September 20, 2010
KUALA LUMPUR, 20 Sept – Dua peguam adik beradik yang ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya sudah melantik peguam bagi mewakili mereka.Ravi Nekoo dari Hakemarabi & Associates dalam satu kenyataan hari ini berkata anggota keluarga dua peguam berkenaan melantik peguam pada 12 September lepas.
“Sejak itu kami sudah membentuk satu pasukan pembelaan,” kata Ravi, yang menjadi peguam jenayah dan sivil sejak 15 tahun lepas.
Sabtu lepas, mahkamah membenarkan tempoh tahanan reman terhadap dua beradik itu dan seorang lagi suspek kes berkenaan dilanjutkan sehingga 25 September ini.
Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilapor hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.
Pada 13 September lepas polis mengesahkan keempat-empat mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayatnya dibakar dan abu dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor.
Ravi berkata sepucuk surat bertarikh 14 September dihantar kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah untuk memaklumkan soal pelantikan peguam itu dan meminta supaya pasukan pembelaan diberikan akses kepada anak guamnya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan