Masih ada peduli saat Harakah dibuli

Syuaib Zakaria (HRKH)

Maaf.. saya silap perhitungan. Dugaan saya tersasar. Saya ingat tiada ura-ura mahu berdemonstrasi akibat Harakah dibuli. Rupanya.. masih ramai yang peduli.

Apa-apa yang disebut saudara Ahmad Lutfi Othman tak lama dulu tentang tiadanya semangat berdemo ketika akhbar dibunuh telah terbatal semenjak pagi tadi.

"Dah ada desakan-desakan orang, minta diadakan demo," kata Ketua Pengarang Kumpulan Harakah itu ketika saya menemuinya pagi tadi.

Maka, dengan jujurnya, saya tarik balik, membatalkan semula segala sindiran dan marah-marah yang terlempar di dalam tulisan sebelum ini. Saya berdoa moga Allah memalukan saya dan mengaibkan saya dengan wujudnya demo tersebut. Amin..

Memang ada desas-desus untuk mengadakan demostrasi tersebut. Tetapi, ia belum diputuskan. Rungutan warga kerja Harakah tiada siapa yang peduli di peringkat KDN.

Riuh-rendah kelam-kabut di bahagian pengedaran Harakah ternyata mengundang azab yang mungkin lebih parah! Entah bagaimanalah mereka mahu menghubungi pengedar dan mengagihkan maklumat berhubung tarikh, masa serta waktu cetakan terbaru ini?

Sememangnya, dalam apa-apa keadaan pun, tatkala mahu menggerakkan suatu sistem yang baru diperkenalkan, memang ada pelbagai masalah yang melingkari kita sebelum ia benar-benar hadam ke dalam ruang jiwa serta pemikiran kita. Tergantung kepada keadaan, terkadang kita perlu masa berbulan-bulan juga untuk memahami bagaimana sistem pengedaran itu bergerak.

Kelab pengedar, pembaca akhbar alternatif
Masih di peringkat angan-angan juga, wujud usul untuk membangunkan sebuah kelab untuk pengedar, pembaca akhbar alternatif seperti Harakah, Suara Keadilan, Roket dan lain-lain akhbar.

Agak terlalu awal mungkin untuk didengungkan apakah itu FOIA (Freedom of Information Act) atau pun Akta Kebebasan Maklumat, Akta Mesin Cetak dan segala perkaitan perundangan yang senada dengannya lewat kelab tersebut. KAMI (Kumpulan Aktivis Media Independen) misalnya telah lama tidak kedengaran suaranya.

Saya rapat dan kenal baik dengan kedua-dua tokoh yang menggerakkan KAMI. Salah seorang daripada mereka masih giat menulis dan terkadang mengeluh tentang jawatannya sebagai pengarang akhbar yang menyebabkan beliau tidak dapat lagi menjadi ghairah menulis buku-buku politik seperti dahulu.

"Mana ada masa nak tulis? Asyik-asyik menyunting bahan berita yang ditulis wartawan," katanya.

Seorang lagi tokoh KAMI, kelibatnya berada di Malaysiakini. Kerjanya saban hari menyunting berita telah menghakis masanya untuk kembali berpencak di pentas penulisan seperti zaman Reformasi dahulu.

Tenggelam timbul KAMI dan tiba-tiba terjulang semula idea penubuhan kelab pengedar dan pembaca akhbar alternatif menyebabkan kita membangkitkan pertanyaan baru; mampukah badan baru ini menongkah sejarah jika mereka tidak membaca sejarah persuratkhabaran yang lalu?

Setiap organisasi yang tidak diterajui oleh mereka yang kuat daya fikirannya pasti mati dan tenggelam. Tetapi, KAMI pun bukan calang-calang orangnya. Tokoh-tokohnya boleh diperhitungkan sebagai penulis yang ada kualiti pemikiran juga. Mungkinkah lantaran kesibukan menyunting berita wartawan akhirnya mematikan tugas-tugas murni mereka selama ini?

Apakah kelab yang bakal menghimpunkan pembaca akhbar alternatif ini mampu menggerakkan demonstrasi? Itu pun tiada siapa yang dapat menjawabnya. Demikianlah ceritera lembaga swadaya masyarakat yang berura-ura menghimpunkan suara dan jiwa baru guna menongkah arus zaman di bawah zaman gelap Najib.

Di peringkat pimpinan yang menerajui akhbar lidah rasmi, perlu diperhitungkan juga. Sekurang-kurangnya ada tiga jiwa yang sering bertelagah dalam sebatang tubuh kepimpinan itu; jiwa kapitalis, sosialis dan politikus. Bagaimana ketiga-tiga jiwa ini saling melengkapi, menghidupkan dan menyempurnakan penerbitan sesebuah akhbar? Inilah persoalan yang perlu kita bincangkan dengan serius.

Jiwa kapitalis
Tiga jiwa tersebut adalah jiwa kapitalis, jiwa sosialis dan jiwa seorang politikus.

Kapitalis dalam konteks ini jangan diperhitung daripada sudut gelap sejak kehadiran mereka pada zaman Revolusi Industri di Eropah.

Kapitalis di sini ialah jiwa seorang peniaga, pedagang atau saudagar. Pemimpin jenis ini akan sentiasa memikirkan apakah lagi ruangan terbaik untuk menyebabkan akhbar pimpinannya segar, disukai ramai. Malah pemimpin akhbar berjiwa kapitalis akan selalu peduli hal-hal kontroversi yang mungkin akan meningkatkan hasil jualan akhbarnya.

Dia akan selalu mengikuti perkembangan reaksi orang-ramai terhadap ruangan-ruangan tertentu. Malah, dia akan membuat tinjauan, mengedar borang kajiselidik guna mengetahui setiap inci rahsia dan maklumat yang terpendam di dada khalayak pembaca akhbarnya.

Maka, tidak wajarlah seorang pemimpin mengirim sms kepada pengarang akhbar hanya semata-mata tidak suka ruangan orang-orang tertentu lalu 'arahan' lewat kiriman sms itu menyebabkan kolum atau tulisan penulis yang diminati ramai itu terpaksa dibuang.

Pemimpin berjiwa kapitalis akan terus membiarkan penulis dan ruangan itu walaupun ruangan itu menikam dirinya sendiri. Ini kerana, dengan sebab kehadiran ruangan itulah, maka semakin ramai pembaca membeli akhbar tersebut. Tanpa ruangan dan kolumnis itu, maka akhbar itu bakal merosot hasil jualannya.

Pemimpin yang pentingkan 'survival' politiknya, kadangkala tak pedulikan sangat turun naik hasil jualan keuntungan akhbar. Apa yang penting, politiknya terjaga dan terpelihara. Keadaan ini merisaukan, kerana harus diingat bahawa wang adalah kekuatan yang menjamin kesinambungan akhbar itu supaya ia terus hidup bernafas berterusan.

Kalau aliran wang tersekat, akhbar itu punah. Dan harus diingat bahawa kebanyakan organisasi bergantung kepada kekuatan ekonomi akhbar organisasi. Manakala, kekuatan akhbar organisasi itu bergantung terhadap permintaan khalayak terhadap laporan akhbar yang menarik itu termasuklah kolum dan penulisnya.

Jiwa sosialis
Jiwa sosialis ini perlulah ada dalam pimpinan persatuan dan kesatuan. Mereka perlu meratah permasalahan orang bawahan. Jiwanya perlu merakyat hingga mengetahui setiap cabang permasalahan yang sering dihadapi oleh orang-orang bawahannya.

Jiwa sosialis ini perlu belajar mendengar, menulis catitan dan selalu tersedia dalam poketnya buku nota yang merakam segala peristiwa berhubung kekurangan yang dilihatnya setiap hari.

Pemimpin akhbar berjiwa sosialis merakam setiap kekurangan dan mencari jalan untuk memperbaiki, menokok tambah apa yang kurang.

Jiwa sosialis, jiwanya perlu merakyat bersama kepedihan dan kesusahan derita yang dilalui orang bawahan itu. Gerakannya mengakar, membumi dan akhirnya merimbun, merendang serta memayungi setiap gerakan orang bawahannya yang bakal dikenakan apa-apa tindakan musuhnya.

Jiwa sosialis tak boleh melarikan diri apabila ada wartawan, pemberita yang dikasari perundangan musuh, dan mereka bertindak sebagai pembela orang bawahannya dalam setiap keadaan.

Soalnya apakah sudah wujud nilai-nilai ini? Apakah jiwa sosialis seorang pimpinan akhbar sudah tersedia ada dan terwujud dalam akhbar alternatif?

Jiwa politikus
Jiwa politikus ini berguna tatkala mengarahkan peluru berpandu untuk menumbangkan seteru-seteru politik mereka. Dalam hal ini, tak perlu dipanjang lebarkan sangat. Tanpa sebarang khutbah berhubung pengertian konsep jiwa politikus ini pun, sememangnya jiwa ini sudah lama wujud.

Apa yang paling mustahak ialah.. jiwa kapitalis yang suka mengkaji untung rugi akhbar dan jiwa sosialis yang kerap meneliti segala kekurangan, sakit dan pedih derita orang bawahannya untuk diperbaiki adalah yang paling utama untuk diteliti.

Ketiga-tiga jiwa ini perlu diseragamkan, diseimbangkan. Keadaan paling memenatkan ketika jiwa politikus terlalu kuat sehingga menumbangkan jiwa kapitalis dan menindih jiwa sosialis.

Apabila terkuburnya jiwa kapitalis dan telah rapuh jiwa sosialis, bakal bermula era-era kegelapan tanpa kita perlu menunggu era gelap di bawah pemerintahan Najib. _

Tiada ulasan:

iklan

 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 . |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.