Merujuk kepada penjelasan Proton Holdings Bhd berkaitan kontroversi nama MPV baru yang dipilih iaitu "Exora", saya berpendapat alasan yang diberi amat dangkal, malah lebih buruk lagi seolah-olah memperbodohkan ramai rakyat Malaysia yang mengerah masa dan fikiran ketika menyertai peraduan menamakan produk terbaru Proton tersebut.
Penjelasan tersebut menyebut bahawa "Exora sebenarnya tidak wujud sebagai satu perkataan dan ia dipilih kerana ia bukan nama untuk sebarang binatang atau tumbuhan."
Ini suatu pembohongan dan kebodohan yang boleh menghadirkan implikasi yang besar.
Carian rambang di Internet dengan hanya menaipkan perkataan "Exora" akan mengeluarkan ribuan capaian yang secara JELAS dan NYATA menyebut bahawa perkataan "Exora" tersebut ialah sejenis BUNGA, atau tumbuh-tumbuhan, atau seumpamanya.
Alasan dangkal kononnya "Exora" bukan "Ixora" tertolak dengan sendirinya. Malahan kerana peraduan tersebut dibuat dalam dua versi (Bahasa Malasia dan Bahasa Inggeris), alasan pihak penganjur hanya cubaan menegakkan benang basah.
Lebih daripada itu, terdapat penilaian lain yang secara jelas menolak perkataan "Exora" sebagai pemenang iaitu makna perkataan itu sendiri hendaklah bersesuaian dengan konsep kenderaan MPV yang memiliki ruang selesa serta keupayaan pemanduan yang terkini standardnya.
Apabila penganjur memberi alasan bahawa "Exora sebenarnya tidak wujud sebagai satu perkataan dan ia dipilih kerana ia bukan nama untuk sebarang binatang atau tumbuhan", maka mana mungkin mungkin perkataan tidak wujud (walau pun hakikatnya wujud - hanya penganjur yang tidak tahu) memiliki makna yang mampu menepati penilaian-penilaian lain, termasuklah penilaian slogan yang disyaratkan dalam peraduan tersebut.
Bagaimana perkataan "Exora" yang dikatakan tidak wujud boleh membawa definisi "Keriangan Keluarga" sebagai slogannya?
Bagaimana pula "Exora" (yang tidak wujud itu) menjadi simbol usaha syarikat bla, bla, bla ...
Apakah Proton Holdings Bhd sudah ambil-alih peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dengan mengambil satu perkataan yang tidak wujud dan kemudiannya memberi makna kepada perkataan tersebut mengikut interpretasi mereka?
(Petikan laporan akhbat Bahasa Inggeris : For PROTON, the name and tagline symbolizes the company’s effort to offer the best vehicle which could offer family togetherness. We understand that Malaysian families like to travel together and we want to ensure that we can be part of this “joy”.)
Saya menganggap Proton Holdings Bhd selaku penganjur bersikap bodoh sombong dalam perkara ini. Ramai rakyat Malaysia yang menyertai peraduan tersebut tidak sebodoh yang mereka sangkakan.
Lebih daripada itu, saya kira penganjur telah mendedahkan diri mereka kepada suatu tindakan undang-undang oleh semua peserta yang menyertai peraduan tersebut.
Penganjur mungkin terlupa bahawa peraduan yang diadakan melalui Internet itu menzahirkan bukti kukuh iaitu penganjur menghantar pengesahan penyertaan secara lengkap kepada peserta.
Oleh yang demikian, saya berharap Proton Holdings Bhd melakukan pembetulan dan membuat pemilihan baru TANPA MENARIK BALIK HAK KEMENANGAN yang telah dibeRI kepada pemenang asal.
Jika perkara ini tidak dilakukan, ia mungkin boleh menyebabkan imej dan wibawa Proton Holdings Bhd tercemar dan terjejas.
Sekian.
Pro Benar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan