Posted on October 8, 2010, Friday
LIMBANG: Perasaan sedih dan pilu masih mengiringi keluarga Mail Bakar, 52, apabila terpaksa berhari raya di sebuah pondok kecil berdindingkan zink di Kampung Gadong di sini akibat kebakaran yang memusnahkan kediaman mereka dua bulan lalu.Pondok kecil yang dibina seluas 20 meter luas tanpa bilik tidur itu turut memuatkan lapan anaknya termasuk menantu dan cucunya.
“Bayangkan kami sekeluarga terpaksa tidur berhimpun di ruang tamu di dalam pondok sekecil itu tanpa bilik tidur dan perabot lain. Kesemua barangan dan perabot sudah musnah dijilat api sebelum bulan puasa lalu.
“Selain rimas digigit nyamuk pada malam hari, waktu siang pula kami terpaksa berdepan dengan keperitan panas dan bahang matahari lebih-lebih lagi di pondok yang dibina daripada zink,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo pada penyerahan sumbangan bencana alam daripada Tabung Baitulmal di sini pada Rabu.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Ketua Cawangan Baitulmal Limbang Junidi Lamat, Pemanca Ladis Pandin dan Penghulu Dulahpi Bakar.
Pada program itu Dr Rahman turut menyerahkan bantuan bencana alam Baitulmal kepada lima mangsa kebakaran berjumlah RM7,500, selain bantuan baik pulih surau di Kampung Buangabai berjumlah RM2,580.
Mail menjelaskan, perasaan sedih semakin menebal menjelang sambutan Hari Raya lepas.
“Oleh kerana tidak berkemampuan, kami terpaksa menyambut Hari Raya dalam serba kekurangan. Tetamu yang datang terpaksa beralaskan lantai tanpa kerusi dan perabot.
“Sedih memang terasa. Tetapi demi kegembiraan anak-anak Hari Raya tetap disambut walaupun dalam suasana serba kekurangan,” katanya.
Katanya, ibunya yang juga merupakan mangsa kebakaran terpaksa tinggal di rumah adik beradiknya yang lain.
“Walaupun masih bersedih dan sayu mengenangkan rumah yang dibina hasil titik peluk musnah dalam sekelip mata namun kami pasrah dan reda dengan musibah tersebut,” katanya.
Mail menambah lagi, pada masa ini beliau terpaksa menanti permohonan untuk mendapatkan kemudahan Program Bantuan Rumah (PBR) untuk membina rumah bantuan itu di kawasan tersebut.
“Agensi kerajaan memang ada yang menghulurkan bantuan dan sumbangan termasuk permohonan PBR di kawasan tersebut.
“Buat masa ini kami perlu bersabar dan tabah mendiami pondok kecil tersebut, kerana tidak mampu untuk membina rumah baru akibat kerugian yang ditanggung dalam kebakaran dua bulan lepas,” katanya.
Sementara itu Dr Rahman mahu Baitulmal terus turun padang mencari dan mengenal pasti golongan miskin dan memerlukan bantuan di seluruh pelosok kawasan.
Ini katanya sejajar dengan peranan agensi kerajaan tersebut untuk membantu dan menjaga kebajikan orang Islam yang miskin dan memerlukan bantuan sekali gus meringankan beban mereka.
“Kebanyakan golongan tersebut mungkin masih malu untuk mendapatkan bantuan. Justeru kita berharap Baitulmal terus proaktif untuk mengesan mereka dan mengelak golongan itu dipesongkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” jelasnya.
Dr Rahman menjelaskan lagi pelbagai program bantuan disediakan Baitulmal kepada golongan yang layak termasuk bantuan baik pulih surau, pendidikan, keluarga miskin, masalah kesihatan dan pelbagai bantuan lain untuk meringankan beban golongan terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan