BN dilihat cuba memancing sokongan pengundi Cina di parlimen Bukit Gantang dengan konsert gadis manis berimej seksi yang berlangsung di majlis makan malam yang dihadiri menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan calon BN, Ismail Saffian.
Tiga artis Cina menari dan menyanyi lagu rancak sewaktu menteri agama itu sedang mengadakan sidang media di depan pentas tersebut, selepas selesai majlis ceramah.
Majlis ceramah dan makan malam perpaduan itu dihadiri oleh kira-kira 1,500 di Kampung Baru Kuala Sepetang, sebuah perkampung nelayan di DUN Kuala Sepetang bawah kawasan parlimen itu.
Tiga gadis tersebut berseluar pendek hitam dan singlet biru.
Dalam ucapannya, timbalan pengerusi Umno Perak mendakwa sokongan masyarakat Cina terhadap BN dalam pilihanraya kecil semakin bertambah.
"Sokongan pengundi Cina, mengikut laporan, semakin bertambah sekarang ini. Kerajaan pusat mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.
"(Sokongan bertambah) setelah kita mengangkat semua masalah (mereka) ini kepada menteri berkenaan. Dan tindakan segera sedang dilakukan," katanya.
Tambahnya, kerajaan telah mengenal pasti beberapa masalah utama nelayan di kawasan itu, termasuk gangguan lanun dan tentera Indonesia, masalah subsidi petrol dan operasi bot haram. Tindakan lanjut sedang diusahakan kementerian yang berkaitan, tambahnya.
Beliau turut menafikan undi sesuatu kaum tertentu menjadi faktor penentu keputusan pilihanraya kali ini. "Semua kaum menjadi penentu. Dan semua undi penting, sama ada undi Cina, India atau Melayu. Dalam keadaan pilihanraya umum, lebih lagi pilihanraya kecil, kita tidak boleh abaikan mana-mana undi, daripada mana-mana kaum.
"Satu undi pun sangat bermakna (kepada BN) dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang ini," katanya. Ditanya keberkesanan pendekatan nyanyian dan tarian yang digunakan BN bagi menarik pengundi Cina, Ahmad Zahid berkata, ia "harus dihormati kerana sebahagian daripada budaya Cina."
Bila ditanya pemberita sama ada cara mengadakan tarian tersebut berjaya memancing untuk BN, Zahid menyifatkannya sebagai kebudayaan orang Cina.
"Di kawasan saya, saya bukan memenangi hari orang Cina dengan tarian panas begini. Tetapi kita mesti hormat, ini adalah satu kebudayaan orang Cina. "Di kawasan saya ada 20 peratus pengundi Cina, saya juga pergi ke Tokong Cina dan menghadiri majlis pengkebumian orang Cina.
"Saya tahu bagaimana hendak menghormati keluarga orang Cina dan orang mudanya," tegas Zahid. Ditanya mengenai sokongan pengundi Cina kepada BN, Zahid percaya oleh kerana kerajaaan persekutuan dan kerajaan sudah berusaha untuk menyelesaikan masalah orang Cina, sokongan mereka kepada BN semakin meningkat.
malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan