
Sementara Anwar Ibrahim menjulang harapan anggota parti dan penyokong di luar parti untuk merampas kuasa kerajaan persekutuan daripada regim Barisan Nasional (BN), Ketua Umum PKR ini juga tidak terelak daripada menjadi sasaran pertama yang dituding jari, apabila situasi parti menjadi seolah-olah di luar kawalannya.
Bermula daripada pertikaian isu agama Islam yang dicungkil Zulkifli Noordin, disusuli pula pemimpin yang keluar parti seperti Zahrain Hashim, Salehuddin Hashim, Wee Choo Keong dan sebagainya; sehinggalah apa yang berlaku di Selangor antara Azmin Ali dengan Khalid Ibrahim dalam Kongres Nasional Tahunan pada Mei 2010, PKR memberi persepsi yang semakin tercalar di khalayak ramai.
Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 11 Julai 2010, Tian Chua, salah seorang "veteran" yang masih tinggal dalam PKR, memberi gambaran dari kaca matanya di sebalik "kekecohan" ini.
Kelemahan, juga keistimewaan Anwar
Zulkifli Noordin mencetuskan pertikaian sejak beliau merempuh forum bertemakan isu agama anjuran Majlis Peguam Malaysia pada Ogos 2008. Namun demikian, isu ini dikendalikan secara "berhati-hati", malah lebih tepat secara "senyap-senyap", memandangkan seluruh tenaga PKR ditumpukan pada PRK Permatang Pauh, yang menyaksikan "kembalinya Anwar secara rasmi" ke dalam parlimen.

"Adakah ini kelemahan, atau keistimewaan Anwar? Pada dasarnya Anwar seorang demokrat. Jadi beliau selalu menyimpan 'sangka baik' terhadap kritikan yang dilontarkan terhadapnya. 'Dia kritik saya, ok-lah, sabarlah, saya bincang dengannya kemudian selesai' (sikap Anwar)." Tian Chua membela Ketua Umumnya, sambil memberi contoh bagaimana Anwar mempertemukan Zulkifli Noordin dengan tokoh agama, Yusof Al-Qaradawi, untuk membincangkan isu penggunaan kalimah Allah.

"Semestinya ia (sikap Anwar ini) ada baik dan buruknya. Ini bermakna apabila berdepan dengan masalah, maka orang di sisi Anwar perlu memikirkan cara untuk mengurangkan bahaya dan ancaman masalah tersebut," katanya.
Antara disiplin dengan perbezaan pandangan
Ketika mengulas siri kejadian yang berlaku, sehingga PKR dilihat "kecoh", Tian Chua mengakui bahawa partinya masih dalam proses untuk mengimbangkan diri, antara "disiplin" dengan "ruang perbezaan pendapat". "Adakah kami perlu mengetatkan disiplin ke satu tahap, di mana kesemua daripada kami mencapai muafakat, 'tiada masalah' (no problem), ataupun kami dibenarkan untuk mengakui bahawa kami mempunyai pendapat yang berbeza?"
Lantaran daripada itu, Tian Chua menafikan tuduhan bahawa Anwar mempunyai kedudukan tertinggi yang tidak boleh dicabar dalam parti. "Jikalau semuanya diputuskan Anwar, maka kami tidak akan mempunyai katak, tidak ada riuh-rendah, tiada lagi orang yang kata 'saya nak ikut halatuju ini dan ada pula yang mahu ikut halatuju itu di Selangor'."
Bagaimanapun, Tian Chua mengakui kelemahan PKR yang selama ini beroperasi berdasarkan "idealisme". Mekanisme 'puji dan hukum' (power of reward and punishment) dalam PKR masih lemah, dan perlu diperkasa untuk kepentingan jangka panjang parti, katanya.
Keluar parti: Pengaruh budaya UMNO?
Kebangkitan semula PKR selepas 8 Mac 2008 mungkin cukup memberangsangkan buat reformis yang lebih satu dekad bergelut dalam perjuangan ini. Namun, keghairahan ini surut tidak lama kemudian, lebih-lebih lagi selepas kegagalan rampasan kuasa pada 16 September 2008.

Tian Chua meminjam istilah Marxisme, untuk menjelaskan bahawa kebangkitan sesebuah parti yang menganjurkan revolusi (perubahan) biasanya dimulakan dengan golongan "Lumpenproletariat", iaitu mereka yang tidak memiliki apa-apa untuk dihilangkan (nothing to lose). Golongan pertengahan seperti peguam, ahli korporat biasanya hanya menyusul di belakang.
Menurut Tian Chua, PKR mempunyai ramai anggota seperti itu (golongan Lumpenproletariat), yang tidak semestinya bekas ahli UMNO. Bukan semua daripada mereka mempunyai "agenda reformasi" untuk dimainkan dalam otak. Jadi, apabila PKR memegang kuasa (kerajaan negeri), orang yang tidak mempunyai idealisme reformasi mula merungut.

Golongan kedua pula, dilambung ke atas kerana ombak tsunami politik PRU ke-12, biarpun tidak masak dengan dasar mahupun selok-belok pentadbiran kerajaan negeri. Mereka menyedari bahawa diri mereka tidak layak untuk tempat itu, malah tidak mungkin dipilih semula untuk menyandang jawatan tersebut. Jadi, mereka memilih untuk meninggalkan PKR, memandangkan orang yang baru masuk PKR memiliki kelebihan daripada diri.

Selain tiga golongan di atas, Tian Chua menganggap suara berbeza yang muncul dalam parti disebabkan corak pimpinan yang berbeza. Tian Chua selanjutnya mengulas perbezaan yang timbul antara Menteri Besar Selangor, dengan Azmin Ali, Naib Presiden yang baru-baru mengambil alih jawatan Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor dari Khalid Ibrahim.
Khalid vs Azmin
"Saya tidak boleh secara ringkasnya, melabelkan Khalid sebagai golongan progresif, dan Azmin sebagai golongan konservatif. Untuk saya, perbezaannya sebegini, langkah pembaharuan dalam sistem kakitangan awam dan korporat terlalu perlahan. Dasar parti gagal diterapkan sepenuhnya. Ini kerana kami terlalu beri muka kepada kakitangan kerajaan ini, dan kami terlalu ikut prosedur. Tapi prosedur ini ditetapkan UMNO. Tan Sri (Khalid) tidak mahu menyentuhnya pada kebanyakan masa," kata Tian Chua.

"Masalahnya apabila kami berdepan dengan tekanan, anda menyerahkan jawatan ini kepada ahli profesional dan pegawai kerajaan. Ia menyebabkan satu situasi tersekat (jam), dan menjadi rintangan kepada diri kita." Tian Chua bersambung, maka orang dalam parti tertanya-tanya, "mengapa orang ini bekas penyokong BN, dan kini hanya dengan menukar topinya (sokong BN), dia masih memegang jawatan dalam kerajaan kami?"
"Caranya mengolah isu ini, atau penyampaiannya memberi gambaran seakan-akan dialah yang mahukan jawatan tersebut, tetapi pada hakikatnya bukan semestinya begitu," jelas Tian Chua.
Tian Chua seterusnya memberi contoh masalah yang dihadapi Khalid Ibrahim, yang akhirnya menjurus kepada penyerahan jawatan Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor kepada Azmin Ali.
"Sudah tentu Tan Sri (Khalid) bosan dengan perkara remeh temeh ini, kerana beliau sebagai Menteri Besar nak uruskan hal pentadbiran negeri. Jadi, beliau akan mengambil sikap 'jangan kamu bangkitkan isu ini kepada saya, kamu cakap dengan orang lain'... Masalahnya, Tan Sri ialah Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor. Pemimpin akar umbi akan tertanya-tanya, siapa lagi yang harus selesaikan masalah bil bekalan air dan elektrik, kalau bukan beliau?"
Dalam situasi sedemikian, Tian Chua tidak menolak bahawa timbulnya rungutan daripada segelintir anggota parti, yang mahukan Khalid Ibrahim dijatuhkan, tetapi agak keterlaluan untuk dikatakan bahawa wujud satu komplot yang terancang agar Khalid digulingkan.

Bahagian kedua: Tian Chua: Perkara 48 Perlembagaan penghalang politik mobilisasi
Bahagian ketiga: Tian Chua: Pembangkang jadi arus perdana biarpun belum berkuasa
* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan