October 04, 2010
KUALA LUMPUR, 4 Okt – Datuk Seri Nazri Aziz hari ini mempertahankan peranan Biro Tata Negara (BTN) dengan mendakwa bahawa modul kursus agensi kerajaan itu tidak menggalakkan sebarang bentuk sintimen perkauman.Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kenyataan “rasis” yang didakwa dibuat oleh penolong pengarah BTN Hamim Husain tidak menggambarkan kedudukan sebenar kandungan kursus yang dikendalikan oleh agensi itu.
“Tiada modul di BTN yang menggalakkan (sentimen) perkauman. Kita perlu melihat apa isunya di sini.
“Dalam kes ini, modulnya bukan isu, tetapi personal,” kata Nazri dalam respons berhubung soalan sama ada kursus BTN harus dirombak ekoran perkembangan minggu lalu.
Nazri mengakui bahawa tindakan harus diambil ke atas mereka yang membuat kenyataan-kenyataan “tidak bertanggungjawab”.
“Kenyataan-kenyataan ini dibuat oleh individu yang tidak bertanggungjawab, oleh itu tindakan harus diambil ke atas mereka,” kata Nazri kepada pemberita hari ini.
Timbalan Pengarah BTN Wilayah Persekutuan Hamim Husin hari ini membuat laporan polis terhadap The Malaysian Insider dan wartawannya dipercayai berhubung laporan berita yang mendakwa beliau telah membuat kenyataan berbaur perkauman minggu lalu.
Bagaimanapun, ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan itu di Balai Polis Daerah Sentul di sini pada pukul 12.30 tengah hari ini, Hamim enggan mengulas mengenai kandungan laporan itu.
Pegawai kanan BTN itu telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman pada sesi tertutup dengan Puteri Umno 27 September lalu.
Berikutan laporan itu, Kabinet telah meminta Ketua Setiausaha Negara untuk menyiasat perkara itu terlebih dahulu sebelum tindakan susulan diambil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan