pembantu rumah dari negara itu oleh majikan di Malaysia.
Kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) juga cuba mengusir rakyat Malaysia yang berbelanja di pusat beli-belah Senayan City agar tidak berada di Indonesia dan keluar dengan segera.
Pembantu rumah yang dikenali Win Faidah, 26, yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia dikatakan telah didera secara fizikal dan seksual sejak lebih empat bulan oleh majikannya dan ekoran itu sepasang suami isteri telah ditahan polis pada 19 Sept lalu bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
Muhyiddin berkata pendirian kerajaan jelas iaitu tidak akan membiarkan perkara seperti itu berlaku dan akan memastikan bahawa undang-undang dikuatkuasakan bagi membawa pihak terlibat ke mahkamah serta mendapat hukuman tertentu berdasarkan sistem perundangan negara.
“Kalau hendak ditanya saya, saya pun tidak akan endorse (terima), malah kita akan condemn (kutuk) mana-mana pihak yang mengambil tindakan yang boleh membawa kesan kepada sesiapa saja,” katanya.
Beliau berkata apa yang penting adalah sekiranya timbul apa-apa isu berbangkit di antara dua negara, maka ia mesti diselesaikan menerusi saluran diplomatik bagi memastikan hubungan di antara Malaysia dan Indonesia kekal baik.
“Sebagaimana kita maklum, beberapa hari lalu, kedua-dua menteri luar telah mengadakan perbincangan tentang cara bagaimana isu sebegini boleh ditangani, jadi apapun ini mungkin reaksi mereka kepada kes tertentu yang berlaku,” katanya. – Bernama

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.