Selalu kita mendengar kisah queen control, isteri menguasai suami dan rumah tangga. Isteri jadi tuan dan suami menjadi kuli atau seperti hamba. Suami ketika itu tidak boleh angkat kepala atau membantah apabila mendapat arahan daripada isteri.
Biasanya isteri begini mempunyai kedudukan yang lebih baik dari suami. Boleh jadi isteri berharta, sedangkan suami tidak mempunyai harta, isteri berpelajaran tinggi dan suami tiada berkelulusan, dan isteri berpangkat dan suami tiada kerja tetap.
Dengan kedudukan ini isteri akan mengkontrol suami semahunya kecuali kalau isteri itu orang yang beriman dan dia memahami hukum dan pantang larang dalam Islam.
Oleh sebab itu dalam perkahwinan disyaratkan pasangan itu sekufu, maka kedudukan pasangan di atas adalah tidak kufu. Dalam Islam sepatutnya terjadi sebaliknya iaitu suami lebih dari isteri pada perkara yang disebutkan di atas. Dan kesan daripada tidak kufu itu maka terjadilah queen control dalam rumah tangga mereka.
Bagaimanapun terdapat juga dalam kes-kes tertentu isteri tidaklah berkedudukan lebih baik dari suami, mungkin mereka adalah sama-sama miskin dan tidak ada kerja yang istimewa. Tetapi, oleh sebab isterinya tersangat kuat cemburunya maka apa sahaja kerja suami dia mesti tahu. Setiap langkah gerak kerja suami di luar rumah mesti dalam pengetahuannya.
Ertinya suami tidak boleh keluar selalu, tidak boleh buat kerja luar tanpa pengetahuan isteri. Nanti, akan adalah perasaan bersangka buruk terhadap suaminya. Dia rasa seolah-olah suaminya mencari perempuan lain, atau suaminya sudah tidak sayangkannya lagi dan sebagainya. Ini adalah jenis kedua queen control.
Jelas di sini, pasangan dalam rumah tangga di atas juga tidak sekufu, tidak setaraf kedudukan mereka. Sepatutnya dalam Islam suamilah yang patut cemburu kepada isterinya bukan sebaliknya. Jadi, suami wajib bersikap cemburu, manakala isteri hanya harus bersikap cemburu.
Sebenarnya pasangan yang sekufu itu mesti diasaskan di atas iman yang kuat atau beragama. Ertinya pasangan itu mestilah memahami hukum Islam dan melaksanakan hukum itu dengan sebaiknya. Sungguhpun begitu kedudukan suami dalam hal ini hendaklah lebih mantap iman, ilmu atau kewangan dari apa yang dimilik oleh isterinya.
Tanpa itu semua, akan datanglah penyakit cemburu buta, hasad dengki, tidak puas hati dan sebagainya. Sesungguhnya keadaan begini akan merumitkan hubungan antara suami dengan isteri apabila tidak ada pihak yang mahu bertolak ansur.
Percayalah dengan sikap cemburu seseorang isteri itu dia akan tergamak menghalang suaminya dari selalu keluar rumah lebih dari sehari semalam. Apa lagi kalau suami bertugas di luar negara, dia akan cuba menghalangnya.
Bagi isteri ini lebih baik suami itu berkerja kampung menoreh getah atau mengacik burung atau menjadi buruh kasar. Dia lebih rela melihat suaminya susah dan berpendapatan sedikit daripada berjauhan darinya. Kononnya dia hanya mahu melihat suaminya setiap hari.
Ingatlah apabila cemburu itu memuncak, ada kemungkinan akan berlaku keganasan dalam rumah tangga. Akan berlakulah pertengkaran sehingga dia sanggup marah dan memukul suaminya. Lebih parahnya kalau dia sanggup memecahkan cermin kereta dan segala harta suaminya.
Oleh sebab itu dalam kes seumpama ini, salah seorang daripada mereka mesti mengundur diri dari perbalahan itu. Maksudnya, suami hendaklah meminta maaf dan berterus terang dengan isterinya. Sikap suami yang suka merahsiakan apa yang dilakukannya boleh merosakkan hubungan yang sedia baik antara mereka berdua.
Sebenarnya isteri yang mempunyai persepsi yang buruk tentang suami mesti dibersihkan oleh suami dengan bijak. Tetapi kalau suami tidak mampu menyelesaikan masalah itu maka dia mestilah meminta nasihat dari orang lain yang lebih berwibawa. Kadang-kadang dengan menggunakan orang tengah lebih berkesan daripada usaha diri sendiri.
Orang tengah yang paling baik untuk menyelesaikan masalah mereka ialah ibu bapa masing-masing. Merekalah yang sepatutnya bertindak sebagai orang tengah, tanpa memihak kepada anak sendiri dan tidak pula menyalahkan menantu. Pendekatan ini kalau dapat dipupuk oleh mereka akan terbinalah rumah tangga yang bahagia tanpa queen control lagi.
Dicatat Oleh Ahmad Baei Jaafar ke Fikrah Islamiah
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan