Kisah BALKIS, Khir Toyo, Zaharah dan Disneyland


Jawatankuasa Pilihan Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) diberitahu yang sejak tahun 2001, Balkis menyerahkan penyata kewangan yang tidak diaudit kepada Pendaftar Pertubuhan.

Pengarah Pendaftar Pertubuhan Selangor, Yunus Jamil mengakui Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor atau Balkis membentangkan penyata berkenaan sejak tempoh itu tanpa ada bantahan.

“Adakah itu (menerima penyata kewangan yang tidak diaudit) merupakan amalan biasa bagi JPPN (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negeri) Selangor,” soal Haniza Talha, salah seorang anggota Selcat.

“Tidak, kita terima in good faith,” menurut Yunus.

Beliau turut mengakui kenyataan Pengerusi Selcat, Teng Chang Khim yang Pendaftar Pertubuhan sebenarnya juga bertindak sebagai pemantau.

“Pemantau tidak boleh terima (dokumen) in good faith sebab tanggungjawab Pendaftar Pertubuhan adalah untuk memantau, tapi nampaknya tak ada pemantauan langsung,” kata Teng.

Bagi Teng, tindakan pendaftar pertubuhan yang tidak melakukan pemantauan rapi itu diibaratkan seperti melahirkan anak tetapi tidak mahu menjaganya.

Tindakan Yunus yang tidak mengemukakan salinan penyata notis 14 hari untuk mesyuarat pembubaran Balkis sekali lagi ditegur Selcat.

Menurut Yunus, beliau sudah merujuk kepada ibu pejabat Pendaftar Pertubuhan berhubung permintaan Selcat itu dan dinasihatkan supaya merujuk kepada Penasihat Undang-undang Kementerian Dalam Negeri.

Teng berkata sepatutnya permintaan Selcat untuk melihat dokumen berkenaan tidak menjadi masalah seperti yang termaktub dalam Seksyen 10 Akta Pertubuhan.

Beliau seterusnya meminta Yunus membawa dokumen berkenaan pada sesi pendengaran awam Selcat yang akan datang.

“Kalau tidak bawa dokumen itu, kita akan panggil Pendaftar Pertubuhan dan Penasihat Undang-undang. Kita bukan nak cari hal, kita hanya hendak tahu apa yang berlaku.

“Sebab ini melibatkan kewangan yang besar yang disalurkan oleh anak-anak syarikat kerajaan negeri Selangor kepada Balkis yang tiba-tiba dibubarkan dan kita dapati pihak Pendaftar Pertubuhan tak memantau. Kita buat ni ikut good faith,”katanya.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menyatakan rasa kecewa di atas kegagalan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Negeri (JPPN) Selangor memberi respon kepada surat-surat yang dihantar berhubung status Balkis.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata sikap JPPN Selangor yang tidak menghiraukan pertanyaan dan permintaan untuk mengadakan perbincangan lebih enam bulan lalu berkaitan Balkis atau Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor menimbulkan tanda tanya.

Nik Nazmi berkata sikap itu dilihat sebagai tidak bertanggungjawab kerana memandang remeh tentang sesebuah pertubuhan yang ketika ini masih dalam siasatan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri akan membuat aduan rasmi kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Ismail Adam atas sikap pengarah berkenaan yang tidak mengikut etika perkhidmatan awam.

“Sikap ini juga mencerminkan kelemahan dan ketidakupayaan pegawai kerajaan dalam menjalankan tugas dengan amanah, telus dan bertanggungjawab. Sikap sebegini juga akan menjatuhkan status pegawai kerajaan,” katanya.

Beliau berkata pegawai sebegini tidak sepatutnya bertugas di Selangor yang mementingkan efisiensi dan sistem pentadbiran yang telus serta bertanggungjawab.

Yang Dipertua BALKIS ialah Datin Seri Zaharah binti Kechil, isteri kepada Khir Toyo, bekas menteri besar Selangor semasa umno/BN memerintah negeri Selangor.

……..

Berikut adalah kisah suami kepada Datin Seri Zaharah binti Kechil, Khir bin Toyo. Terus membaca di sini.
Sumber: KERAJAAN RAKYAT

.

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.