PAS bimbang Malaysia diketuai pemimpin tak berkualiti - Nik Aziz

KOTA BHARU, 2 April (Hrkh) - PAS bimbang negara ini akan diketuai seorang pemimpin yang tidak berkualiti apabila banyak tuduhan yang dipalit terhadapnya gagal dijelaskan kepada umum.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bakal perdana menteri baru perlu membersihkan diri terlebih dahulu terhadap segala tomohan yang dilemparkan kepadanya sebelum ini.

"Saya menyebut perkara lama, selagi tuduhan atau tomahan yang dilemparkan terhadap bakal perdana menteri yang akan mengambil alih kepimpinan negara esok belum dibersihkan, saya begitu dukacita dan kecewa sekali.

�Nampak sangat pemimpin negara kita tidak berkualiti menjadi pemimpin negara," katanya ketika diminta pandangannya terhadap Dato' Seri Najib Razak yang akan mengambil alih teraju negara esok.

Menurutnya juga orang yang paling berkualiti sekali di dunia ini ialah Nabi Muhammad saw yang bersifat al-amin.

Katanya, sifat berkenaan tidak boleh dibuat-buat, sebaliknya ia merupakan tabiat semulajadi yang ada kepada baginda sejak kecil lagi.

"Sekiranya tuduhan yang dilemparkan secara terbuka belum lagi diperjelaskan, bagaimana rakyat dapat menerimanya.

"Nak harapkan amanah tu bolehlah.. tetapi nak harap amanah pada tebuan, tebuan dengan lebah serupa saja" ujarnya.

Menurutnya pemimpin yang belum dibersihkan imej bagaimana mungkin boleh menduduki tempat tertinggi dalam negara, sedangkan Islam amat menitikberatkan soal kualiti.

Media asing termasuk Liberation yang berpangkalan di Perancis sebelum ini mengaitkan Najib dengan model Mongolia yang mati dibunuh dengan kejam di negara ini.

Beberapa akhbar lagi turut mengaitkan nama bakal perdana menteri Malaysia dalam kes tersebut termasuk The Nation Thailand, The New York Times, 9News, The Australian, The Times of India dan Timesonline.

Bagaimanapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz berharap kerajaan pusat di bawah perdana menteri baru lebih bersifat mesra dengan kerajaan Kelantan seperti yang berlaku di zaman Abdullah.

Kata beliau sebaiknya Najib perlu melakari rekod baru dalam sejarah pentadbiran negara dalam menjalinkan hubungan lebih erat dan bersih berbanding perdana menteri sebelum ini.

"Walaupun kita akui diskriminasi sebelum ini tetap berlaku dengan wujudnya Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang langsung tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan negeri.

"Kita harap perdana menteri baru mengambil perhatian penuh terhadap Kelantan dan negeri-negeri lain di bawah Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau bersyukur sekiranya perkara itu benar-benar berlaku di era pentadbiran Najib.

Kata beliau ia bersesuaian dengan negara demokrasi dan semangat federalisme, di mana pemimpin perlu menterjemahkan suasana itu.

"Walaupun kaki di bawah, mata di atas tetapi semuanya bekerja untuk satu tubuh. Sekiranya kaki tersadung, muka akan tersungkur mengakibatkan hidung berdarah, mulut meraung.

"Sebagai sebuah negeri di bawah persekutuan, tidak wajar Kelantan dipinggirkan, apa lagi masyarakatnya terkenal sebagai rakyat yang rajin, berilmu pengetahuan dan dedikasi," ujarnya. - mj _

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.