October 08, 2010
KUALA LUMPUR, 8 Okt — Senator Dr Syed Husin Ali berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) memandang serius status Datuk Dr Lee Chong Meng diterima masuk sebagai ahli dan bertanding jawatan ketua cabang Bukit Bintang ketika masih menerajui MCA bahagian itu.Timbalan presiden PKR itu berkata, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) bersama sekretariat akan menyiasat bagi menentukan status sebenar keanggotaan Lee dan kedudukannya selaku ketua cabang Bukit Bintang.
Katanya, tindakan Lee yang juga ketua MCA Bukti Bintang tidak memaklumkan kepada parti tentang statusnya adalah satu kesilapan.
“Ertinya beliau mohon dan diterima sebagai anggota PKR semasa beliau masih menjadi ahli MCA, tanpa memaklumkan hal ini.
“Ini satu kesilapan. Malah yang lebih serius adalah Lee telah dipilih tanpa bertanding sebagai ketua cabang Bukit Bintang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Biro Politik PKR telah membincangkan kes Lee dan akan membuat keputusan tentangnya setelah mendapat perakuan JPP.
Pada pemilihan cabang Ahad lalu, Lee telah dipilih sebagai ketua cabang Bukit Bintang.
Lee sebelum ini mengaku ada mengisi borang permohonan keanggotaan parti itu, namun tidak menandatanganinya.
Semalam, beliau menghantar surat peletakan jawatannya kepada ibu pejabat MCA selepas kembali dari luar negara.
Lembaga Disiplin MCA sebelum ini mencadangkan supaya keanggotaan Lee digantung selama tiga tahun atas dakwaan beliau menyalah guna peruntukan yang diberikan kerajaan pada 2008.
Namun, Lee menafikan beliau menyalah guna peruntukan kerajaan pada 2008, dan menjelaskan bahawa peruntukan RM60,000 itu adalah untuk aktiviti Tahun Baru Cina di mana beliau sendiri mengeluarkan belanja RM40,000 untuk menjayakan acara bagi aktiviti itu.
Awal minggu ini, MCA menuntut agar Lee memaklumkan status keanggotaannya kepada kepimpinan parti.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata usaha ini adalah bagi menentukan sama ada penggantungan keanggotaan terhadapnya perlu dilaksanakan atau sebaliknya.
Beliau berkata lembaga disiplin telah mencadangkan agar Lee digantung selama tiga tahun kerana menyalahgunakan dana yang diperuntukkan kerajaan pada 2008.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan