Kelab Warga Emas Sri Gombak dapat peruntukan RM15,000

GOMBAK, 23 Feb (Hrkh) - Kelab Warga emas Sri Gombak mendapat peruntukan RM15,000 daripada kerajaan Pakatan Rakyat melalui ahli Parlimen, Azmin Ali dan Adun, Dato' Dr Hasan Mohamed Ali.

Pada awal penubuhan tahun 2004 kelab tersebut hanya mempunyai keahlian setakat 50 orang tetapi telah meningkat 800 ahli warga emas membabitkan orang Cina, India dan Melayu.

Dr Hasan selaku Adun Gombak Setia merangkap exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu dan Infrastruktur dan Kemudahan Awam menyerahkan cek berjumlah RM5,000 kepada pihak pengurusan Kelab Warga Emas dalam majlis Jamuan Tahun Baru Cina, malam Sabtu, 21 Februari lalu.

Dalam ucapan tersebut, beliau berkata, pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor akan memikirkan masalah kebajikan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

"Pakatan Rakyat telah memegang tampuk pemerintahan jadi kita mahu mengubah cara pentadbiran negeri yang selama ini ditadbir oleh Umno-BN," katanya.

Menurut beliau, dalam tempoh 11 bulan Pakatan Rakyat memegang kuasa di Selangor pimpinan kerajaan sering memikirkan kebajikan dan keselesaan para peniaga untuk berniaga di tempat strategik dan sebagainya.

Sambutan majlis jamuan Tahun Baru Cina yang bermula jam 8 malam itu meriah ditambah dengan kehadiran anggota masyarakat daripada pelbagai bangsa.

Hasan dan Azmin turut menyampaikan 'angpau' serta barang makanan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dan orang susah dalam majlis tersebut.

Kehadiran Hasan dalam majlis itu disambut tepukan gemuruh oleh hadirin yang kebanyakannya anggota masyarakat Cina.

Sementara itu, Azmin dalam ucapannya memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menambah peruntukkan warga emas berumur 60 tahun ditambah RM1,000 menjadi RM3,500.

"Saya mencadangkan supaya wang tersebut tidak hanya dibahagi selepas warga emas itu meninggal dunia tetapi duit itu boleh diagihkan ketika warga emas sakit bagi memudahkan mereka membeli ubat," katanya.

Menurut beliau, peruntukan RM2500 itu juga akan diberikan kepada golongan OKU dan jika ada yang mengalami sakit buah pinggang kerajaan akan memberi bantuan dialisis tanpa mengira agama dan bangsa.

Begitu juga katanya, bagi warga emas yang sudah rabun dan mahu membuat pembedahan untuk membuang katarak kerajaan Selangor setuju membayar RM1,200.

"Mana ada kerajaan yang boleh membantu rakyat seperti ini melainkan kerajaan Pakatan Rakyat di bawah pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," jelasnya.

Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa memaklumkan kerajaan negeri Selangor akan memberikan peruntukan kepada semua ahli Parlimennya sebanyak RM150,000 setahun.

Ini kerana katanya, kerajaan BN telah merampas peruntukan ahli Parlimen Pakatan Rakyat sebanyak RM1 juta.

Disebabkan peruntukan itu, beliau telah memaklumkan akan memberi RM10,000 kepada Kelab Warga Emas Sri Gombak.

Beliau berkata, peruntukan yang pertama kali diluluskan itu bertujuan menjaga kebajikan warga emas Sri Gombak sama ada orang Melayu, India dan Cina.

Kerajaan negeri juga, katanya telah menyediakan penempatan yang selesa bagi warga emas yang tidak mempunyak tempat tinggal. - lanh _

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.