Kenapa ‘Tok Guru’ ni suka sebut gilo

Dr Azman Ibrahim   
Seumur hidup saya tidak pernah menghadiri sebarang program ceramah Umno dan tidak pernah berminat untuk curi-curi dengar ‘kelentong’ penceramah-penceramah upahan mereka. Tapi semalam ketika dalam perjalanan pulang dari menyampaikan kuliah Maghrib dan menziarahi kematian di Jabi, hati saya tergerak untuk berhenti seketika di hadapan Sekolah Kebangsaan Padang Luas, Jerteh, lokasi ceramah Umno yang kalau mengikut poster yang tersebar bertajuk ‘DAP Anti Islam’. Entah apa relevannya tajuk ini sedangkan Besut yang menjadi lokasi ceramah ini tidak mempunyai walaupun setengah cawangan DAP.
Tambahan pula Najib sendiri menawarkan diri kepada Obama untuk mengatasi masalah Islamophobia, tiba-tiba Idris Jusoh menganjurkan ceramah untuk mengapi-apikan sentimen agama dan menyemai kebencian kepada penganut agama lain. Penceramahnya: Idris Jusoh, Alwi Che Ahmad dan seorang yang bernama Abdullah Sa’amah. Saya tidak mengenalinya walaupun dikatakan dia Tok Guru Pondok Genting, Tumpat. Pernah terlihat nama dan gambarnya bersama-sama pemimpin-pemimpin Umno di poster-poster ceramah anjuran Umno Kelantan tetapi saya tidak begitu ambil pusing. That’s not my business. Ketika saya tiba ‘Tok Guru’ ini sedang berceramah.
Entah berapa 'upah' yang diterimanya malam tadi (1 Oktober) sehingga begitu bersemangat sekali ‘Tok Guru’ ini berceramah diiringi paluan gendang oleh budak-budak Umno (saya tak pasti pemuda atau putera Umno yang berbaju lambang dacing memenuhi satu kanopi sebagai pasukan sorak dan gendang). Di atas pentas kelihatan beberapa pemimpin Umno tempatan tersenyum kelat dan tertawa, entah kerana lucu atau mentertawakan hujah-hujah dangkal penceramah upahan ini. Trade mark kepada penceramah ini adalah perkataan ‘gilo’ (gila). Tak kurang dari 30 kali perkataan ‘gilo’ diulanginya untuk mengutuk PAS dan PKR. “Baso gilo”, “puak-puak gilo”, “jenis gilo”, “orang gilo”, “Nik Aziz gilo”, “gilo nok jadi PM”, “menate gilo”, “kena masuk hospital gilo”, “penyakit gilo”, “pemimpin gilo” dan macam-macam lagi jenis ‘gilo’ yang diulang-ulang sebut. Sehingga saya mari terfikir, gilakah ‘Tok Guru’ ni?
Rupanya benar sebagaimana pernah dikhabarkan seorang sahabat dari Dewan Pemuda PAS Kelantan bahawa ‘Tok Guru’ ini pernah ‘berfatwa’ dalam satu ceramahnya di atas pentas Umno di Tumpat. “Tuan-tuan sokonglah Umno. Ambo beri jaminan siapa yang sokong Umno, dia akan selamat dunia akhirat.” Begitulah taksubnya ‘Tok Guru’ ini dengan Umno. Semalam dia kata “kita kena lawan puak-puak gilo ni (PAS dan PKR). Melawan puak gilo ni adalah jihad di jalan Allah. Nik Aziz kalu tak pandai memerintah, turun! Kalu tak dak ore nak ganti, biar ambo ganti. Ni Tok Guru Haji Loh, Tok Guru hok Sengoti,” ujarnya angkuh. Sekali lagi terdetik di hati saya, gilakah ‘Tok Guru’ ni?
Malangnya Umno, kerana terpaksa mempergunakan khidmat manusia sebegini untuk meraih sokongan. Saya cuba meneliti kalau-kalau ada hujah beralaskan fakta yang dikemukakan, tapi ternyata sekadar tin kosong, yang menggambarkan butanya penceramah ini dengan fakta sebenar atau dia sengaja membutakan mata demi RM yang mengalir ke dalam poketnya. Intipati ceramahnya cuba untuk menggambarkan khianatnya PAS dan PKR bersekongkol dengan DAP untuk menghakis hak orang Melayu Islam di Negara ini. “Puak-puak ni memang gilo, beri tanah kepada orang Cina, bantuan kepada Sekolah Cina. Sekolah Melayu bakpo tak bantu. Kita nak kata apa lagi kalu bukan kerja gilo.” Seranah ‘Tok Guru’ ni lagi disambut paluan gendang dan tepukan hadirin.
Mungkin tak sampai maklumat kepada dia, Umnolah yang bertanggungjawab menghentikan bantuan kepada sekolah agama rakyat (SAR). Kerajaan Pakatan Rakyat yang bertanggungjawab memberikan semula bantuan kepada SAR termasuklah Kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng yang dikatakan kerajaan kafir harbi. Masih saya ingat, Saudara Misbah, bekas Setiausaha Politik MB Perak memaklumkan bahawa Datuk Ngeh Kho Ham, Pengerusi DAP Perak telah mencadangkan di dalam satu mesyuarat Exco supaya diluluskan pemberian tanah 100 ekar kepada Pondok Pok Teh, Pengkalan Hulu supaya boleh diusahakan dan menjadi sumber ekonomi kepada pusat pengajian Islam ini. Sedangkan Allahyarham Pok Teh, Tok Guru Pondok ini yang telah kembali ke rahmatullah beberapa hari lepas telah belasan tahun memohon tanah tersebut dari kerajaan Umno tetapi tidak dilayan, padahal Pok Teh adalah ahli Majlis Fatwa Negeri Perak. Di samping  kerajaan PR Perak telah memberikan hak milik Tanah kepada orang Cina, penduduk Kampung Baru yang dah hampir 2 generasi tinggal di situ tanpa dapat hak milik, Kerajaan PR Perak juga telah mengurniakan hak milik tanah kepada orang Melayu di Kampung Tersusun dengan jumlah yang jauh lebih banyak berbanding kepada orang Cina.
Buku Sejarah Melayu Tingkatan Lima dibawanya dan ditunjukkan kepada hadirin, “inilah dia rujukan Perlembagaan Malaysia yang telah dipertahankan oleh Umno puluhan tahun tapi dirosakkan oleh DAP, PAS dan PKR.” Disambut dengan tepukan dan paluan gendang pemuda Umno. Saya sekadar ketawa di dalam hati. Kenapa Idris Jusoh tak bekalkan dia buku Perlembagaan yang sebenar walaupun sekadar untuk ditunjukkan kepada hadirin sebab kalau baca pun belum tentu dia boleh faham.
“Pemimpin Umno adalah Hang Tuah yang mempertahankan orang Melayu, DAP ni kafir harbi yang menentang Negara Islam. Pemimpin DAP kata, nak tubuh Negara Islam, langkah mayat dia dulu! Gilonya pemimpin PAS sehingga baca doa untuk orang kafir harbi dalam khutbah Jumaat. Memang gilo sungguh!” ujarnya, mungkin merujuk kes doa untuk YAB Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di Pulau Pinang yang dah diperjelaskan secara panjang lebar, bagaimana hukum berdoa untuk orang bukan Islam dan dah lama selesai.
Saya tidak berminat untuk mengulanginya lagi. “Kalu kita lok (biar) negara kita kepada puak-puak gilo ni, jawabnya orang Melayu akan jadi serupa Melayu Singapura. Hilang dari muka bumi.” Akhir sekali dia ‘berwasiat’. “Kita kena beri sokongan padu kepada Datuk Seri Idris, Datuk Abdullah Mohd Zain dan pastikan puak-puak gilo ni tak dapat walaupun satu undi dalam pilihanraya akan datang.”
Astaghfirullah, begini sekali rendahnya akhlak dan peribadi ‘Tok Guru’ ni dan butanya dia dengan maklumat semasa. Nak banding dengan Tok Guru Nik Abdul Aziz yang dikatakannya ‘gilo’, jauh bumi dengan langit.
Moralnya, hinanya manusia yang menjadi penjilat kebatilan.
* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.