Dua pelajar maut dalam kemalangan di Tok Adis



Warta Rakyat   
KUALA TERENGGANU, 4 Okt: Dua pelajar sekolah menengah maut ketika dalam perjalanan ke sekolah awal pagi tadi apabila motosikal yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Tok Adis, Kuala Ibai.
Mangsa, Ahmad Hasrul Hakimi Abdullah, pelajar tingkatan dua dan Mohammad Hazwan Hakim Al-Amin Salim, 13, yang tinggal di Kondo Rakyat Kuala Ibai berpakaian sekolah maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan badan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi tadi,di mana dua pelajar itu menaiki motosikal Honda Wave  yang dipandu Ahmad Hasrul Hakimi dalam perjalanan ke sekolah mereka, Sekolah Menengah Kebangsaan Budiman yang berjarak 5 kilometer dari rumah.
Setiba di simpang tiga Jalan Ibai Golf Resort, sebuah kereta jenis Proton Saga Aeroback yang datang dari arah Jalan Tok Adis menuju ke Jalan Kuala Ibai dikatakan gagal mengelak lalu bertembung secara berhadapan dengan motosikal yang menggunakan laluan lorong kereta berkenaan dalam cuaca yang samar-samar.
Akibat pertembungan itu, kaki kiri Ahmad Hasrul Hakimi Abdullah tersepit di bahagian tayar hadapan sebelah kiri kereta berkenaan, manakala Hazwan Hakim Al-Amin Salim pula melambung kira-kira 7 meter dari tempat kejadian.
Kedua-dua mangsa yang maut dibawa ke Bilik Mayat Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk dibedah siasat.
Pemandu kereta bersama seorang anak, hanya mengalami kecederaan ringan dahi dan tangan, dirawat di wad pesakit luar hospital yang sama.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin yang dihubungi mengesahkan kejadian sementara kereta dan motosikal terbabit ditahan di Balai Polis Trafik daerah untuk siasatan lanjut dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Orang ramai turut mengerumuni tempat kejadian dan kesesakan jalan raya hampir 2 km berjaya dikawal 10 minit selepas kejadian oleh anggota unit polis peronda.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.