Tak habis-habis dengan cerita derhaka terhadap Raja! Cerita penderhakaan terbaru berlaku di negeri paling utara di Semenanjung - Perlis. Dan seperti lazimnya sejak zaman berzaman, watak utama episod derhaka ini sudah tentunya orang UMNO.
Cerita derhaka kali ini berkait dengan kisah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu yang terus-menerus menjadi sasaran musuh politiknya. Terbaru, beliau difitnah melalui satu sebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya telah diarahkan oleh pihak istana supaya bercuti panjang.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, setiausaha politiknya Amier Hassan, berkata fitnah tersebut disebarkan oleh "mereka yang kecewa dan merasakan mereka tersisih".
Namun beliau enggan mengulas apabila ditanya mengenai pihak yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah tersebut. Beliau juga kurang pasti sejak bila SMS itu mula tersebar berhubung isu tersebut.
Menurut Amier, Raja Perlis terus memberi kepercayaan kepada Md Isa yang juga wakil rakyat Bintong itu untuk mentadbir negeri.
Bagi mereka yang kurang memahami politik Perlis tentu tertanya-tanya: siapa penyebar fitnah melaui SMS yang cuba melaga-lagakan Menteri Besar Perlis dengan istana itu. Siapa mereka yang "kecewa dan merasakan tersisih" seperti yang dikatakan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar itu?
Tapi jika kita rajin mengikuti cerita politik Perlis tentu masih ingat peperangan yang sering tercetus antara puak Shahidan dengan puak yang diketuai Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad. Pada 30 Januari lepas, Datuk Hashim Suboh, Ketua Penerangan UMNO Perlis yang juga merupakan orang kanan Datuk Seri Shahidan Kassim telah menuduh Radzi sedang menjalankan gerakan mencantas pengaruh mantan Menteri Besar itu dengan menyekat jawatan para penyokongnya, termasuk di peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), dan menghalang pemberian kontrak Kerajaan Negeri. Hashim juga mendakwa, Menteri Besar Perlis sekarang, Datuk Seri Md Isa Sabu "hanya menjadi topeng kepada Radzi."
Jadi apabila tersebar SMS yang cuba melaga-lagakan istana dengan Menteri Besar baru, penganalisis politik boleh membuat andaian pihak yang menjadi punca penyebaran SMS itu. Seperti kata Amier ia dibuat oleh puak yang kecewa. Ya, puak kecewa dalam kepimpinan UMNO Perlis sendiri.
Yang tidak seronoknya ialah SMS itu bukan sahaja membabitkan nama Menteri Besar, tetapi juga pihak istana. Raja Perlis telah difitnah menasihatkan Md Isa supaya bercuti panjang yang telah dinafikan oleh Md Isa sendiri. Memfitnah Raja yang memerintah negeri adalah satu perbuatan yang boleh disamakan dengan derhaka! Jadi dengan kata-kata lain SMS itu ialah SMS derhaka yang cuba mengaitkan Raja melakukan suatu yang tiada kena mengena dengan baginda.
Yang menjadi tanda tanya kini ialah apa tindakan UMNO Perlis terhadap penderhaka yang menulis bukan-bukan mengenai Raja itu? UMNO yang semenjak kebelakangan ini begitu berminat membuat laporan polis mengenai isu derhaka ini tidak ingin membuat laporan poliskah? Atau adakah laporan polis tidak akan dibuat kerana SMS itu dilakukan oleh pemimpin UMNO sendiri? Jika laporan polis tidak dibuat oleh UMNO Perlis terhadap pemimpin parti itu sendiri ia akan menampakkan UMNO tidak konsisten dalam isu derhaka ini: jika ia dilakukan pembangkang, tidak tunggu siang lagi, laporan polis terus dibuat serta merta. Tapi jika 'penderhakaan' dibuat oleh UMNO, pejam sebelah mata saja.
Atau jika UMNO enggan membuat laporan polis, serahkan perkara itu kepada PAS, PKR dan DAP untuk melakukannya!
Oleh: pendikar gunung kriang
http://pendikargunung.blogspot.com/
Keseruan dan Keuntungan Berlimpah dari Bermain Slot Gacor Online
Setahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan