Mampukah Ezam dan Lokman mendapat pengiktirafan DS Anwar

Bertepatan seperti yang telah saya jangkakan bahawa Raja Sesumpah Ezam pasti akan muncul setiap kali pilihanraya kecil diadakan selepas Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu.

Cuma bezanya, setiap kali beliau muncul maka pasangannya pasti bertukar-tukar mungkin untuk mencari mana satukah pasangannya yang serasi atau dapat membawa `tuah' kepada beliau yang selama ini terbukti dua kali dimalukan dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh dan juga di K.Terengganu.

Beliau telah mencuba nasib berpasangan dengan Dato' Nalla namun tidak mendatangkan tuah malahan mendatangkan aib pula. Di K.Terengganu, segerombolan puak-puak belot dalam PKR dahulu dijadikan regu bersamanya, begitu juga beliau di`telanjang'kan serta dimasukkan ke dalam `kotak' yang dibawanya sendiri oleh rakyat di K. Terengganu.

Sepertimana yang beliau sendiri akui, beliau sanggup menjadi alat kepada Umno (full stop). Saya tidak lalu dan berselera untuk meneruskan ayat seterusnya, "demi untuk ugama, bangsa dan negara" sepertimana beliau ungkapkan. Kerana apa? Nanti saya hujahkan mengapa saya jijik sangat mendengar ayat tersebut. Di dalam pilihanraya kecil terutamanya di Bukit Gantang dan di Bukit Selambau kali ini, Raja Sesumpah mencuba pula berpadu tenaga dengan Sdr Lokman iaitu bekas pimpinan KeAdilan yang lebih awal `murtad' dari parti KeAdilan sebelum Ezam. Semua penyokong PKR mengenali Sdr Lokman kerana beliau merupakan orang yang pernah berkali-kali mencabar Ezam agar bersumpah tidak melakukan penyelewengan ketika bersama KeAdilan. Ketika itu, Ezam berjaya mempengaruhi penyokong-penyokong KeAdilan agar tidak mempercayai Sdr Lokman dan menuduh Sdr Lokman sebagai pengkhianat rakyat dan telah dibeli oleh Umno. Pelik bin ajaib ketika itu, mengapa Raja Sesumpah tidak pula berani bersumpah menyahut cabaran Sdr Lokman ? (Anda boleh mencari ceramah-ceramah Ezam dan Lokman yang terdahulu di dalam youtube). Mungkin ketika itu beliau belum di`tabal'kan sebagai Raja Sesumpah. Siapakah yang benar dan pengkhianat di antara kedua-duanya? Tiada jawapan setakat ini kerana isu di antara kedua-duanya telah tertutup apabila kedua-duanya kini sanggup menjadi `pencacai' kepada Umno.

Ezam menyatakan bahawa beliau sanggup menjadi alat kepada Umno demi ugama, bangsa dan negara. Alasan yang diberi oleh Ezam mengapa dia hanya muncul ketika pilihanraya sahaja ialah kerana dia sibuk dengan tugas yang lain. Kesibukannya mungkin hilang bila ada pilihanraya sahaja. Inikah yang dikatakan pejuang ugama, bangsa dan negara yang hanya berjuang ketika pilihanraya? Terlalu sibukkah Ezam berbanding dengan PM, TPM dan juga Menteri? Mustahil Ezam tidak mengetahui ketika ini Umno masih menyimpan pemimpin malahan Ketua Menteri dan pemimpin pemuda yang disabitkan oleh Lembaga Disiplin Umno dengan rasuah? Dengar khabarnya Ezam ini terlalu fobia dengan perkataan rasuah. Terlalu benci beliau dengan rasuah, kononnya. Peliknya, beliau berada dalam kelompok itu walaupun Tuhan telah menunjukkan kepada beliau bagaimana rupa dan wajah Umno sekarang. Mustahil Ezam tidak melihat sedikitpun apa yang berlaku di dalam siasatan terbuka terhadap BALKIS oleh kerajaan Negeri Selangor yang baru selesai dijalankan. Seluruh negara boleh melihat siasatan terbuka tersebut melalui internet (Web TV Selangor) betapa jijik dan kotornya pimpinan kerajaan Selangor di bawah Khir Toyo ketika itu. Mengapa Ezam berdiam diri dalam isu ini? Itukah perjuangan ugama, bangsa dan negara yang mana Ezam sanggup jadi alat kepada Umno?

Raja Sesumpah Ezam seorang yang terlalu perasan, mungkin beliau masih terasa dirinya hebat seperti semasa beliau berada di dalam PKR. Ezam dengan ego dan sombongnya memberitahu DS Anwar tidak pernah melayani cabarannya kerana DS Anwar tahu Ezam banyak menyimpan rahsia Penasihat PKR tersebut. Saya ingatkan sudah habis semua rahsia DS Anwar Ezam telah dedahkan, kerana semasa di K. Terengganu Ezam mengatakan beliau bersumpah, sumpah lagi, akan mendedahkan RAHSIA BESAR DS Anwar. Maka, Ezam pun dengan penuh keyakinan membuka rahsia tersebut menjelang pengundian di K. Terengganu. Tetapi, apa yang berlaku amat mengecewakan. Ezam menipu rakyat K. Terengganu yang sangat-sangat berharap untuk mengetahui rahsia teramat besar itu. Apa yang dibawa oleh Ezam hanyalah helaian kertas usang bertulis tangan DS Anwar kepada Mahathir. Tiada yang pelik dan aib di dalam kandungan surat tersebut, melainkan keaibannya terpalit ke muka orang yang membacakan surat tersebut di K. Terengganu. Ezam menjadi bahan jenaka di sana. Kini, Ezam menyatakan masih ada lagi rahsia yang beliau simpan. Percayakah kita lagi kepada Raja Sesumpah itu kali ini?

Regu Ezam pula, Sdr Lokman membawa isu betapa DS Anwar takut untuk mengambil tindakan terhadap YB Eli atas apa yang berlaku kepada Exco Kerajaan Selangor tersebut. Alasan Sdr Lokman, DS Anwar masih mengharapkan YB Eli untuk mencari dana kewangan untuk PKR di luar negara. Wah, hebat sungguh PKR kerana senang-senang mendapat dana dari luar negara. Baru kita tahu bahawa PKR ini sebenarnya lebih kaya dari Umno dan BN. Yang melucukan, sumber yang diperolehi oleh Sdr Lokman adalah datangnya dari Raja sesumpah iaitu rakan `sepencacai'nya. Mengapa Ezam sendiri tidak menghebahkannya? Mungkin bimbang jika semua isu dibawa oleh Ezam, apa pula bahan ceramah yang ingin disampaikan oleh Sdr Lokman nanti. Sdr Lokman juga menuduh bahawa DS Anwar telah memaksa ADUN Bukit Selambau meletakkan jawatan kerana kononnya kesalahan moral. Tidakkah Sdr Lokman tahu betapa banyaknya laporan Polis yang telah dibuat oleh ADUN tersebut menyatakan bahawa beliau sering diugut dan diganggu termasuk keluarganya? Akhirnya, ADUN tersebut mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan kerana tidak sanggup lagi menghadapi tekanan sedemikian rupa. Apa lojiknya DS Anwar mengarahkan ADUN tersebut meletakkan jawatan? Mana mungkin DS Anwar sanggup mengambil risiko untuk berhadapan dengan pilihanraya kecil sekiranya ADUN tersebut diarahkan untuk meletakkan jawatan? Terlalu dangkal dan dhaif sekali hujah Sdr Lokman. Memang bersesuaian beliau dijadikan regu bersama Ezam kali ini.

Kesimpulannya, kedua-dua `pencacai' tersebut sebenarnya terlalu fobia dengan DS Anwar terutamanya Raja Sesumpah. Walau parti mana sekali pun yang bertanding samada PAS, PKR, DAP malahan jika Umno bertanding bersendirian sekali pun, Ezam akan datang berceramah dengan menyebut nama DS Anwar di dalam setiap ceramahnya. Begitulah, apabila kita sudah sebati dengan seseorang, amat sukar untuk melupakannya. Hati kecil tetap memuja dan menyanjung, tetapi kerana untuk menjaga perut terpaksalah menipu diri sendiri. Ketahuilah wahai DS Anwar, masih ada yang merindui mu di luar sana dan beliau terlalu mengharapkan pengiktirafan darimu agar beliau boleh diangkat sebagai pejuang di dalam parti barunya itu. Wajarkah DS Anwar mengiktiraf Raja Sesumpah dengan melayani segala kata-katanya? Pada saya, tidak perlu kerana memadailah saya sahaja yang `mengiktiraf' kedunguan beliau kerana bagi saya beliau setaraf dengan saya yang tiada apa-apa jawatan dalam parti ini.


WFAUZDIN NS

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.