10 Harapan Anak Muda Terhadap Bajet 2011

Introduksi

Allah SWT berfirman (bermaksud), “Dan carilah apa yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT kepada kamu di negeri akhirat, dan janganlah kamu lupa habuan kamu dari dunia, dan hendaklah kamu berbuat baik sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu, dan janganlah kamu membuat kerosakan di bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada mereka yang membuat kerosakan”

(Surah Al-Qasas : 77)

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak,

Bersempena pembentangan bajet tahunan yang dijadual akan dibentangkan pada 15 Oktober 2010 ini, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) ingin menyenaraikan 10 Harapan Anak Muda Terhadap Bajet 2011 yang berteraskan kepada ekonomi bersepadu yang berpaksikan kepada penerapan nilai akhlak dan pembangunan kemajuan Malaysia selari dengan usianya yang telah melangkaui separuh abad ini.

Secara prinsipnya, Islam telah menggariskan ciri-ciri ekonomi yang mampu menjamin kepentingan hidup manusia disamping menuju kepada kegemilangan hidup yang sebenar. DPPP optimis bahawa ciri-ciri berikut mesti diaplikasikan dalam perangkaan perancangan ekonomi, skop pengurusan dan pengagihan kekayaan negara, penggunaan dan pembangunan kebendaan. Ciri-cirinya adalah ketuhanan, kemanusiaan, akhlak dan keseimbangan atau kesederhanaan.

YAB Dato’ Seri,

Sepanjang dipertanggungjawabkan untuk menerajui pentadbiran negara Malaysia sejak April 2009, rakyat sebagai amanah dan pembayar cukai serta majikan dalam konsep demokrasi hari ini telah mula menilai pentadbiran kabinet Malaysia bersandarkan kepada beberapa fakta yang dikemukakan oleh agensi kerajaan, penganalisis, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak-pihak yang lain.

Antaranya,

Pertama mengenai integriti pentadbiran yang rapuh. Pada awal Januari 2010, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mendakwa bahawa gejala rasuah dalam sektor pembinaan terutamanya projek-projek besar, mewah dan bernilai tinggi di negara ini telah berada dalam situasi yang serius. Kegagalan projek-projek kerajaan termasuk kelewatan, terbengkalai dan kemerosotan kualiti adalah asas indikator yang membuktikan berlakunya amalan rasuah sehingga ia menjejaskan kepentingan umum dan memburukkan imej negara.

Selain itu, Dewan Negara juga telah dimaklumkan pada bulan Julai yang lalu bahawa terdapat seramai 190 penjawat awam yang ditangkap kerana rasuah atau 38 peratus daripada jumlah keseluruhan yang dilakukan oleh SPRM pada tahun 2009.

Malah yang terbaru, kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mendakwa terdapat campur tangan politik dalam struktur pentadbiran dan arahan pihak polis sehingga merencatkan operasi mereka. Ini dikhuatiri akan berlakunya pendakwaan kes-kes terpilih untuk melindungi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral.   

Kedua, perbelanjaan dan penggunaan kerajaan yang tidak pruden sepertimana yang dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2008 dan media-media perdana membuktikan bahawa kerajaan tidak menitikberatkan mengenai konsep integriti, penjimatan dan berhemah. Contohnya, Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang dan Ipoh yang telah mengalami kerugian sebanyak RM 1.14 bilion, pembelian pokok dan tanaman seni oleh Kementerian Pelajaran untuk Sekolah Kebangsaan Bukit Jawa 2, Pasir Putih, Kelantan menerusi pembelian terus daripada pembekal tempatan yang bernilai RM 4,550 bagi 13 pokok kemboja dan RM 9,000 bagi 12 pokok pinang merah. Sedangkan, ia boleh dibeli dengan harga yang jauh lebih murah dalam pasaran sedia ada. Begitu juga pembelian sebuah komputer riba oleh Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Balik Pulau, Pulau Pinang berharga RM 42,320 bagi seunit. 

Ketiga, kenaikan harga barang-barang keperluan yang terus menghimpit rakyat. Ia dikenal pasti telah bermula pada awal tahun 2010 apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak RM 0.20 daripada RM 1.45 sen sekilo kepada RM 1.65 sen di Semenanjung Malaysia. Kemudian, ia disusuli dengan kenaikan sekali lagi pada bulan Julai yang lalu sebanyak RM 0.25 sen sekilo. Harga petrol juga turut dinaikkan bersama sebanyak RM 0.05 sen seliter dan begitu juga minyak LPG turut sama dinaikkan pada kadar RM 0.10 sen sekilo.

Keempat, kebejatan gejala sosial yang terlalu membimbangkan. Mengikut Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)), Datuk Alwi Ibrahim, seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu. Bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 pula, seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.

Selain itu, berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula telah melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.

Pemasalahan ini tertakluk kepada beberapa institusi sosial yang jelas semakin runtuh untuk menangani kerencaman kehidupan rakyat pada hari ini. Pihak polis, institusi keluarga, sekolah, institusi agama seolah-olah gagal membentuk keperibadian masyarakat pada hari ini. Tidak dapat dinafikan, antara faktor utama berlakunya perkara ini adalah berpunca daripada kemelaratan hidup, kesempitan kewangan dan kekosongan jiwa.


10 Harapan Anak Muda Terhadap Bajet 2011

1.      Mendesak kerajaan supaya urus tadbir yang dilakukan mesti berpandukan kepada amalan terbaik, ketelusan dan akauntabiliti yang tinggi supaya seluruh urusan negara dapat dijalankan dengan penuh tanggungjawab, adil dan berkebajikan.

Perkara ini dapat dicapai menerusi penghayatan terhadap Islam yang baik, mendaulatkan undang-undang negara, penerapan akhlak mulia disamping pemulihan terhadap polisi yang lain seperti memperkasakan amalan pemisahan kuasa, pindaan atau pemansuhan terhadap akta-akta zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Rahsia Rasmi, Akta Universiti dan Kolej Universiti, Akta Percetakan dan Penerbitan serta Akta Polis.

Pemimpin-pemimpin kabinet negara yang dilantik menerusi sistem pilihanraya di Malaysia ataupun melalui pelantikan daripada Dewan Negara mestilah bebas dan bersih daripada sebarang krisis moral, dakwaan korupsi dan sebarang unsur negatif yang boleh menjejaskan penghormatan dan imej negara di mata rakyat dan peringkat antarabangsa.

2.     Meletakkan prioriti pembangunan dan pelaburan atas neraca yang adil selaras dengan keperluan rakyat supaya perbelanjaan negara tepat kepada golongan sasaran, mengelakkan pembaziran, tidak menindas rakyat serta memberikan kesan gandaan yang positif.

Ini bagi memastikan bahawa kek ekonomi negara dapat diseimbangkan antara kos perbelanjaan pembangunan dan kos perbelanjaan pengurusan. Penelitian semula atau penjimatan terhadap kos perbelanjaan pengurusan mampu meningkatkan perbelanjaan dalam pembangunan supaya ia mampu melonjakkan rangsangan ekonomi negara. Kerajaan juga disarankan supaya meningkatkan dana simpanan negara bagi menghadapi tamparan unjuran krisis ekonomi yang semakin kritikal diperingkat global serta memberikan keselesaan terhadap generasi negara akan datang.

3.    Menyarankan kerajaan supaya mengkaji semula penswastaan terhadap utiliti asas rakyat seperti eletrik dan air supaya tidak berlaku peningkatan tarif yang tidak releven disamping mengekalkan subsidi bagi meringankan beban rakyat.

Ini termasuk juga memastikan penggunaan yang pruden terhadap khazanah yang diperoleh negara contohnya daripada institusi Petronas seperti dividen, royalti dan cukai supaya tidak berlaku inflasi yang keterlaluan dalam harga petrol, diesel dan barang-barang keperluan yang lain. Sementara itu, perkara yang sama turut ditekankan dalam konsesi yang ditandatangani antara pihak kerajaan dan swasta mengenai puluhan lebuhraya di Malaysia supaya kadar-kadar tol yang membebankan dapat dihapuskan secara berperingkat.

4.      Mengkaji semula sistem cukai yang diamalkan oleh negara ini dari aspek keperluan pelaksanaannya, kadar penetapan cukai (jika perlu), serta golongan yang dituntut untuk membayar cukai. Kerajaan seharusnya memiliki keazaman dalam memastikan rakyat di negara ini tidak terbeban dengan penetapan cukai yang dikenakan ke atas mereka. Ini termasuk mendesak kerajaan supaya Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan ditarik semula yang dijangka akan dibahas dan diwartakan dalam sesi mesyuarat ketiga Parlimen sepanjang Oktober hingga Disember ini.     

Pihak DPPP juga menyarankan agar pihak kerajaan dapat menilai kebarangkalian menyelaras pelaksanaan sistem kutipan zakat dan pengurusan baitulmal di peringkat negeri-negeri supaya usaha membantu golongan sasar atau asnaf dapat diuruskan dengan lebih efektif dan efisyen. Disamping itu, kerajaan Persekutuan dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri juga seharusnya lebih proaktif untuk memperkasakan konsep wakaf kerana didapati ia banyak memberikan manfaat kepada rakyat serta mampu mengislamisasikan ruang dan bandar seperti pembinaan kota wakaf.

5.     Menggesa kerajaan agar dapat menguruskan termasuk memelihara dan memulihara sumber alam seperti perhutanan, tanah, pasir, sungai, laut, lombong, minyak, gas dan lain-lain dengan baik supaya ia dapat menampung aset negara disamping mengekalkan warisan untuk generasi akan datang. Tragedi bencana yang berlaku di Pakistan, China, Ireland dan Indonesia akhir-akhir ini seharusnya dijadikan iktibar penting supaya langkah pencegahan dan persiapan menghadapi bencana alam dapat diuruskan dengan sistematik.

Pihak DPPP menyambut baik usaha teknologi hijau yang telah dibangunkan sebelum ini bagi menangani ancaman pemanasan global, krisis makanan dan bencana alam. Manakala, peningkatan produktiviti yang bersandarkan kepada penggunaan bahan kimia yang keterlaluan mestilah dipantau dan diambil tindakan yang sewajarnya bagi membendung masalah kesihatan, manipulasi pasaran dan keuntungan sesetengah pihak semata-mata.  

6.    Ekoran daripada krisis kewangan global yang melanda Eropah dan khususnya Amerika Syarikat sebelum ini, Malaysia seharusnya mengambil iktibar dan mengurangkan kebergantungan kepada ekonomi dan hubungan perdagangan dengan negara-negara tersebut. Tambahan pula, polisi luar mereka cenderung menyokong operasi kerajaan haram Israel membantai umat Islam dan rakyat Palestin sehingga ke hari ini. Malah, Amerika Syarikat juga dilihat agresif memberikan tekanan kepada negara-negara umat Islam seperti Iran dan Iraq.

Sebaliknya, pemilihan rakan strategik perdagangan harus diluaskan kepada negara-negara sedang membangun seperti di negara Timur Tengah, ASIA dan ASEAN bagi membentuk rangkaian kuasa ekonomi yang baru di dunia. Disamping itu, kerajaan harus melipatgandakan kajian dan meningkatkan kehendak politik untuk melaksanakan sistem matawang dunia baru yang lebih baik dan berpotensi seperti dinar emas.

7.      Melihat kepada kerisauan rakyat terhadap jatidiri dan peribadi golongan muda yang semakin kritikal, DPPP menggesa agar peruntukan terhadap sektor pendidikan dan pembinaan modal insan dikekalkan sebagai antara penerima peruntukan yang terbesar dalam Bajet 2011 kelak. Peruntukan tersebut tidak seharusnya dibelanjakan bagi pembinaan infrastruktur dan materialistik semata-mata, sebaliknya diseimbangkan dengan perbelanjaan terhadap aktiviti-aktiviti latihan, pemikiran, kepimpinan dan jatidiri yang sebenar.

Pengagihan peruntukan antara institusi pendidikan terutamanya diperingkat sekolah seharusnya dilakukan dengan lebih adil supaya ia memenuhi tuntutan semasa demografi rakyat yang berbilang agama dan bangsa. Begitu juga prasarana sekolah-sekolah di kawasan pendalaman Semenanjung Malaysia, Labuan, Sabah dan Sarawak dapat ditingkatkan dari masa ke semasa supaya jurang kepada akses pendidikan dapat dikurangkan jika dibandingkan di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Diperingkat pengajian tinggi pula, pihak DPPP masih optimis bahawa pinjaman pendidikan seperti PTPTN boleh dikurangkan malah dihapuskan dan diberikan biasiswa secara percuma. Golongan graduan tidak seharusnya dibebankan dengan pinjaman hutang yang secara puratanya mencecah RM 20,000 selepas tamat belajar dan mula membina kehidupan yang baru. Inilah kesulitan hidup yang dialami oleh golongan mahasiswa yang diburu dengan bayangan hutang selepas graduasi meskipun baru berjinak-jinak dalam dunia kerjaya dan keluarga yang sebenar. Oleh sebab itu, pihak DPPP juga bertegas supaya pihak kerajaan dapat mengkaji semula cadangan PTPTN untuk mengenakan potongan wajib daripada gaji menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri baru-baru ini.

Sementara itu, kerajaan juga harus menitik beratkan terhadap pembinaan syakhsiyah jatidiri mahasiswa disamping mengejar tuntutan serta kehendak industri. Dalam soal ini, penghayatan terhadap falsafah pendidikan negara seharusnya disegarkan semula agar rakyat yang dilahirkan daripada sistem pendidikan negara ini memenuhi aspirasi falsafah tersebut.

8.     Berdasarkan kepada wabak penyakit yang semakin kritikal seperti Influenza A (H1N1), demam denggi, chikungkunya, meliodosis dan leptospirosis akhir-akhir ini, DPPP menggesa agar pihak kerajaan dapat menyediakan pre-emptive plan bagi menangani penularan wabak penyakit tersebut.

Sistem pengesanan wabak dapat dikemaskinikan dengan baik disamping peruntukan yang besar dapat disediakan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan penemuan kajian-kajian terbaru. Begitu juga negara Malaysia tidak sewajarnya kehilangan tenaga-tenaga pakar supaya tenaga atau nisbah seorang doktor dan rakyat dapat dijarakkan. Pelaburan yang besar mesti diperuntukkan agar keperluan terhadap tenaga pakar tempatan sentiasa ada dan sekaligus dapat mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja asing.

Selain itu, memandangkan isu kesihatan adalah isu asasi yang penting, DPPP mendesak agar sebarang bentuk penswastaan terhadap perkhidmatan kesihatan dan hospital mestilah dimansuh dan ditolak. Malah, kerajaan seharusnya membiayai perkhidmatan kesihatan untuk golongan kanak-kanak, pelajar dan ibu mengandung.   

9.     Pihak DPPP menyokong penuh sebarang usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran semasa iaitu 3.3 peratus (Julai 2010) kepada tahap paling minima. Jika merujuk kepada perangkaan kadar pengangguran dikalangan mahasiswa pula, pada tahun 2008 ia telah mencatatkan kira-kira 80,000 orang ataupun 13% daripada jumlah keseluruhan kadar pengangguran di Malaysia.

Bagi memastikan kepentingan golongan pekerja terutamanya daripada golongan anak muda ini terbela, pihak DPPP mendesak supaya kerajaan segera menetapkan kadar gaji minimum bagi mencukupkan mereka memenuhi keperluan asas dan menikmati taraf hidup yang adil.

10. Persekitaraan kehidupan yang materialistik menjerat kebanyakan golongan muda sehingga ramai dikalangan mereka berstatus muflis. Menurut kenyataan daripada Jabatan Insolvensi baru-baru ini, golongan muda yang berumur 25 tahun hingga 44 tahun adalah paling ramai yang diisytiharkan bangkrap iaitu sejumlah 38,357 orang sejak 65 bulan yang lalu. Trend ini dipengaruhi dengan kehendak mereka yang gemar berhutang menggunakan instrumen kad kredit, pinjaman pembelian kenderaan dan pinjaman peribadi.
Pergantungan golongan muda terhadap kemudahan kredit oleh institusi kewangan amat membimbangkan. Mereka akan terlibat samada dengan transaksi riba’ dan credit rating rendah yang akhirnya menzalimi mereka ataupun kontrak perbankan Islam yang bersifat sebaliknya. Oleh yang demikian, DPPP menyarankan agar pihak kerajaan dan Bank Negara Malaysia dapat sentiasa meneliti semula kontrak-kontrak perbankan Islam supaya ruh pinjaman dan perniagaan menurut perspektif Islam selari dengan maslahah yang dijamin kepada rakyat.

Disamping itu, pihak DPPP berpendapat kadar pembelian aset hartanah dan perumahan di negara ini terutamanya di kawasan Lembah Klang terlalu tinggi sehingga telah menyukarkan golongan muda untuk memilikinya. Maka, satu mekanisme yang bersepadu perlu dibentuk dan digarap supaya keperluan terhadap pemilikan perumahan oleh golongan muda dapat dibantu dan dipermudahkan.

Penutup

Allah SWT berfirman (bermaksud), “Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu bukti kebenaran dari Tuhanmu, dan telah Kami turunkan kepadamu cahaya yang terang (Al-Qur’an), adapun orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada agamaNya, nescaya Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat dan limpahan kurniaNya, dan menunjukkan mereka jalan yang lurus” (Surah An-Nisa’ : 174-175)

DPPP berharap agar seluruh harapan yang telah dinyatakan ini dapat dipertimbangkan demi memberikan kemaslahatan kepada agama, rakyat dan negara.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.